SUKU REJANG, SUMATERA ASALNYA DARI BORNEO
SUKU REJANG, SUMATERA ASALNYA DARI BORNEO
SUNGAI Rejang sudah tentu sinonimnya dengan Sarawak kerana itulah sungai yang terpanjang sekali di Sarawak mahupun di Malaysia. Dan di Sarawak juga mempunyai satu klasifikasi bahasa/dialek yang dinamakan Bahasa Kayan-Rejang yang dipertuturkan oleh ramai sub-etnik Kayan itu sendiri seperti Lisom malah juga Melanau diperkira dibawah bahasa yang sama.
Jika kita mengambil pengertian nama “Rejang” pula bermaksud sesuatu yang baik-baik atau harum-haruman atau juga melambangkan tuah yang berpanjangan. Mungkin juga kerana itulah nama ini digunapakai untuk satu kelompok masyarakat mahupun nama sungai dan sebagainya bagi memperlihatkan betapa bertuah dan megahnya ia dipanggil.
Suku Rejang nama diberi bukanlah satu kelompok masyarakat yang ada di Sarawak sekarang walaupun Sungai Rejang yang sinonim dengannya ada di bumi sang Kenyalang ini sebaliknya mereka adalah satu kelompok masyarakat yang sekarang ada nun jauh di Pulau Sumatera. Namun begitu disebalik jarak pemisah ini tidak bermakna Suku Rejang itu asing di Borneo kerana dipercayai bahawa mereka sebenarnya adalah berasal dari Borneo suatu waktu dahulu.
Bagi memberi kefahaman hubungkait masyarakat ini, maka di dalam artikel ini akan dihujahkan secara kondusif bagi membenarkan kepercayaan ini secara fakta sejarahnya. Mungkin ramai yang tidak mengetahui jadi bersama-samalah kita menyelusuri artikel yang panjang ini.
Siapa Itu Suku Rejang, Sumatera
Suku Rejang atau Radjang atau turut menggelar diri mereka sebagai Jang, Tun Jang atau Rejang Empat Petulai merupakan satu suku mendominasi populasi di Provinsi Bengkulu, Sumatera, Republik Indonesia. Menurut kajian antropologi, Suku Rejang merupakan antara suku tertua yang pernah ada di bumi Sumatera.
Tanah Rejang atau Tanaek Rejang pula adalah gelaran wilayah bagi tempat tinggal mereka iaitu satu wilayah yang mencakupi sebahagian pergunungan Bukit Barisan sehingga ke Sumatera Selatan seperti Kabupaten Lebong, Kabupaten Rejang Lebong, Kabupaten Kepahian, Kabupaten Bengkulu Utara dan Kabupaten Bengkulu Tengah.
Dan apabila mereka di Tanah Rejang ini maka mereka juga menggunakan bahasa mereka sendiri iaitu yang dikenali sebagai Bahasa Rejang. Dan perlulah diingatkan bahawa Bahasa Rejang yang dipertuturkan di Tanah Rejang tidak langsung mempunyai perkaitan dengan Bahasa Kayan-Rejang yang dipertuturkan di Sarawak (Blust:1991).
Seperti juga bahasa lain di dunia, bahasa Rejang, Sumatera juga mempunyai dialeknya yang tersendiri yang dikatakan walaupun di dalam bahasa Rejang yang sama namun masih berbeza. Dialek-dialek itu adalah Rejang Kepahiang (Dipertuturkan di Kabupaten Kepahiang), Rejang Curup (Kabupaten Rejang Lebong, Kabupaten Bengkulu Tengah dan Kabupaten Bengkulu Utara) dan Rejang Lebong (Kabupaten Lebong dan sempadan Kabupaten Bengkulu Utara/Lebong).
Apa yang lebih istimewa, suku Rejang ini mempunyai warisan aksara tulisannya yang tersendiri yang dinamakan “Ka Ga Nga” yang menurut kajian pakar linguistic barat merupakan antara seni tulisan yang mempunyai hubungkaitnya dengan tulisan hieroglif Mesir Purba iaitu salah satu tulisan ketiga keagungan zaman Firaun lagi. Dan kerana itulah tulisan “Ka Ga Nga” menjadi antara kebanggaan bagi masyarakat Suku Rejang sehingga ke hari ini sehingga ianya masih wujud dan dipelajari oleh mereka bagi menjaga ketulinan tulisan tersebut.
Kehebatan mereka baik dari segi kekayaan bahasa dan juga tulisan sebenarnya masih tidak mampu memberikan jawapan yang tuntas dari mana nenek moyang mereka berasal. Ini kerana ada yang berkata bahawa mereka berasal usulkan dari Tanah Jawa melalui 4 pangeran tetapi akhirnya bermusafir membawa diri sehingga ke Bandar Cina atau Palembang sebelum mendiami Pagaruyung, Sumatera Barat. Ketika di Pagaruyung, Palembang itulah mereka dikatakan mengasimilasikan diri dengan adat dan istiadat serta budaya Minangkabau dan sebagainya.
