NUNUK RAGANG
NUNUK RAGANG - Mitos Asal Muasal Dan Perpindahan Masyarakat Kadazan Dusun Di Sabah
JIKA melihat strukturnya sudah tentu kita akan cuba untuk mencari persamaannya di dalam cerita epik rekaan pengeluar filem hebat dunia barat. Namun begitu struktur unik yang tersergam indah ini lokasinya terletak di Ranau, Sabah. Nunuk Ragang nama diberi merupakan antara tempat suci bagi kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Pada setiap minggu pertama bulan Julai saban tahun inilah kawasan yang wajib dikunjungi kerana menurut kepercayaan mereka disinilah asal bermulanya tempat kelahiran n nenek moyang kaum Kadazan-Dusun suatu waktu dahulu. Menurut bahasa Dusun, perkataan “Nunuk” bermaksud pokok kayu ara atau nama saintifiknya Ficus Sycomorus. Manakala “Ragang” pula diambil daripada perkataan “Aragang” yang bermaksud warna merah. Jadi “Nunuk Ragang” membawa pengertian sepohon pokok kayu ara yang berwarna merah. Sesuai dengan pengertian namanya sahaja sudah tentu ada jalan ceritanya yang berkaitrapat dengan mitos asal keturunan masyarakat Kadazan-Dusun yang juga merupakan kaum terbesar di Sabah, Negeri Dibawah Bayu.
Al-kisahnya beribu-ribu tahun dahulu ketika manusia belum ada di kawasan Nunuk Ragang terdapat sepohon pokok yang saiznya adalah terlalu besar. Difahamkan juga bahawa pohon ini adalah merupakan pohon yang paling besar pernah tumbuh di Pulau Borneo. Oleh kerana kawasan sekitarnya hanya diliputi oleh hutan belantara maka pohon ara yang berwarna merah ini terserlah kewujudannya di situ. Kerana itulah juga persekitaran pohon juga dijadikan tempat berlindung bagi banyak binatang di hutan. Ironinya sesuatu yang ajaib juga berlaku pada binatang-binatang yang menjadikan pohon ini tempat habitat mereka kerana dikatakan saiz binatang juga turut besar-besar. Maka disinilah juga hidupnya seekor ayam jantan bersaiz gergasi yang dikatakan saiznya sebesar seekor kerbau. Ayam jantan inilah raja kepada segala binatang di kawasan Nunuk Ragang.
Sudah menjadi tabiat seekor ayam mengais-ngais tanah untuk mencari makanan maka begitulah juga si ayam jantan ini. Bukan calang-calang cara dia mengorek tanah kerana impak kepada saiznya itu. Rupa-rupanya kesungguhan ayam jantan mengais-ngais tanah ini sebenarnya adalah kerana ianya dikatakan sedang mencari sesuatu di dalam tanah iaitu dikatakan menjelma di permukaan seorang pemuda yang kacak. Walaupun sudah muncul manusia pertama, si ayam jantan tidak berhenti jua malah terus menjalankan kerjanya sehinggalah menjelma pula manusia kedua iaitu merupakan seorang gadis yang cantik jelita. Oleh kerana tiada lagi manusia yang wujud pada masa itu, dikatakan si ayam jantan telah mengambil kedua-dua orang manusia ini menjadi anak angkatnya. Diajarkannya kedua-duanya tentang cara hidup di hutan dan akhirnya apabila meningkat dewasa, pemuda dan gadis ini membentuk keluarganya sendiri sehingga melahirkan generasi yang ramai. Dan sejak daripada itulah juga kawasan Nunuk Ragang menjadi ramai populasinya. Bagi memenuhi tuntutan penghidupan manusia di Nunuk Ragang, si ayam jantan juga telah melantik si pemuda sebagai Penghulu di Nunuk Ragang. Di bawah pimpinan si pemuda ini dikatakan wilayah Nunuk Ragang semakin makmur. Dengan lokasinya yang berdekatan dengan sungai-sungai maka kemakmuran Nunuk Ragang tiada bandingannya apabila penduduknya belajar untuk bercucuk tanam malah juga sumber rezeki di sungai turut diterokai. Kemakmuran dan kedamaian penduduk di Nunuk Ragang mula tergugat apabila pada suatu hari ia dilanda satu wabak yang tidak diketahui dimana asalnya. Ianya dikenali sebagai “Ragang Tie” atau wabak tahi merah. Dek kerana itulah penduduk di Nunuk Ragang mula dilanda sakit-sakit yang berpanjangan malah ada yang meragut jiwa. Tidak terkecuali hasil tanaman semakin berkurangan kerana wabak ini turut memusnahkan apa jua yang ditanam. Belum lagi diperkira ikan-ikan di sungai banyak juga yang mati sehingga memungkinkan tiada apa yang hendak dimakan.
