top of page

FORT BERLIDAH, SINIAWAN, BAU


FORT BERLIDAH, SINIAWAN, BAU

DIKETIKA pemerintahan hampir 100 tahun keluarga Brooke di Sarawak dikatakan hampir lebih kurang 80 buah kubu atau “fort” yang didirikan oleh 3 rajah Sarawak suatu waktu dahulu. Ada antaranya masih berdiri megah manakala hampir ¾ daripadanya sudah lenyap menyembah bumi sejak awal lagi.

Dan bagaimana Sir James Brooke mula-mula campurtangan di dalam kronologi sejarah Sarawak lama sebenarnya bertitik tolak daripada Perang Siniawan yang berlaku sekitar 1840. Itulah titik tolak adanya Brooke di Sarawak iaitu untuk menghalau pemerintahan Pengiran Indera Mahkota yang menjadi Gabenor Sarawak melalui Kerajaan Brunei pada masa itu.

Perang Siniawan yang melibatkan Datu Patinggi Ali serta masyarakat pribumi yang bersatu pada masa itu termasuklah masyarakat Bidayuh di Bau telah berkerjasama dengan Brooke untuk menidakkan pemerintahan “kuku besi” Pengiran Indera Mahkota. Dan atas kejayaan itulah akhirnya Pengiran Bendahara Raja Muda Hashim memberikan jawatan Gabenor Sarawak kepada beliau seperti yang dijanjikan.

Selain daripada itu peristiwa Bung Bratak juga mempunyai perkaitan dengan Fort Berlidah. Ini kerana kejayaan James Brooke membantu Panglima Kulow bagi mendapatkan semula wanita dan anak kecil yang diculik oleh Orang Skrang juga salah satu daripadanya. Walaupun ianya adalah peristiwa yang aman damai kerana tiada peperangan namun bagi memastikan tiada lagi Orang Skrang menganggu orang Bidayuh maka beliau mendirikan kubu itu.

Kubu Berlidah atau Fort Berlidah mungkin nama yang tidak se gah kubu-kubu Brooke yang lain seperti Fort Margherita di Kuching, Fort Alice di Sri Aman serta banyak lagi namun inilah kubu yang pertama kali dibina oleh keluarga Brooke melalui Sir James Brooke di kawasan Siniawan, Bau. Diperkira pembinaan kubu ini adalah sekitar tahun 1841 iaitu penandaan sejarah tahun-tahun awal Brooke di Sarawak.

Setakat hari ini tiada siapa yang benar-benar pasti dimanakah lokasi asalnya cuma penyataan daripada dokumen lama menjadi sandaran iaitu ianya dibina kira-kira 700 ela daripada jeti di Pekan Siniawan, Bau yang kita kenali sekarang. Dan rekabentuknya juga tiada melainkan dikatakan merupakan struktur binaan kayu iaitu diperbuat daripada kayu belian. Tujuan pembinaan adalah demi menandakan kekuasaan Brooke di wilayah tersebut seperti juga alasan mereka membina kubu-kubu yang lain.

Dan dikatakan juga hanya selepas pembinaan Fort Berlidah barulah Brooke membina banglonya di Bukit Serembu yang menjadi tempat beliau memerhati aktiviti keluar masuk rakyat pribumi lebih-lebih lagi Orang Skrang di kawasan Bau. Banglo Serembu ini juga mencatit sejarahnya tersendiri kerana disinilah seorang anthropologist terkenal bernama Alfred Russel Wallace pernah mendiaminya selama lebih setahun bagi membuat kajian mengenai hutan Sarawak.

Begitulah ceritanya mengenai Fort Berlidah salah satu binaan bersejarah yang pernah wujud di Sarawak. Terlalu sedikit mengenainya namun inilah kubu yang pertama dibina oleh James Brooke di Sarawak. Semoga ianya memberi sedikit informasi kepada generasi Sarawak di dalam kita cuba menggodek sejarah kubu-kubu Brooke di Sarawak suatu waktu dahulu.


Rujukan:


1. Borneo Post August 26, 2016 – Fun-Filled Siniawan Festival On The Cards

2. The Star Online October 7, 2013 – Siniawan Then and Now

3. Perang Siniawan 1840 – Borneo Oracle

4. Peristiwa Bung Bratak, Perjalanan James Brooke dan Panglima Kulow ke Skrang 1841 – Borneo Oracle

bottom of page