TPR RASLI BIN BUANG
JEJAK PAHLAWAN SARAWAK – TPR RASLI BIN BUANG
MUNGKIN ramai generasi baru anak Sarawak tidak pernah mendengar nama individu ini namun untuk kesekian kalinya individu yang dimaksudkan ini bukanlah calang-calang keperwiraannya di dalam kronologi sejarah ancaman komunis di bumi Malaysia suatu waktu dahulu. Gugurnya sebagai perwira bangsa dilupa jangan dan setiap kita sebagai rakyat Malaysia berhutang nyawa dengan beliau dan kesemua perajurit kita kerana tanpa mereka, kita tidak akan dapat mengecapi keamanan yang kita nikmati sekarang.
Trooper Rasli bin Buang merupakan seorang anak Sarawak berketurunan Melayu yang berasal dari Kampung Sungai Lumut, Buntal iaitu sebuah perkampungan nelayan yang lokasinya di Kuching, Sarawak. Beliau merupakan seorang anggota perajurit Malaysia yang bertugas di Skuadron X, Tentera Darat Diraja Malaysia. Nama beliau mewarnai antara penerima anugerah pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa atas keberanian beliau bertempur dengan pihak musuh sehingga meragut nyawanya pada satu tragedi yang berlaku pada tahun 1971.
Menyelusuri cerita keperwiraan beliau ini berlaku pada tanggal 6hb Julai 1971 di Hutan Perlop. Pada ketika itu, TPR Rasli diletakkan di dalam Trup No. 3 Skuadron X yang ditugaskan dengan satu misi khas iaitu untuk memusnahkan satu gerakan komunis yang telah dikenalpasti ada di Hutan Perlop pada masa itu. Setelah menerima arahan daripada Pegawai Skuadron X, TPR Rosli bersiaga dengan senjatanya untuk membuat rondaan bersama-sama dengan beberapa orang anggota di dalam Trup 3.
Diceritakan ketika TPR Rasli dan anggota Trup 3 melalui satu denai di dalam hutan inilah mereka telah diserang hendap oleh segerombolan gerila komunis. Dengan muntahan peluru bertali arus, Trup 3 cuba melindungi diri sebaik mungkin. Tidak membiarkan gerila komunis lepas lari, mereka juga turut berbalas tembakan. Pada masa inilah TPR Rasli telah bergerak sambil menembak musuh dengan senjatanya. Ianya dilakukan kerana beliau cuba untuk memberi bantuan kepada rakannya yang telah tercedera.
Biarpun mampu merapati rakan seperjuangannya, kelibatnya telah dikesan terlebih dahulu oleh gerila komunis maka beliau menjadi sasaran mudah bagi mereka. Di ketika inilah satu tembakan mengena tepat di bahagian lehernya lalu TPR Rasli terkorban serta merta di tempat kejadian. Inilah pahlawan kita yang sanggup bergalang nyawa biar gugur sebagai bunga bangsa hanya untuk membantu rakan seperjuangannya yang lain. Satu semangat kesatuan malah juga sifat keberanian yang sentiasa tumbuh mekar di dalam setiap roh anggota perajurit kita.
Tragedi serang hendap komunis di Hutan Perlop ini menyaksikan 2 bunga bangsa pahlawan Negara Malaysia gugur di tangan komunis sementara seorang lagi tercedera. Di pihak gerila komunis pula dikatakan tiada rekod untuk menceritakan kemusnahan mereka. Sekitar tahun 1972, TPR Rasli telah dikurniakan oleh Seri Paduka Yang Dipertuan Agung Malaysia dengan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa sebagai mengenang pengorbanannya di Hutan Perlop. Jenazah Allahyarham TPR Rasli pula telah diterbangkan ke tanah tumpahnya Sarawak Bumi Kenyalang beberapa hari selepas itu dan dikebumikan dengan penuh istiadat pengebumian Islam di Tapak Perkuburan Kampung Buntal, Kuching. Sekitar tahun 2015 atas usaha Kerajaan Negeri Sarawak, makam TPR Rosli telah dimasukkan sebagai antara pusara pahlawan Negara yang menyaksikan makamnya dijaga dan dipulihara. Saban tahun, makamnya diziarahi oleh ramai panglima-panglima tentera Malaysia di dalam mengenang pengorbanannya ke atas Negara kita, Negara Malaysia.
Inilah ceritanya seorang pahlawan anak Sarawak yang gugurnya di tangan pihak gerila komunis demi memperjuangkan keamanan kita semua. Semoga rohnya di tempatnya di kalangan mereka yang beriman dan para syuhada. Al-Fatihah. Amin.
Lest We Forget!
Rujukan:
1. Official Portal Malaysian Army – Keberanian Dan Pengorbanan http://army.mod.gov.my/index.php/en/about-us/hsitory/sacrifice 2. Utusan Sarawak Online, 20 November 2015 – Pusara Allahyarham Rasli Jadi Pusara Pahlawan http://www.utusansarawakonline.com/news/30106/Pusara-Allahyarham-Rasli-jadi-pusara-pahlawan/ 3. Borneo Post, 22 Januari 2016 – Unimas Erects Memorial Board For Rasli Buang http://www.theborneopost.com/2016/01/22/unimas-erects-memorial-board-for-rasli-buang/ 4. BH Online, 4 Ogos 2016 – Divisyen Pertama Infantri Beri Penghormatan Pahlawan Negara http://www.bhplus.com.my/node/179988