FROM KAMPUNG DATU, SIBU WITH LOVE
FROM KAMPUNG DATU, SIBU WITH LOVE
MUSIBAH kebakaran yang melanda perkampungan tradisi beberapa tahun yang lepas benar-benar telah mengubah lanskap perkampungan yang amat bersejarah ini di Bahagian Sibu, Sarawak. Bencana yang menimpa turut diratapi kita semua tanpa mengira agama mahupun bangsa di Sarawak. Tiada siapa boleh menafikan betapa perkampungan ini begitu dekat di hati rakyat Sarawak kerana banyak kronologi bersejarah yang berlaku di sini suatu waktu dahulu.
Kampung Datu merupakan satu perkampungan tradisi yang terletak Sibu, Sarawak. Lokasinya adalah di tebing Sungai Igan iaitu salah satu cabang kepada Sungai Rejang, sungai terpanjang di Sarawak mahupun di Malaysia. Dengan rancaknya pembangunan di Sibu sekarang menyaksikan Kampung Datu begitu berharga tanahnya kerana dikelilingi pusat-pusat komersial namun seperti seadanya perkampungan ini sentiasa dipertahankan oleh penduduk-penduduknya.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Kampung Datu ini merupakan antara perkampungan tradisi yang tertua sekali di Bahagian Sibu. Diperkira kewujudannya sudahpun ada sekitar tahun 1700an lagi. Dan kewujudannya sinonim dengan sejarah penghijrahan kaum Melayu dan juga Melanau di seluruh Sarawak lebih-lebih lagi dari “Negeri Melanau” seperti dari Mukah, Igan, Daro serta banyak lagi. Berdasarkan kepada sejarah ini bermakna Kampung Datu wujud lebih awal sebelum kedatangan Brooke lagi malah juga jauh sebelum Imigran Fochow mula membuka Sibu Moden suatu waktu dahulu.
Setakat ini tiada dokumen sejarah yang boleh disandarkan bagaimana Kampung Datu mendapat namanya. Mengikut kajian yang telah diperinci melalui rujukan yang sah hanya cerita oral daripada orang-orang tua yang boleh dijadikan sandaran. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang sejarahwan tempatan bernama Encik Hamden Merais, diketika pembukaan awal perkampungan tersebut ianya dikenali dengan nama Kampung Haji Adam.
Kampung Haji Adam pula merujuk kepada seorang nakhoda kapal yang terkenal dari Mukah. Ketokohannya menjadi nakhoda membawanya mengembara ke Trengganu, Singapura dan Selatan Thailand melalui kapalnya yang dinamakan M.V Haji Daud. Nakhoda Haji Adam adalah juga saudagar yang membawa banyak tekstil dan barangan dari Negara-negara yang dilawati ke seluruh Sibu suatu waktu dahulu.
Kerana pengalaman beliau yang banyak juga menyebabkan timbulnya idea untuk membuka satu perkampungan tradisi betul-betul di tebing Sungai Igan agar lebih memudahkan beliau serta siapa sahaja penduduk untuk berniaga pada waktu itu. Idea itu digemari oleh penduduk maka bermulalah pembukaan awal perkampungan tradisi ini dengan membina rumah-rumah beratapkan nipah dan juga kayu secara gotong royong.
Oleh kerana lokasinya terletak di persisiran Sungai Igan dengan bentuk mukabuminya agak berlumpur oleh itu untuk memudahkan perhubungan dari rumah ke rumah penduduk maka didirikan jalan batang kayu. Jalan batang kayu ini dikenali sebagai Jalan Batang suatu waktu dahulu dan bekalan kayu kayan tidaklah susah kerana disekeliling perkampungan pada masa itu masih lagi diliputi hutan belantara yang kaya dengan pelbagai jenis pokok kayu.
Dari nama Kampung Haji Adam bertukar menjadi Kampung Datu sememangnya sesuatu yang kita ingin ketahui secara lebih lanjut. Namun begitu tiada yang benar-benar pasti mengapa ianya ditukar nama melainkan secara oral juga disandarkan kenyataan bahawa penghijrahan golongan pemimpin Melayu Datu-datu atau Perabangan daripada Mukah, Igan dan sebagainya untuk menetap di satu perkampungan yang lebih tersusun ini menjadi penyebabnya. Dan pada tahun berapa ianya dikenali sebagai Kampung Datu juga tidak diketahui.
