KASAM ENSABI
KASAM ENSABI
KASAM Ensabi atau Pekasam Ensabi atau Jeruk Ensabi atau “Kimchi” Iban merupakan antara makanan tradisional bagi kaum Iban yang telah menghiasi dunia kulinari tradisional mereka sejak dahulu lagi. Dan menu tradisi ini walaupun berasal dari makanan tradisi rumah panjang Iban namun ianya juga setanding dengan jenis jeruk-jeruk yang ada di seluruh dunia.
Penyediaan kasam ensabi hampir serupa dengan jeruk kobis atau “kimchi” Korea yang terkenal seantero dunia. Cuma bezanya adalah kasam ensabi berasaskan sayur sawi yang ditanam sendiri oleh kaum Iban di penempatan-penempatan mereka. Sungguhpun digelar jeruk yang seakan-akan “kimchi” namun untuk kasam ensabi ini langsung tidak diletakkan cili bagi menambah kepedasannya.
Dengan rasanya yang masam selepas diperap menggunakan garam untuk sesuatu tempoh menyebabkan ianya adalah satu menu yang sering ditunggu-tunggu apabila pulang ke rumah panjang. Dengan dimakan beramai-ramai sudah tentu ianya begitu menyelerakan ditambahlagi jika dimakan bersama-sama dengan nasi yang panas-panas.
Inilah penangan kasam ensabi yang sehingga kini masih bertahan walaupun sudah di zaman moden ianya tetap menjadi dambaan generasi muda kaum Iban sehingga sekarang. Dan sejajar dengan waktu juga jika dahulu kasam ensabi hanya dimakan oleh penduduk Iban di rumah panjang mereka, namun sekarang ianya sudah memenuhi pasaran jeruk di seluruh Sarawak apabila permintaannya begitu tinggi daripada masyarakat Sarawak yang pelbagai kaum dan agama.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kasam ensabi ini juga turut dieksport ke luar Negara. Jadi, jangan pandang sipi-sipi makanan tradisi kaum Iban ini kerana terserlah kemampuan untuk bersaing di dalam dunia kulinari jeruk seantero dunia. Bagi yang belum lagi merasai nikmat memakannya bolehlah mendapatkannya samada berkunjung ke pasar-pasar tamu atau di pasaraya-pasaraya terdekat.