TOPENG TRIBAL DAYAK SARAWAK
TOPENG TRIBAL DAYAK SARAWAK
TOPENG tribal adalah sesuatu yang mempunyai seninya tersendiri. Dan apabila berbicara mengenainya mempunyai seribu satu penafsiran misteri yang berbeza. Misterinya ia kerana setiap satu topeng tribal mempunyai perkaitan dengan ritual atau kepercayaan sesuatu masyarakat di dunia ini.
Boleh dikatakan seni topeng sebenarnya dipunyai oleh setiap bangsa dan tamadun di dunia. Dari timur hingga ke barat malah dari kaum primitive hingga ke masyarakat moden mempunyai pelbagai bentuk dan tujuan topeng itu diselitkan di dalam budaya mereka.
Jika kita melihat kepada segala peninggalan lukisan-lukisan dinding gua zaman primitif banyak yang menceritakan seni topeng sebagai salah satu yang “wajib ada” di dalam penghidupan mereka. Contohnya penemuan seperti lukisan topeng di dalam gua batu seperti di Altamira, Sepanyol dan Lascaux serta Dodogone di Perancis juga menterjemahkan maksud yang sama.
Itu ceritanya topeng-topeng tribal di benua Eropah dan tiada kurangnya kekayaan seni topeng tribal di Borneo. Di kalangan masyarakat Dayak di Borneo juga mempunyai topeng tribalnya tersendiri. Untuk di Sarawak pula kaum-kaum seperti Kaum Orang Ulu, Melanau dan Iban juga sudah tersohor namanya dengan topeng tribal mereka yang mempunyai keunikan serta kegunaan tersendiri.
Yang pasti penggunaan topeng tribal di dalam budaya masyarakat di Sarawak mempunyai perkaitan secara langsung dengan ritual kepercayaan mereka suatu waktu dahulu. Setiap topeng pula mempunyai tujuan serta maksud yang berlainan. Oleh kerana itulah topeng-topeng itu mempunyai warna dan corak yang berbeza.
Topeng tribal pula ada yang seakan-akan muka binatang dan juga manusia yang sebenarnya mempunyai inteprestasi yang berbeza. Topeng dengan telinga besar digambarkan sebagai pendengar yang baik, topeng dengan mulut yang terbuka memberikan makna kerakusan ataupun bijak berkata-kata manakala topeng dengan pipi penuh pula digambarkan sebagai kerakusan atau kekayaan.
Pada masa sekarang, sesiapa sahaja yang bijak mengukir boleh mengukir topeng untuk hiasan dinding kerana tinggi permintaannya di pasaran. Namun jika kita mengimbau sejarahnya suatu waktu dahulu, bukan semua orang boleh menjadi pengukir topeng tribal. Malah dikatakan setiap satu pengukir topeng tribal adalah orang yang terpilih. Orang itu juga turut mempunyai peralatannya tersendiri yang dibuat khas dan tidak boleh dipinjamkan kepada oranglain kerana itu pantang larangnya.
Malah pemilihan kayu juga mempunyai signifikasinya yang tersendiri. Dikatakan walaupun kayu itu sudah ditebang namun belum tentu ianya boleh diukir sebegitu sahaja. Pengukir pula harus menunggu untuk satu “mimpi” bagi memulakan kerja. Mimpi itu pula mempunyai maksud yang berbeza contohnya jika si pengukir didatangi firasat mimpi yang tidak baik maka kayu yang ditebang itu tidak boleh digunakan malah harus mencari lagi sehingga kayu yang sesuai ditemui.
Selain daripada itu, pemilihan corak dan warna juga harus sinonim dengan upacara yang hendak digunakan dan sekali lagi pengukir harus menunggu petunjuk untuk menghabiskan kerjanya. Malah pemilihan warna untuk topeng juga mempunyai maksud yang berbeza. Ada yang diwarnakan merah, biru, hijau malah ada sesetengahnya dibiarkan kusam tanpa warna sebenarnya mempunyai jalan ceritanya tersendiri.
Dan topeng-topeng tribal Dayak di Sarawak juga mempunyai nama-namanya tersendiri bagi menggambarkan perkaitannya dengan ritual yang hendak diadakan. Bagi masyarakat Melanau, topeng tribal atau petupieng mempunyai nama-namanya tersendiri. Ini kerana ianya ada perkaitan dengan ritual Pesta Kaul iaitu pesta pantai yang sentiasa dilestarikan sehingga sekarang. Petupieng digunakan sebagai pengantara antara manusia dengan semangat Ipok Balau di dalam masyarakat Melanau.
Bagi kaum Orang Ulu Sarawak pula, topeng Hudo atau Huduq banyak mewarnai ceritera kebudayaan mereka. Dan jika ke Kalimantan misalnya saban tahun ada ritual pemujaannya yang dilestarikan sehingga ke hari ini. Topeng hudo dengan tarian hudoq adalah antara tarian tribal yang masih lagi mewarnai dunia ritual mereka.
Untuk kaum Iban pula, topeng tribal mereka banyak digunakan untuk ritual rawatan tradisional dan juga pengebumian. Topeng-topeng itu juga digunakan oleh dukun-dukun di dalam rawatan penyembuhan penyakit kerana ianya adalah pengantara. Dan sudah tentu setiap satu ritual mempunyai mantera-manteranya yang tersendiri yang hanya boleh difahami oleh dukun atau lemambang mereka.
Keunikan yang tersendiri inilah yang menjadikan topeng-topeng tribal Dayak Sarawak seringkali mempunyai nilai estitika yang tinggi bagi pengemar koleksi topeng-topeng. Malah topeng tribal asli yang berusia ratusan tahun juga sentiasa mendapat tempat di dunia kerana dikatakan mempunyai ‘semangat’ nya yang tersendiri yang mana dipercayai mampu menempiaskan semangat tersebut kepada si penyimpannya.
Topeng tribal Dayak Sarawak adalah salah satu daripada warisan yang menunjukkan keunikan masyarakatnya. Peredaran zaman yang moden juga menyaksikan banyak topeng tribal tidak digunakan kerana banyak ritual sudah tidak dilestarikan lagi. Namun itu tidak bermakna kita boleh membiarkan ianya lenyap dimakan waktu sebegitu sahaja.
Rujukan:
1. Borneo Studies In History, Society and Culture, Page 189. By Victor T. King, Zawawi Ibrahim and Noor Haasharina Hassan
2. Dayak Mask
3. Contoh Karya Transformasi Seni Tradisi Topeng