LEGENDA BATU RASAK
LEGENDA BATU RASAK
BATU Rasak .. mungkin misteri mengenai kewujudan batu ini tidak sepopular batu boyak di Santubong. Namun batu rasak ini mempunyai keunikannya tersendiri kerana ianya mempunyai pelbagai bentuk seperti menyerupai binatang mahupun manusia yang berdiri tegak, duduk, wanita serta banyak lagi. Ianya bertebaran di sana sini di satu kawasan semak samun di dalam Kampung Penan Muslim, Batu 10, Bintulu, Sarawak.
Sebenarnya di sebalik kewujudan batu-batu rasak ini mempunyai cerita legendanya yang tersendiri. Ianya sehingga sekarang tetap menjadi kepercayaan kepada penduduk setempatnya malah kawasan batu rasak ini juga dikatakan satu kawasan yang “keras” dan acapkali apabila ada yang hendak melawat kawasan ini akan sering diingatkan untuk sentiasa menjaga tingkahlakunya. Ini kerana sudah banyak kali ada pelancong yang melanggar “pantang” dikatakan akan dirasuk seperti orang hysteria dan sebagainya.
Menurut cerita oral masyarakat setempat di perkampungan ini mengatakan bahawa beratus-ratus tahun dahulu, kawasan batu rasak itu adalah salah satu tapak perkampungan asal masyarakat di Batu 10, Bintulu. Namun akibat daripada satu sumpahan maka seluruh penduduk perkampungan tersebut telah disumpah menjadi batu seperti yang kita lihat sekarang. Dan kerana itu tidak menghairankan sekiranya ada bentuk-bentuk batu rasak itu menyerupai manusia.
Al-sahibul hikayat dikisahkan bahawa suatu waktu dahulu sekumpulan masyarakat di Batu 10, Bintulu telah mengadakan kenduri kendara bagi merayakan perkahwinan salah seorang daripada penduduknya. Dan seperti kebiasaannya setiap kenduri kendara akan dilakukan di dalam semangat gotong royong. Setiap penyediaan kenduri juga dilakukan bersama-sama bermula dari pemasangan khemah serta memasak lauk-pauk kenduri.
Hendak dijadikan cerita sekumpulan orang lelaki telah ditugaskan untuk memburu di kawasan hutan yang berhampiran. Usai menyediakan kelengkapan pemburuan maka bertolaklah mereka untuk memburu. Hampir seharian mereka berjalan di dalam hutan dan amat menghairankan tiada satu pun jenis binatang yang mereka temui. Tidak seperti selalunya kerana sang rusa pada kali ini seolah-olah menyembunyikan diri mereka.
Dan oleh kerana sudah menjelang senja mahu tidak mahu mereka tiada pilihan sebaliknya hanya beroleh sang tupai sebagai hasil buruan mereka. Ini kerana dari pagi hingga senja itulah sahaja binatang yang menunjukkan diri mereka ketika di hujan. Dalam keadaan lelah akhirnya mereka pulang juga ke kampung dengan membawa daging tupai sebagai menu lauk kenduri mereka.
Walaupun ianya tidak seenak sekiranya memakan daging rusa namun penduduk kampung tetap juga menyediakan daging tupai sebagai menu utama untuk hidangan para tetamu nanti. Hendak dijadikan cerita awal pagi itu ada 2 orang penduduk kampung telah membawa hasil tangkapan mereka ke kampung. Ianya adalah 2 ekor kura-kura yang mereka temui ketika mencari ikan di sungai. Dan sekali lagi tukang masak di kampung turut menyediakan daging kura-kura untuk dijadikan hidangan kenduri itu nanti.
Menjelang tengahari maka bermulalah acara perkahwinan maka ramailah tetamu yang datang tanpa mengira jauh atau dekat tetap bersama-sama merayakan hari yang istimewa ini. Di ketika inilah juadah pertama dihidangkan oleh si pengatur majlis dengan menghidangkan menu daging tupai dahulu. Para tetamu pun mula merasai masakan tersebut dan dikatakan ianya tetap habis jua walaupun tidak begitu enak.
Untuk hidangan kedua pula, para tetamu disajikan dengan daging kura-kura dan pada ketika inilah setiap hidangan dengan pantasnya dihabiskan. Malah ada tetamu yang memohon untuk diberikan lauk tambahan kerana keenakannya sungguh luar biasa. Pada ketika itulah para tetamu mula bertanya dengan pengatur majlis yang hidangan yang kedua sungguh lazat dan mereka mula membandingkan kelazatan hidangan daging tupai dan daging kura-kura.
Oleh kerana ada yang terlalu terleka dikatakan ada para tetamu yang memperlekehkankan hidangan daging tupai. Kerana perbandingan itu dibuat di dalam keadaan yang melawak maka ramailah para hadirin yang tertawa terbahak-bahak tanpa sedar bahawa mereka mentertawakan rezeki Tuhan yang berikan.
Dengan tidak semena-mena, cuaca yang baik bertukar menjadi mendung. Awan hitam berarak di langit bersama-sama dengan angin yang kencang. Pada ketika itu para tetamu dan penduduk kampung bertindak menyelamatkan diri. Angin kencang telah merobohkan binaan khemah mereka malah ada rumah orang kampung yang diterbangkan angin.
Hujan lebat dengan kilat sambung menyambung menerjah perkampungan itu. Dan petir pula sudah mula menyambar manusia. Dikatakan barangsiapa yang disambar oleh petir itu akan sekelip mata berubah menjadi kaku dan seterusnya menjadi batu. Maka dalam sekelip mata satu majlis perkahwinan yang riuh piuh dengan orangramai menjadi sunyi kerana ramai antara mereka telah disumpah menjadi batu.
Itulah legendanya batu-batu rasak yang berada di Kampung Penan Muslim, Batu 10, Bintulu yang mana menyaksikan banyak batu-batu yang bertaburan itu mempunyai bentuk seakan-akan manusia, kerusi, binatang dan sebagainya. Alangkah baiknya sekiranya kawasan dimana batu-batu rasak ini berada dijadikan salah satu tarikan pelancongan di Bintulu kerana cerita legendanya juga boleh menarik pelancong untuk tiba di sana. Ianya juga boleh menjana ekonomi setempat bagi perkampungan sekitarnya.
Sesungguhnya, Sarawak Bumi Kenyalang tidak pernah kurang dengan keunikan cerita legendanya yang boleh diangkat menjadi seni kreatif buat tontonan rakyat Malaysia. Banyak maksud tersirat disebalik yang tersurat di dalam cerita legenda ini. Dan cerita sebenarnya sudah tentu hanya Yang Maha Esa mengetahuinya.