top of page

TOK NAN – TOKOH REVOLUSI PENYATUAN ANAK SARAWAK


TOK NAN – TOKOH REVOLUSI PENYATUAN ANAK SARAWAK

TAMATLAH sudah Hari Berkabung Sarawak pada hari Rabu yang lepas atas perginya seorang pemimpin yang terlalu dekat di hati setiap rakyat Sarawak. Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Haji Satem atau kita mengenalinya sebagai Tok Nan telah meninggalkan kita pada tanggal 11 Januari 2017. Satu pemergian yang cukup perit untuk kita terima dikala masih banyak lagi yang kita sandarkan padanya.

Namun apalah daya kita harus menerima ketentuan Tuhan setiap yang hidup pasti akan mati. Pemergian Allahyarham Tok Nan ditangisi kita semua tanpa mengira warna kulit, bangsa mahupun agama, dewasa mahupun kanak-kanak kerana Allahyarham terlalu banyak berkorban untuk kita semua sehingga cerita duka Allahyarham yang letih disembunyikan daripada kita semua sebaliknya hanya mahu berita yang baik-baik diperdengarkan untuk rakyatnya. Inilah pemimpin yang mungkin hanya satu di dalam sejuta pernah wujud di negeri kita, Sarawak Bumi Kenyalang.

Mengimbau 3 tahun yang lepas apabila Tok Nan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-5 menggantikan Tun Pehin Sri Datuk Patinggi Haji Abdul Taib bin Mahmud seolah-olah baru sahaja berlaku semalam. Rakyat Sarawak pada ketika itu menerima baik kehadiran Allahyarham mewarnai pucuk pimpinan No. 1 Sarawak. Ini kerana hampir begitu lama kita dipimpin oleh orang yang sama. Rata-rata rakyat berkata pada ketika itu, kita buka buku baru dan yang penting Sarawak harus lebih baik daripada sebelumnya.

Ternyata insan terpilih ini bukanlah calang-calang orangnya. Disebalik meniti usia tuanya dengan pengalaman yang ada sebagai mantan Menteri Persekutuan ini mempunyai satu aspirasi yang sama seperti jeritan dan laungan rakyat Sarawak pada masa itu. Api patriotism rakyat Sarawak yang mahu hak Sarawak dikembalikan seperti yang termaktub di Perjanjian Malaysia 1963 turut berkobar di dalam dirinya. Hanya baru 100 hari memimpin Sarawak pada ketika itu, TokNan telah awal-awal memberikan isyarat kepada Putrajaya jangan diperlekehkan apa yang sudah seharusnya menjadi hak kepada Sarawak. Pada kala inilah semangat kita semakin memuncak malah mereka yang dahulunya tidak seirama dengan polisi Kerajaan Negeri Sarawak sudah mula bersatu dibelakang kepimpinan beliau.

Kita tidak lupa bagaimana di ketika sentimen agama dijadikan wadah untuk berpolitik, Tok Nan tidak melayan satu pun mengenainya. Malah untuk konteks Sarawak, beliau berkata sesiapa sahaja bebas untuk menggunakan kalimah Allah. Kemudian Tok Nan tampil pula untuk menyatakan dengan cukup jelas, tiada kaum Cina Sarawak yang harus dipanggil pendatang kerana Sarawak ini cukup luas untuk didiami oleh semua kaum. Sekali lagi, aspirasi beliau telah berjaya menyatukan kita semua sebagai rakyat Sarawak yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan agama.

Kemudian jurang pembangunan Sarawak baik daripada Bandar, luar Bandar dan pedalaman menjadi misi beliau. Kita tidak boleh menidakkan bagaimana Sarawak itu kekurangan serba serbi walau sudah 53 tahun Gagasan Malaysia ditubuhkan. Tok Nan tampil memberikan kita harapan bahawa Sarawak akan mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakan kongsi kita, Malaya. Bukan omongan kosong sebaliknya beliau benar-benar merealisasikannya dengan akhirnya satu projek yang tertunda cukup lama iaitu Projek Lebuhraya Pan-Borneo akhirnya mengetuk pintu di tanah Sarawak. Dikala inilah juga kita rakyat Sarawak meraikan setiap projek jajarannya termasuklah pembinaan beberapa jambatan yang merentasi sungai-sungai di Sarawak memberikan seribu satu faedah kepada kita semua.