Walaupun sedemikian, Suku Rejang tetap utuh melestarikan beberapa adat dan tradisi nenek moyang mereka sehingga ada yang menggelar mereka sebagai Muslim-Animisme kerana walaupun sudah rata-ratanya memeluk agama Islam tetapi tetap kuat berpegang kepada kepercayaan nenek moyang mereka sejak ribuan tahun dahulu.
Inilah suku Rejang atau Orang Radjang yang merupakan suku dominan di Bengkulu, Sumatera, Republik Indonesia.
Penghijrahan Suku Rejang
Sehingga ke hari teori asal usul sebenar Suku Rejang ini masih belum ada yang dapat memperjelaskannya secara tuntas. Dan seperti kebiasaannya teori-teori kewujudan masyarakat di nusantara sering dikaitkan dengan Teori Yunan iaitu kesemuanya berasal dari Tanah China. Seolah-olah tiada teori yang membenarkan mungkin juga mereka yang dari China itu berasal dari tanah Nusantara kerana ketamadunan di bumi Nusantara itu wujud lebih lama daripada tanah China.
Di dalam menyelongkar cerita penghijrahan suku Rejang tidak boleh tidak kita harus menghubungkaitkannya dengan bahasa Rejang iaitu yang dikenali sebagai Bahasa Rejang Purba. Dan menurut kajian yang dilakukan oleh Professor Richard McGinn dari University of Ohio, USA memperjelaskan bahawa Bahasa Rejang Purba adalah tergolong di dalam subkelompok bahasa Bidayuh yang dikenali sebagai Bahasa Rejang-Bukar-Sadong-Bidayuh Purba. Dan perlu diketahui bahawa masyarakat Bidayuh leluhurnya adalah daripada Pulau Borneo iaitu samada populasinya sekarang wujud di Kalimantan mahupun di Sarawak itu sendiri.
Dan didalam menyelusuri sejarah keberadaan bahasa purba ini, jangan sesekali kita melupakan tentang hubungkaitnya dengan tamadun kuno yang pernah ada di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Kewujudan satu kerajaan yang bernama Kerajaan Bangkule Rajank pimpinan Raja Patih Gumantar (asal bermulanya Kerajaan Mempawah) sememangnya mewarnai ceritera sejarah berdirinya kerajaan-kerajaan dayak kuno di Borneo.
Satu kerajaan yang dikenalpasti wujud pada abad ke-13 Masihi lagi dengan pusat pemerintahannya terletak di Pergunungan Sadaniang. Dan masyarakat di Kerajaan Bangkule Rajank ini dikenali sebagai suku dayak Rejang. Oleh kerana kehebatan kerajaan ini maka ianya dicemburui oleh satu kerajaan Bidayuh Biaju iaitu Kerajaan Sungkung. Peperangan penuh sadis iaitu perang kayau (perang memotong kepala) telah dilakukan oleh panglima-panglima dayak Bidayuh menjadi saksi runtuhnya Kerajaan Bangkule Rajank malah raja Bangkule Rajak iaitu Raja Patih Gumantar turut bercerai kepalanya dari badan pada ketika perang itu. Dek kerana itulah teori yang mengatakan rakyatnya iaitu suku Dayak Rejang membawa diri bertempiaran di bumi Borneo suatu waktu dahulu tidak boleh disangkal sama sekali.
Melihat kepada pertembungan ini sudah tentu kita tidak boleh menidakkan bahawa Suku Rejang Purba sudah mula menerima pengaruh bahasa Bidayuh-Bukar-Sadong yang menjadikan mereka tinggal di satu kawasan yang sama malah mengasimilasikan satu bahasa yang hampir sama yang dikenali sebagai Bahasa Rejang-Bukar-Sadong-Bidayuh Purba. Jadi sekiranya masyarakat Bidayuh Bukar-Sadong yang ada di Kalimantan mahupun di Sarawak mengatakan bahawa Suku Rejang, Sumatera itu saudara mereka ianya adalah satu pernyataan yang tidak boleh dinafikan kerana perkaitan mereka melalui satu kerajaan kuno yang pernah wujud suatu waktu dahulu di bumi Borneo.
Walaupun pada asalnya suku Dayak Rejang bukanlah satu kelompok masyarakat yang hidup nomad tetapi kerana adanya penyumbang kepada penghijrahan mereka maka akhirnya mereka “berejangan” sehingga ke benua lain. Permulaan penghijrahan mereka dari bumi Borneo membawa mereka bergadang ombak membelah lautan sehingga ke Pulau Sumatera. Dan awal penghijrahan membawa mereka kali pertamanya ke Tanah Rawas. Dan menurut kajian Blust pula menyatakan bahawa di Tanah Rawas, dialek yang dipertuturkan oleh masyarakatnya sememangnya agak berbeza dengan suku Rejang di tempat lain kerana disitulah sebenarnya bahasa Rejang Purba masih digunapakai sehingga sekarang.
