PERAHU TRADISI KAUM MELANAU
PERAHU TRADISI KAUM MELANAU
BILA berbicara mengenai Kaum Melanau tidak boleh tidak kita akan mengaitkan mereka dengan dunia maritim atau lautan. Merekalah antara kaum di Sarawak yang terkenal dengan dominasi mereka di dunia lautan daripada mencari rezeki sebagai nelayan menjadikan ombak dan badai sebagai padang permainan mereka. Dan daripada kaum merekalah banyak kulinari-kulinari tradisional berdasarkan makanan laut menjadi pembuka selera buat santapan keluarga pelbagai bangsa dan agama seperti umai serta banyak lagi.
Sejajar dengan itu juga di dalam masyarakat Melanau mempunyai kepelbagaian jenis perahu atau kapal tradisional yang sebenarnya mempunyai identitinya sendiri berdasarkan fungsi-fungsinya digunapakai sejak daripada zaman nenek moyang mereka lagi. Bahong, badong, bakong, buagan dan bidar merupakan nama-nama perahu tradisi di dalam masyarakat Melanau dan perlulah diketahui ianya bukan satu nama standard. Ini kerana seperti yang kita ketahui setiap dialek kaum Melanau mempunyai keunikannya tersendiri contohnya dialek Melanau Mukah sudah tentu tidak sama dengan dialek Melanau Igan yang mana menyebabkan gelarannya mungkin berlainan.
Secara amnya pembuatan perahu tradisi masyarakat Melanau juga seperti pembuatan perahu mana-mana etnik di Sarawak Cuma sesuai dengan penempatan mereka kebanyakan kayu-kayan diperolehi dikawasan hutan yang berdekatan. Jenis-jenis kayu yang digunakan adalah seperti kayu kapur (Lelawak), papa, daeet, gerangan dan juga meranti. Pemilihan jenis kayu pula dikatakan berlainan untuk setiap jenis perahu tradisi kerana ianya dipilih berdasarkan kriteria tertentu iaitu saiz, kapasiti mahupun kelajuan perlu diambilkira.
Jenis perahu Bahong atau Badong merupakan jenis perahu tradisional yang lebih besar. Ianya digunakan untuk membelah lautan dan kerana itulah jenis saiznya agak besar. Jika berkata tentang dunia nelayan laut dalam, inilah jenis perahu tradisional yang banyak memainkan peranannya di laut dalam mencari sumber rezeki utama masyarakat Melanau dahulukala. Selain daripada itu dengan kapasitinya juga perahu ini turut dijadikan perahu penumpang dan juga untuk membawa barangan dagangan atau keperluan masyarakat Melanau dari satu tempat ke tempat yang lain yang berjarak jauh.
Seringkali apabila kita melihat gambar-gambar lama sudah tentu di buritan sebuah kapal besar akan diikat satu perahu kecil dan ini juga dapat kita terjemahkan apabila ada sejenis perahu tradisional yang akan mengiringi setiap pelayaran perahu Bahong. Ianya dikenali sebagai perahu buagan. Saiznya agak kecil dan kegunaannya adalah untuk untuk mengangkut penumpang atau barangan melalui sungai-sungai kecil.
Perlulah diingatkan suatu waktu dahulu bukan semua tempat mempunyai pelabuhan maka adakalanya perahu bahong perlu berlabuh di tengah sungai atau muara sungai dan disinilah kegunaan perahu buangan itu nanti iaitu untuk lebih cepat menghampiri kawasan daratan. Ada juga sesetengah perahu buagan ini sememangnya dimiliki oleh keluarga masyarakat Melanau untuk dijadikan kenderaan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ini kerana kawasan penempatan mereka kebanyakannya dihubungi dengan jalinan sungai yang banyak di Sarawak.
Untuk perahu Bidar pula mempunyai 2 jenis fungsinya dan saiznya juga turut memainkan peranan berdasarkan fungsinya. Bidar yang dihiasi dengan pelbagai corak bendera mahupun aksesori tradisi Melanau seperti terendak, bakul mahupun hiasan “Serahang” adalah bidar yang digunakan untuk pesta tradisi mereka iaitu Pesta Kaul.
Jenis perahu bidar yang kedua pula adalah untuk kegunaan perlumbaan perahu. Perahu Bidar Melanau sudah terkenal dengan kejaguhannya sebagai “Raja Regatta Di Sarawak” sejak dahulu lagi. Sekitar tahun 1872 iaitu ketika Sarawak Regatta 1872 dibawah pentadbiran Brooke, Bidar Melanau bernama “Sri Matu” telah menjadi Raja Sungai Sarawak buat sekian kalinya walaupun baru sahaja diperkenalkan. Ianya telah membuka mata para penonton Eropah mahupun masyarakat Sarawak pada masa itu bahawa perahu tradisi Melanau juga mempunyai kualitinya yang tersendiri.
Dunia moden sekarang, kita menyaksikan ramai yang mempunyai hobi kawalan bot lumba mini. Hobi yang agak mahal tetapi begitu menguja bagi setiap pemainnya. Dan tanpa kita mengetahui bahawa di kalangan masyarakat Melanau sudah lama mempunyai hobi tersebut. Walaupun bukan berbentuk kawalan jauh tetapi ianya mempunyai treknya tersendiri. Permainan tradisi ini dipanggil “Bidar Lukut” yang mana satu permainan lumba di air untuk jenis bidar mini. Sehingga sekarang permainan tradisi ini masih tetap dilestarikan lebih-lebih lagi di ketika Pesta Kaul diadakan.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenali perahu tradisional masyarakat Melanau yang tidak kurang hebat ceritanya sejak dahulu lagi. Perahu tradisi juga adalah salah satu lambang keagungan masyarakat Melanau yang banyak menghiasi ceritera sejarah mereka. Semoga ianya tidak lenyap dimamah waktu kerana inilah sumber warisan kita yang membentuk jatidiri sebagai satu bangsa.
Rujukan:
1. Bidar Lukut Gamit Memori Kaum Melanau 40 tahun Dahulu by MalaysiaAktif.com
2. Sarawak Regatta : Type of Race Boats by Gangbangs.wordpress
3. History Comes Alive In Sarawak Regatta by E.Borneo.com