SERANG HENDAP KOMUNIS DI BIAWAK, LUNDU 1972
SERANG HENDAP KOMUNIS DI BIAWAK, LUNDU 1972
CERITA mengenai kekejaman komunis bertempur dengan anggota keselamatan kita sememangnya banyak mewarnai ceritera sejarah kita dan di dalam kronologi sejarah ini juga bukan sedikit yang terkorban baik di pihak orang awam mahupun anggota keselamatan kita sendiri. Inilah antara jerih perihnya apabila berbicara mengenai keamanan yang kita kecapi sekarang.
Untuk di Sarawak, cerita perang sebegini sememangnya banyak tetapi amat jarang diketahui umum. Dan di dalam rentetan ceritera inilah terselit satu tragedi berdarah yang mana ianya mengorbankan banyak nyawa iaitu 15 nyawa perwira Negara kita gugur manakala ramai lagi yang cedera parah di tangan gerila komunis yang ingin berkuasa di tanahair kita suatu waktu dahulu.
Tragedi berdarah ini berlaku di sebuah perkampungan terpencil yang terletak di antara perbatasan sempadan Sarawak/Kalimantan iaitu di Biawak, Lundu. Tiada siapa menduga satu konvoi yang sedang di dalam perjalanan membawa bersama senjata serta peralatan usai membina infrastruktur tentera di Biawak diserang hendap oleh kira-kira 40 orang gerila komunis yang siap siaga berselindung di sebalik hutan belantara Sarawak Bumi Kenyalang.
Pada tanggal 26 Mac 1972, satu konvoi 7 Renjer yang terdiri dari sebuah land rover, 3 buah trak 3 tan jenis Bedford bersama-sama dengan anggotanya telah diarahkan pulang ke markas dari sebuah perkampungan sempadan di daerah Lundu, Sarawak. Perjalanan yang mengambil masa hampir 1 ½ jam ini terpaksa melalui jalan-jalan bertanah dan berbatu memandangkan itulah sahaja penghubung antara Biawak dan Kuching pada masa itu.
Tiada siapa menyangka cuaca yang cerah bertukar menjadi kelam kerana disebalik perjalanan dengan panorama yang mendamaikan bersembunyi susuk-susuk tubuh gerila komunis yang ingin membuat onar di bumi Sarawak pada masa itu. Tiba di satu lokasi akhirnya 40 orang gerila komunis menghamburkan peluru mereka ke arah konvoi tersebut.
Dengan terjahan peluru bertali arus, anggota konvoi cuba mempertahankan diri dengan berselindung disebalik apa sahaja bagi membalas tembakan. Melihat kepada serangan yang tidak henti-henti dari kedua arah jalan maka kenderaan pertama yang dinaiki oleh anggota jurutera telah memecut laju meninggalkan yang lain. Tujuannya hanya satu untuk memohon bantuan pasukan 1 Rejimen Peninjau yang berada di Titian Akar.
Ketika ditinggalkan oleh kenderaan yang pertama itu, 3 lagi trak Bedford pula mencuba sebaik mungkin untuk bertahan namun sayangnya gerila komunis lebih bersedia. Lagipun dikatakan kebanyakan anggota yang berada adalah daripada anggota tentera yang bertugas di bahagian pentadbiran. Namun itu bukan soalnya kerana mereka juga terlatih untuk bermain senjata. Biar putih tulang jangan putih mata, serangan balas harus dilancarkan. Menyerah kalah kepada komunis tidak sekali biar nyawa jadi galang gantinya.
Kegilaan komunis terus memuncak apabila mereka berjaya meletupkan sebuah trak Bedford manakala anggota tentera di dalamnya ramai yang ditembak mati. Banyak juga senjata yang turut dirampas oleh mereka.
Ketibaan trak jurutera di Titian Akar telah mendapat respon yang baik daripada Rejimen Peninjau dan mereka dengan diketuai oleh Koperal Jamaluddin telah secepat kilat membawa kereta perisai Ferret menuju ke lokasi. Sampai sahaja di lokasi kejadian tanpa menunggu yang lain, Koperal Jamaluddin menghambur peluru dari mesin gunnya. Gerila komunis pula terkejut dengan bantuan yang tiba maka mereka lari lintang pukang menyelamatkan diri. Tindakan Rejimen Peninjau yang pantas ini sesungguhnya berjaya mengekang daripada ramai lagi anggota daripada terbunuh.
Terkesima dengan tragedi serang hendap ini, pihak anggota keselamatan tidak mahu berdiam diri. Komunis yang membuat onar harus dicari. Hutang darah harus dibayar dengan darah maka bermulalah episod pihak markas battalion memanggil kesemua anggota yang tidak bertugas dituntut pulang ke markas untuk melakukan operasi.
Pada ketika inilah di dalam sejarah Sarawak, dikatakan alat pembesar suara dari trak tentera memecah kesunyian Bandar Kuching dan kawasan sekitarnya. Malah bukan itu sahaja, hebahan dari radio dan juga di panggung wayang digunakan untuk memberi peringatan kepada seluruh anggota keselamatan yang tidak bertugas di Kuching kembali ke markas. Suasana pada ketika itu dikatakan agak riuh di Bandar Kuching iaitu antara tempat yang sering menjadi tumpuan anggota tentera yang tidak bertugas untuk berhibur.
Kepulangan mereka dinantikan oleh barisan trak-trak tentera di kawasan Electra House, Kuching dan mereka diangkut pulang untuk bersiaga segalanya. Usai melaporkan diri, anggota tentera seluruh battalion yang ada menuju ke Biawak untuk mencari sehingga ke lubang cacing gerila komunis yang berjaya meloloskan diri.
Namun bukan sesuatu yang mudah kerana gerila komunis ini juga cukup arif untuk menghilangkan diri mereka walau didalam apa jua bentuk mukabumi Sarawak. Pemburuan atas tragedi berdarah ini diteruskan bertahun lamanya dan dikatakan hanya pada tahun 1986 barulah saki baki senjata terakhir dapat dirampas kembali daripada gerila komunis setelah pelbagai operasi dijalankan .
Inilah antara cerita tragedi berdarah yang berlaku di Biawak, Lundu pada tahun 1972. Satu tragedi yang menyaksikan 15 orang pahlawan bangsa kita gugur di tangan gerila komunis. Bukan senang membina sebuah Negara. Cintai dan hargailah keamanan yang kita kecapi sekarang.
Lest We Forget!
Rujukan:
1. History of The Ranger by 7renjer.blogspot.
2. Serang Hendap Di Jalan Biawak-Lundu by Xnuripilot.blogspot