KETUA MENTERI SARAWAK KE-6
KETUA MENTERI SARAWAK KE-6
- YAB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg
PADA tanggal 13 Januari 2017 satu lagi sejarah tercipta di dalam kronologi sejarah Sarawak Bumi Kenyalang apabila Ketua Menteri Sarawak yang ke-6 akhirnya dipilih bagi menggantikan Allahyarham TokNan yang telah meninggalkan kita. Ketua menteri Sarawak tersebut adalah seorang ahli politik yang tidak asing lagi di dalam dunia politik Sarawak iaitu Yang Amat Berbahagian Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.
Untuk artikel kali ini, kita tinggalkan dahulu pegangan politik masing-masing dan bersama-samalah kita cuba untuk mengenali siapakah individu yang terpilih untuk jawatan KM ke-6 Sarawak ini kerana sudah tentu ramai yang tidak mengenalinya.
Terkenal dengan panggilan “Abg Jo” dikalangan rakyat Sarawak digambarkan sebagai seorang yang mempunyai keperibadian yang penyabar dan “cool” disebalik wajahnya yang agak serius. Dan beliau merupakan anak Melayu Sarawak yang kedua pernah terpilih menjawat jawatan tersebut setelah Allahyarham TokNan.
Penghidupan Keluarga
Dilahirkan pada tanggal 4hb Ogos 1950 di Limbang, Sarawak merupakan anak bongsu daripada 5 beradik kepada mantan Tuan Gabenor pertama Sarawak iaitu Allahyarham Tun Abang Haji Openg bin Abang Sapiee dengan pasangannya Dayang Masniah binti Abang Abdul Rahman. Walaupun dilahirkan di Limbang namun sebenarnya Abg Jo meniti usia kanak-kanak sehingga remaja di Kuching, Sarawak iaitu untuk lebih mengkhusus di Kampung Bandarsyah, Kuching. Pasang surut Sungai Bintangor itulah yang menjadi saksi bisu bagaimana Abg Jo menempuhi kegirangan zaman kanak-kanak sehingga remaja bersama rakan-rakannya dari pelbagai bangsa dan agama di Kuching, Sarawak.
Mengimbau sejarah keluarga Abg Jo juga sebenarnya adalah cicit kepada seorang ikon pahlawan Sarawak yang ternama iaitu Datuk Patinggi Abang Ali bin Abang Amir atau lebih dikenali sebagai Datu Patinggi Ali di kalangan rakyat Sarawak. Beliau merupakan penasihat kepada Rajah Sarawak Kingdom iaitu diketika era pemerintahan Rajah yang pertama iaitu Sir James Brooke.
Jadi diperkira perlantikan Abg Jo sebagai Ketua Menteri Sarawak pada kali ini seumpama mengimbau kembali sejarah penglibatan golongan Melayu Datu-datu atau Melayu Perabangan yang pernah menghiasi pucuk pimpinan Sarawak dari era Sarawak dibawah Brunei sehinggalah dibawah pemerintahan Brooke.
Bukti kepimpinan golongan Melayu Datu-datu ini sememangnya tidak boleh dinafikan kerana mereka telah melahirkan pemimpin-pemimpin Sarawak yang unggul seperti Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, Datu Bandar Abang Haji Mohammad Kassim, Datu Abang Mersal serta ramai lagi yang telah terbukti kecemerlangan mereka di dalam rentetan berdirinya Sarawak Kingdom sehingga ke Sarawak Bumi Kenyalang yang kita kenali sekarang.
Bila sudah teguh segalanya di dalam pekerjaan serta matang akhirnya Abg. Jo mengakhiri zaman bujangnya dengan memilih gadis idamannya yang juga lahir di kalangan keluarga Melayu Sarawak yang tersohor iaitu Datin Amar Juma’ani binti Tun Tuanku Haji Bujang. Perkahwinan mereka telah melahirkan sepasang cahayamata iaitu putera sulungnya bernama Abang Abdillah Izzarim manakala puteri bongsunya pula adalah Dayang Norjihan.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Abg Jo sebenarnya sejak dari dulu lagi sudah mengamalkan pemakanan yang sihat di dalam rutin hariannya. Kebiasaannya sebelum sahaja beliau masuk tidur, beliau akan mengakhiri jadual hariannya dengan memakan sebiji buah kurma sekurang-kurangnya. Mungkin inilah juga rahsia awet muda Abg Jo yang sekarang berusia 66 tahun tetapi masih gagah.
Seperti kata pepatah jika hendak suami kita mencintai kita seadanya, harus si isteri memasak menu harian suaminya dan begitulah juga yang dilakukan oleh Datin Amar Juma’ani kerana diceritakan Abg Jo adalah seorang suami yang makan di rumah dengan merasai sendiri hasil air tangan isterinya. Antara menu kegemaran Abg Jo adalah ayam masak merah, daging masak kicap, ikan asam pedas dan rojak. Dan kesemuanya adalah masakan isterinya tercinta yang dikatakan mempunyai rempah ratus dan ramuan tersendiri yang sungguh istimewa.