Ragang Tie ini telah memberi seribu satu kesukaran kepada penduduk di Nunuk Ragang sehingga disinilah bermulanya perpindahan orang Nunuk Ragang ke segenap pelusuk Sabah suatu waktu dahulu. Inilah juga kepercayaan mitos perpindahan nenek moyang masyarakat Kadazan-Dusun bermula.
Walaupun ramai yang berpindah mencari kawasan yang lebih makmur namun dikatakan masih ada lagi saki baki Orang Nunuk Ragang yang tidak mahu berpindah. Mereka mencuba sedaya upaya untuk hidup di kawasan tersebut dengan sebaik mungkin. Satu hari diceritakan ada sebahagian daripadanya telah cuba menanam padi kerana itulah musimnya. Di ketika sedang asyik dengan kerja-kerja huma mereka pada masa itulah mereka mendengar seperti ada suara manusia memanggil mereka dari dalam tanah.
Hal yang menggemparkan itu telah diajukan buat pendengaran penghulu mereka. Dengan arahan penghulu mereka akhirnya mereka cuba mengorek tanah di kawasan mereka mendengar suara manusia itu. Tiba satu saatnya korekan tanah yang dalam akhirnya mereka menjumpai satu lubang yang besar. Dari kejauhan mereka sudah mendengar bunyi suara manusia bercakap dengan kuat dan kasar. Dan pada masa itu juga Orang Nunuk Ragang dapat melihat kelibat manusia-manusia yang raut wajahnya bengis-bengis belaka memenuhi setiap ruang di dalam tanah tersebut. “Orang Bawah Tanah” itulah panggilan Orang Nunuk Ragang bagi menggelar mereka.
Oleh kerana mereka sesama manusia, Penghulu Nunuk Ragang cuba berbaik-baik dengan “Orang Bawah Tanah” dan beliau cuba untuk bersua dengan ketua mereka. Sebaliknya salam persahabatan yang dihulurkan disambut dengan cacian daripada ketua “Orang Bawah Tanah” tersebut. Semuanya kerana Orang Bawah Tanah berpandangan skeptikal bahawa Orang Nunuk Ragang akan cuba untuk tinggal bersama mereka di dalam tanah kerana wilayah Nunuk Ragang telah tercemar oleh Ragang Tie. Untuk tidak mengeruhkan suasana, penghulu Nunuk Ragang terus meninggalkan lubang Orang Bawah Tanah. Sesuatu yang orang Nunuk Ragang tidak mengetahui bahawa Orang Bawah Tanah begitu membenci mereka kerana tidak mahu hidup di dalam perkongsian waima seinci tanah pun. Oleh kerana itulah dikatakan beberapa kali mereka keluar dari lubang tanah tempat kediaman mereka dan cuba membunuh serta membuat onar di Nunuk Ragang. Peristiwa ini telah membawa satu lagi faktor penghijrahan kedua dari tempat asal mereka ke wilayah yang lain bagi Orang Nunuk Ragang. Lama-kelamaan dikatakan di wilayah itu sudah mula berkurangan penduduk asalnya maka bermaharajalelalah Orang Bawah Tanah pula. Mereka keluar daripada penghidupan di dalam tanah dan membuka satu perkampungan mereka sendiri juga berdekatan dengan Nunuk Ragang yang dikenali sebagai Tampias.
Adalah dipercayai bahawa Orang Bawah Tanah itu juga manusia biasa tetapi dikatakan adalah mereka yang mendapat sumpahan dari Dewa Tanah. Sumpahan itu adalah satu hukuman kerana dikatakan mereka ketika tinggal di atas tanah merupakan antara manusia yang sentiasa memusnahkan alam sekitar serta menimbulkan banyak keriuhan di dunia.