Sinonimnya namanya kampung Datu dengan sejarah penghijrahan masyarakat Melayu dan Melanau di Sarawak sememangnya tidak boleh dinafikan sama sekali. Ini kerana mengikut pensejarahan di Bahagian Sibu terdapat 2 tempat yang menjadi tumpuan para penduduk yang berhijrah dari kawasan pedalaman Bahagian Sibu iaitu di Kampung Pulo/Pulo Berendam dan Kampung Datu.
Jika kampung Datu terletak di persisiran tebing Sungai Igan untuk Kampung Pulo/Pulo Berendam pula lokasinya betul-betul di dalam pusat Bandar Sibu. Namun sayangnya perkampungan tradisi ini sudah lenyap dek zaman kerana sudah lama dimamah arus pembangunan Sibu yang pesat. Yang hanya tinggal menjadi tadalah sebuah tapak perkuburan lama warga Islam yang masih dipertahan sehingga sekarang untuk menjadi bukti kewujudan perkampungan tersebut buat renungan anak cucu pada masa hadapan.
Signifikasi Kampung Datu mahupun Kampung Pulo di Sibu dengan penentangan Anti-Cessionist Sarawak juga turut mewarnai ceritanya. Kerana disinilah juga sewaktu semangat anti-penyerahan Sarawak oleh Brooke kepada Koloni British turut mekar ranum. Masyarakat Melayu dan Melanau di perkampungan ini antara mereka yang menjadi pelopor di dalam gerakan itu suatu waktu dahulu. Perwira bunga bangsa yang gugur iaitu Allahyarham Rosli bin Dhoby misalnya adalah perwira yang dilahirkan di Kampung Pulo Berendam manakala ramai lagi rakan-rakannya di dalam Rukun 13 juga berasal dari Kampung Datu juga.
Sebenarnya ada banyak lagi rentetan kronologi mengenai pensejarahan perkampungan tradisi tertua di Sibu ini. Justeru itu adalah diharap agar perkampungan tradisi ini akan terus dipertahankan dan diminta agar pihak kerajaan yang berura-ura untuk membangunkannya perlu mengambilkira nilai sejarah perkampungan itu jua. Jangan dek kerana kita mengejar pembangunan malah juga atas harga tanah yang bernilai jutaan ringgit maka kita “menjual” satu lagi “harta” lambang jatidiri kita kepada puak kapitalis.
Hakikatnya banyak kronologi sejarah anak bangsa Sarawak di Sibu sudah mula dilenyapkan sedikit demi sedikit dengan penukaran nama-nama jalan yang tidak sinonim dengan sejarah bangsanya. Ianya harus dihentikan kerana tidak adil untuk pengetahuan anak bangsa kita masa hadapan.
Sejarah bangsa itu lebih awal usianya daripada sejarah politik.
Rujukan:
[if !supportLists]1. [endif]Borneo Post, 20 Jun 2014 – Kampung Datu mulanya Kampung Haji Adam
http://www.theborneopost.com/2014/06/20/kampung-datu-mulanya-kampung-haji-adam/
[if !supportLists]2. [endif]Borneo Post, 27 Julai 2014 – Kampung Pulo Berendam “Tertimbus” Oleh Hutan Konkrit
http://www.theborneopost.com/2014/07/27/kampung-pulo-berendam-tertimbus-oleh-hutan-konkrit/
[if !supportLists]3. [endif]Utusan Sarawak, 7 Ogos 2014 – Pelihara Nilai Sejarah
http://www.utusansarawakonline.com/news/16957/Peliharakan-nilai-sejarah/
[if !supportLists]4. [endif]About Sibu - http://www.swk.com.my/sibu.htm
[if !supportLists]5. [endif]Early History of Sibu – Persatuan Foochow Sabah-Sarawak, Malaysia FB page