Pendidikan Dan Karier
Menyelusuri sejarah pendidikan formal bagi Abg Jo dimulai dengan mendapat pendidikan rendahnya di Sekolah Rakyat Merpati Jepang. Kemudian peringkat menengahnya pula, beliau telah dihantar oleh keluarganya ke SMB St Joseph, Kuching. Menginjak zaman remaja setelah usai peperiksaan akhirnya beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Nun jauh ke benua Eropah iaitu University Brunnel, London, United Kingdom beliau berkelana menuntut ilmu sehingga mendapat segulung ijazah pertama di dalam pengurusan perniagaan.
Pulang menimba ilmu di Negara orang walaupun dilahirkan di kalangan keluarga yang sememangnya terlibat secara langsung di dalam politik namun Abg Jo lebih memilih untuk bekerja di sektor korporat. Tertarik dengan dunia korporat penerbangan menyebabkan beliau memohon untuk bekerja di Sistem Penerbangan Malaysia pada waktu itu iaitu satu-satunya syarikat penerbangan hakmilik Malaysia pada waktu itu. Berdasarkan kepada kelulusan yang ada beliau diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Ekskutif di Bahagian Perhubungan Korporat MAS. Dari situlah beliau belajar segalanya hal-ehwal pentadbiran dunia korporat seadanya.
Dan sekali lagi atas desakan dirinya yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan, Abg Jo mengambil cuti belajar buat seketika dengan meninggalkan dunia politik sekitar tahun 1988 untuk meneruskan pengajiannya juga ke universiti yang samanya dahulu. Berkat kesabarannya juga akhirnya beliau berjaya membawa pulang segulung ijazah MBA.
Dunia Politik
Penglibatan Abg Jo di dalam dunia politik sebenarnya hanya berlaku pada tahun 1977 walaupun hakikatnya dunia politik Sarawak itu sudah menjadi darah dagingnya kerana ayahandanya adalah orang politik ternama di Sarawak. Beliau secara aktifnya menjadi antara barisan pemuda sayap PBB Sarawak pada waktu itu sehinggalah pada tahun 1981 barulah beliau mula bertanding di dalam kancah politik Sarawak.
Ketika PRN 1981 itulah beliau telah mewakili PBB-BN Sarawak untuk DUN Satok dan seterusnya untuk 9 penggal beliau mengungguli DUN Satok tanpa pernah kalah sekalipun iaitu sejak dari tahun 1981, 1983, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 dan 2016. Inilah kehebatan Abg Jo yang begitu popular dan punya sokongan dari akar umbi yang kuat di kampung halaman iaitu dimana beliau dibesarkan.
Begitu lama Abg Jo mengabdikan dirinya di dalam dunia politik Sarawak dan beliau juga adalah antara “senior politician” di dalam PBB Sarawak. Kerana kematangan berpolitik serta sikap tanggungjawab yang tinggi menyaksikan, Abg Jo telah menjawat beberapa jawatan penting Kerajaan Negeri Sarawak seperti Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak ke-4 (1983-1984) kemudian beliau juga pada tahun yang sama memenangi jawatan Timbalan Ketua Pemuda PBB tanpa bertanding. Pada 9 Mac 1984, beliau diberikan pula kepercayaan untuk menjawat Menteri Muda iaitu sebagai Menteri Muda Wilayah dan Pembangunan Sosial Sarawak.
Kemudian karier politiknya semakin kukuh apabila dilantik sebagai Naib Presiden PBB bermula dari tahun 1986 sehingga 1989. Pada 12 Mac 1987, Abg Jo dilantik menjadi Menteri Pertanian Dan Kemajuan Masyarakat Sarawak dan ini bermakna beliau sudah menjawat jawatan menteri penuh pada ketika itu. Kemudian kedudukan beliau di dalam parti PBB juga semakin kukuh apabila sekali lagi dipilih tanpa bertanding untuk jawatan Naib Presiden, PBB bagi penggal 1989 hingga 1992. Dan seterusnya jawatan Naib Presiden ini kekal didominasi oleh beliau untuk tahun 1992 hingga 1995 dan kemudiannya 1995 hingga 1998.
Kejayaan demi kejayaan Abg Jo di dalam mengharungi karier politiknya dan pelbagai jawatan sudah beliau pikul demi kesinambungan rakyat Sarawak. Pada PRN 2016 tahun lalu menyaksikan Abg Jo menang bergaya di DUN Satok dan memegang portfolio sebagai Menteri Perumahan dan Urbanisasi serta Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan ketika dibawah kepimpinan Allahyarham TokNan.
Inilah sekelumit bicara didalam kita cuba mengenali satu lagi nama besar yang telah memeta namanya tersendiri sebagai Ketua Menteri Ke-6 Sarawak iaitu anak Sarawak yang bernama Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg atau Abang Jo.
Tahniah di atas perlantikan dan diharap akan terus membawa segala misi dan aspirasi legasi kepimpinan yang ditinggalkan oleh TokNan untuk Sarawak. Selamat berkhidmat untuk rakyat.