Pemilihan Tanah Rawas sebenarnya amat sesuai kerana usai sahaja mereka mendarat maka mereka boleh menghilir Sungai Rawas dengan berperahu sehingga ke Pulau Bangka tanpa ada halangan air terjun mahupun jeram-jeram. Dan di Rawas juga mereka boleh memilih untuk menggunakan jalan darat iaitu berjalan kaki melalui denai-denai di pergunungan Barisan hingga ke Lebong iaitu Tanah Rejang yang kita ketahui sekarang. Jadi sememangnya bukanlah sesuatu yang tidak menghairan mengapa suku Rejang ada di wilayah-wilayah tersebut.
Walau berkelana di tanah orang bukan bermakna adat istiada malah budaya dilupakan kerana ketika mereka membuka wilayah Tanaek Rejang ini mereka masih menggunapakai sistem sosial dari Pulau Borneo. Kutei atau Kutai iaitu gelaran bagi setiap desa mereka mula berkembang di Tanaek Rejang. Dan nama Kutei/Kutai itu sebenarnya hanya ada di benua Dayak Borneo kerana itulah gelaran mereka. Ianya tidak ada di benua lain di dunia melainkan hanya di Pulau Borneo sahaja.
Di ketika zaman keagungan suku Rejang di bumi Tanaek Rejang dikatakan pernah wujud satu kerajaan yang megah yang dinamakan Kerajaan Kutei Rukam dengan pemerintah agungnya adalah Raja Bikau Bermano. Legenda mengenai keagungan Kerajaan Kutei Rukam ini menghiasi cerita sastera rakyat suku Rejang sehingga ke hari ini iaitu bagaimana Raja Bikau Bermano berjaya mengalahkan ular tedung berkepala tujuh. Kerajaan Kutei Rukam ini dikatakan melahirkan kepimpinan suku Rejang yang hebat-hebat belaka malah pertalian kehebatan Raja-raja suku Rejang banyak diceritakan di dalam hikayat-hikayat Pagaruyung di Minangkabau.
Terjadinya perang Empat Petulai misalnya adalah antara salah satu perkara yang membawa kepada perkaitan orang besar dari Pagaruyung yang berlaku di bumi Lebong suatu waktu dahulu dek kerana berebut seorang puteri. Kerajaan kecil seperti Kerajaan Sungai Lemau dibawah pemerintahan Datuk Bagindo Maharaja Sakti dari Kerajaan Pagaruyung, Sumatera Barat banyak memainkan peranan bagaimana ianya juga boleh menghubungkaitkan suku Rejang dengan Orang Minang.
Suku Rejang Asalnya Dari Borneo
Penghijrahan suku Rejang Purba yang dikenali sebagai suku Dayak Rejang melalui Kerajaan Bangkule Rajank yang akhirnya runtuh diperangi satu kerajaan dayak biaju iaitu Kerajaan Sungkung menjadikan mereka bersama-sama membina bahasa purba yang sama yang dikenali sebagai bahasa Rejang-Bukar-Sadong-Bidayuh Purba. Apabila mereka menebar ke benua lain mereka mengasimilasikan bahasa mereka mengikut perkembangan sekeliling mereka lalu menjadikan bahasa Rejang sekarang sudah berbeza dengan bahasa purba mereka. Malah masyarakat Bidayuh Bukar-Sadong juga turut mengasimilasikan bahasa Purba mereka menjadi bahasa/dialek tersendiri yang menjadikan ianya berlainan sama sekali.
Berdasarkan kepada perkaitan sejarah ini adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa suku Rejang yang hebat dengan bahasa dan aksaranya tersendiri ini juga sebenarnya adalah mereka yang berasal-usulkan daripada sekumpulan masyarakat dari Pulau Borneo. Mereka boleh juga diumpamakan seperti suku Banjar atau orang Banjar yang juga suatu waktu dahulu berasal usulkan daripada Pulau Borneo sebelum bertebaran sehingga ke Sumatera dan sebagainya di wilayah Nusantara.
Hakikatnya walau apa jua hipotesisnya kebarangkalian kita bersaudara tetap ada biarpun sudah dipisahkan beribu batu jauhnya.
Rujukan:
1. Kertas Kerja “Asal Bahasa Rejang” Simposium Bahasa dan Hukum Adat Rejang oleh Professor Richard McGinn, University of Ohio, USA (2007)
2. The Origine Of Rejangese People – Project Joshua
3. Rejang People - Brittanica
4. Muslim-Animistic Rejang People of Indonesia - World Digest
5. Book Title: A 14th Century Malay Code of Laws: The Nitisaramuccaya by Uli Kozok Page 130
6. Mengenal Asal Mula dan Sejarah Kota Bengkulu - Bengkulu.Gov
7. Kerajaan Mempawah, Kalimantan Barat, Borneo – Borneo Oracle
8. Etnik Bidayuh, Sarawak, Borneo – Borneo Oracle