BOJUH BOYUH BIDAYUH
- Jan 1, 2017
- 2 min read

BOJUH BOYUH BIDAYUH
BILA kita berbicara mengenai kekayaan pakaian atau busana tradisi sudah tentu jika di Sarawak nama seperti pua kumbu atau batik Sarawak sudah begitu popular. Dan ianya sudah menembusi pasaran dunia fesyen seantero dunia. Dan kekayaan serta busana tradisional ini tidak kurang hebatnya jika kita mengenali satu lagi antara busana tradisi masyarakat Bidayuh yang dikenali dengan nama Bojuh Boyuh Bidayuh atau Baju Kulit Kayu Bidayuh yang sering dipakaikan apabila ada acara tradisi di Sarawak.
Di sebalik pemakaiannya yang umpama “jaket kowboi” namun ianya juga mempunyai keunikannya tersendiri lebih-lebih lagi pembuatannya yang masih lagi sehingga kini diusahakan oleh segelintir masyarakat Bidayuh yang tidak mahu ianya tenggelam ditelan zaman. Siapa sangka jaket ini boleh menjadi lembut dan sesuai dipakaikan oleh kaum lelaki Bidayuh apabila menghadiri acara yang berbentuk tradisi dan budaya mereka sebenarnya diperbuat daripada kulit kayu.
Jika buah terap merupakan satu buah eksotik yang menjadi dambaan semua masyarakat di Borneo kerana keenakannya, bagi masyarakat Bidayuh pula segalanya mengenai buah terap itu sudah lama dimanfaatkan baik dari buah sehingga ke pokoknya. Ini kerana bojuh boyuh Bidayuh ini diperbuat daripada kulit buah terap secara keseluruhannya.
Pemilihan kulit kayu terap dikatakan amat sesuai kerana selain daripada senang diasingkan ianya juga dipercayai boleh melindungi tubuh manusia daripada dihidu binatang buas. Jadi dengan pemakaian baju kulit ini sudah tentu ianya memberikan keselamatan yang lebih kepada si pemakainya daripada diserang binatang buas kerana suatu waktu dahulu ianya juga dipakaikan oleh pemburu-pemburu masyarakat Bidayuh di hutan.
Proses untuk mengasingkan kulit daripada dahan bukannya sesuatu yang mudah dan hanya yang pakar sahaja boleh membuatnya ini kerana batang kayu terap perlu diketuk berulang-ulang kali. Proses ketukannya pula mestilah konsisten agar boleh mendapat saiz yang lebih besar. Usai kerja pemotongan dengan menggunakan pahat selepas itu akan dicuci dan direndam bagi menghilangkan getah serta melembutkan teksturnya. Setelah kering dan kulit kayu sudah lembut barulah ianya akan digunting oleh pembuat baju kulit ini mengikut rekaan yang ditetapkan.
Inilah antara proses membuat baju kulit tradisi masyarakat Bidayuh yang telah diwarisi berkurun lamanya. Setakat ini yang diketahui hanya sebilangan sahaja masyarakat Bidayuh yang masih mengusahakannya iaitu dari golongan orang-orang tua bagi memenuhi tempahan daripada masyarakat Bidayuh mahupun pelancong atau pemimpin masyarakat. Dikatakan generasi muda tidak begitu berminat untuk meneruskan legasi pembuatannya dan ianya sudah tentu amat merisaukan kita semua.
Pembuatan baju kulit ini harus sentiasa dilestarikan kerana kita tidak mahu seni pembuatannya akan hilang sebegitu sahaja dan akhirnya baju kulit ini juga akan terus lenyap ditelan zaman. Ianya akan menjadi satu kerugian kerana baju tradisi ini sungguh unik dan salah satu daripada lambang jatidiri masyarakat Bidayuh.
Rujukan:
1. Baju Kulit Bidayuh – Kosmo Online oleh Siti Nor Afzan Kasiman
2. Pakaian Tradisional Malaysia
http://yuva4ptpjkhmu.weebly.com/pakaian-tradisional.html


Comments