Walaupun sudah mendominasi wilayah Orang Nunuk Ragang namun dendam kesumat Orang Bawah Tanah tidak pernah luntur. Percubaan untuk membunuh Penghulu dan si ayam jantan sakti Orang Nunuk Ragang sentiasa menjadi misi utama mereka. Demi menjaga keselamatan penghulu itulah, dikatakan si ayam jantan sakti telah “menerbangkan” penghulu serta beberapa penduduk yang tinggal ke satu kawasan pergunungan yang tanahnya agak berlumpur. Kawasan itu dikenali sebagai Ranau sekarang. Malah nama “Ranau” itu juga bermaksud “lumpur” di dalam bahasa Kadazan-Dusun.
Orang Nunuk Ragang membuka Ranau sebaik mungkin dan hidup di Ranau untuk seketika di dalam aman damai. Orang Bawah Tanah pula masih tidak berpuashati dan mereka mengejar mereka sehingga ke Ranau pula. Ironinya dengan kesaktian yang ada pada si ayam jantan, segala niat diketahui lebih awal maka kali “diterbangkannya” pula si penghulu sehingga ke Tambunan.
Ketibaan Orang Bawah Tanah ke Ranau langsung tidak mampu membunuh si penghulu mahupun si ayam jantan. Akhirnya ada dikalangan mereka turut tinggal di Ranau lalu mengasimilasikan diri bersama-sama dengan Orang Nunuk Ragang yang ada di Ranau sehingga sekarang.
Sekali lagi keberadaan penghulu dan si ayam jantan di Tambunan diketahui oleh Orang Bawah Tanah. Dan tanpa memperdulikan penat lelah dan kegagalan sebelum ini, mereka bertindak mengejar sehingga ke Tambunan. Sebelum si ayam jantan dan penghulu meninggalkan bumi Tambunan, sempat mereka memilih seorang penghulu untuk mengetahui masyarakat Orang Nunuk Ragang di Tambunan. Penghulu itu bernama Gombunan dan kerana itulah satu tempat yang tidak bernama itu dikenali dengan nama Tambunan iaitu mengambil bersempena nama penghulunya iaitu Gombunan.
Kegagalan kali ketiga bagi Orang Bawah Tanah kerana penghulu dan si ayam jantan telahpun “terbang” ke Apin-apin pula. Episod buru memburu ini tiada kesudahannya bagi si Orang Bawah Tanah. Dari Apin-apin, si penghulu dan ayam jantan telah “terbang” ke seluruh pelusuk bumi di Sabah dan salah satunya Keningau. Keningau adalah satu kawasan yang kaya raya dengan kayu manis. Dan begitulah juga bagaimana Keningau mendapat nama yang bermaksud “kayu manis” di dalam bahasa Kadazan-Dusun.
Akhirnya setiap yang hidup akan mati maka begitulah juga si penghulu dan si ayam jantan. Episod survival mereka berdua menemui titik noktahnya apabila si ayam jantan sudah lelah kerana sakit tua dan akhirnya mati. Tidak lama kemudian si penghulu pula mengikut jejak langkah si ayam jantan yang telah membesar dan membantunya di dalam segenap segi demi survival Orang Nunuk Ragang.
Dan pengakhiran itu juga menyaksikan Orang Bawah Tanah sudah tidak memburu ketua Orang Nunuk Ragang lagi dan mereka kekal hidup bersama-sama dengan saki baki Orang Nunuk Ragang yang ada sehingga ke hari ini.
Inilah ceritanya mengenai Nunuk Ragang di Sabah yang mempunyai keunikannya di dalam hubungkaitnya melalui cerita mitos iaitu asal muasal Orang Nunuk Ragang yang juga merupakan nenek moyang masyarakat Kadazan Dusun yang ada sekarang. Struktur Nunuk Ragang yang disaksikan sekarang yang menyerupai sepohon kayu yang ditebang merupakan ekspressi kepada pohon kayu ara merah gergasi yang dikatakan telah musnah ditebang oleh Orang Bawah Tanah suatu waktu dahulu. Mungkin ada banyak versi penceritaan mitos ini dan apa yang ditampilkan adalah salah satu daripadanya.
-HB-
Rujukan:
1. Benedict Topin, (n.d.) “The Origin of the Kadazan/Dusun: Popular Theories and Legendary Tales” in Our Cultural Heritage, Kadazan Cultural Association, pp. 73-77. 2. Nunuk Ragang – Agama Dan Kepercayaan http://www.sabah.edu.my/itls07013/agamadankepercayaan_nunukragang.html
3. Nunuk Ragang – The Birth of Kadazan Dusun http://www.mysabah.com/wordpress/nunuk-ragang/