Isu Borneonisasi, bahasa Inggeris, sistem pendidikan, hak gas asli, penurunan kuasa persekutuan, penurunan tariff elektrik, pemansuhan cukai pintu dan rumah serta banyak lagi adalah antara kejayaan-kejayaan hasil daripada kepimpinan dibawah Tok Nan. Ada sesetengahnya masih lagi di dalam peringkat perbincangan namun yang pasti setiap satu daripadanya mempunyai impak tersendiri kepada setiap rakyat Sarawak.

Itu ceritanya sepanjang Tok Nan masih lagi hidup sebagai pemimpin yang cukup berani memperjuangkan hak rakyat Sarawak. Kita intai di ketika majlis pengebumiannya iaitu pada tanggal 12 Januari 2017 yang lalu di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching. Selautan manusia datangnya dari seluruh pelusuk Sarawak tidak mengira kaum dan agama memberikan penghormatan terakhir untuk jenazah Allahyarham. Mendengar cerita tentang mereka yang bukan beragama Islam sanggup menunggu giliran untuk menggenakan jubah yang bergilir-gilir serta ada masyarakat Islam yang sanggup berkongsi songkok dan tudung untuk dipakaikan oleh mereka yang non-muslim sudah cukup menceritakan betapa kesatuannya Sarawak pada masa itu.

Tidak cukup dengan itu, sehingga jenazah sudah disemadikan masih ada yang berpusu-pusu menziarahi pusaranya tanpa mengira kaum dan agama. Mana mungkin kita lupa apabila kita melihat satu posting yang cukup dramatic, seorang wanita bukan beragama Islam malah bukan saudara kepada Tok Nan memeluk batu nisannya dengan penuh kehibaan. Setiap mata yang memandang sudah tentu berlinangan airmata kerana begitu istimewa Tok Nan. Dengan upacara tafakur serta lilin di seluruh Sarawak malah juga menjangkau sehingga ke Malaya dan Singapura cukup membuktikan kesatuan anak Sarawak pada ketika itu.

Dan mungkin ramai tidak menyedari disebalik perginya pemimpin yang kita sayangi ini ada satu sejarah yang berulang. Sejarah beratus-ratus tahun Sarawak iaitu di ketika pemerintahan Brunei dan James Brooke. Pada tanggal 12 Januari itulah, Sultan Brunei mencemar duli dan begitulah juga cicit James Brooke turut ada sama di kalangan rakyat Sarawak memberikan penghormatan terakhirnya. 2 individu yang mana legasi keluarga mereka yang dahulunya menjadi pemerintah rakyat Sarawak berada di satu tempat yang sama untuk memberikan penghormatan yang terakhir untuk seorang rakyat Sarawak yang istimewa. Sejarah berulang Cuma pendekatan yang berbeza.

"Ini Sarawak punya olang, bisi Melayu, bisi orang Cina, bisi orang Dayak, bisi orang Bidayuh, duduk sama, minum sama, makan sama, carik amoi pon sama." –TokNan-

Inilah Tok Nan seorang pemimpin yang cukup istimewa lahir di kalangan rakyat Sarawak. Seorang pemimpin yang berjaya menyatukan rakyat Sarawak ketika hidup mahupun matinya. Setiap yang dilakukan mahupun diucapkannya mempunyai signifikasi yang tulin di dalam menceritakan kesatuan kita semua sebagai rakyat Sarawak. Tidak syak lagi Tok Nan merupakan TOKOH REVOLUSI PENYATUAN ANAK SARAWAK.

Pertahankanlah kesatuan kita ini seperti pesanan TokNan melalui isterinya Datin Patinggi Jamilah Anu di saat-saat akhir nafasnya.

“I want people to love Sarawak as much as I do cause if they do; they will take good care of it”

Bersatulah kita wahai anak Sarawak kerana perjalanan kita masih panjang dan belum lagi terhenti walaupun Tok Nan sudah tiada lagi. Bait-bait pantun yang sinonim dengan Tok Nan ini cukup menzahirkan apa yang kita harus lakukan.

Nyiur gading puncak mahligai

Buat ketupat berisi inti

Hancur daging tulang bercerai

Belum ku dapat belum ku berhenti


Semoga roh Allahyarham ditempatkan dikalangan para ambiya dan para syuhadah. Al-fatihah. Amin.


Nota: Lukisan yang disertakan adalah ilham dari Farahani Kiprawi, anak Sarawak yang melukisnya untuk mengenang Allahyarham Tok Nan

bottom of page