top of page

FORT LINGGA


FORT LINGGA, SRI AMAN

PADA awal James Brooke mula bertapak di Sarawak ianya bukan sesuatu yang mudah kerana ramai di kalangan penduduk tempatan pada masa itu tidak mahu menerima sistem pentadbirannya. Selain daripada sistem cukai yang tidak digemari antara yang menjadi persoalan pokok yang menimbulkan ketegangan adalah pemimpin lama di sesuatu kawasan tidak mahu kuasa mereka berkurangan. Maka kerana itulah seringkali ada sahaja penentangan yang timbul diantara Brooke dan penduduk tempatan suatu waktu dahulu.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di kawasan Lingga, Sri Aman pernah ada satu kubu yang didirikan oleh James Brooke. Fort Lingga atau Kubu Lingga telah dibina sekitar tahun 1849 di satu kawasan yang dikenali sebagai Muara Lingga atau Lingga sekarang. Dikatakan pembinaannya seharusnya didirikan di Bukit Banting iaitu penempatan asal penduduk Lingga sebelum mereka berpindah ke Muara Lingga atas faktor mengelakkan mereka daripada terus kerugian pada waktu itu. Difahamkan sekitar tahun 1840an, Rajah James Brooke sendiri mengarahkan penduduk Lingga untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi bagi mengelak daripada banjir yang sering berlaku.

Sesuai dengan perpindahan penduduk di Lingga pada masa itu jugalah Rajah James Brooke telah mengarahkan pembinaan sebuah kubu di kawasan yang berhampiran bagi memberikan jaminan keselamatan kepada penduduk Lingga pada masa itu. Walaupun ianya merupakan berbentuk ringkas seperti juga kebanyakan kubu-kubu yang didirikan sebelum ini, Kubu Lingga juga didirikan berasaskan kayu belian iaitu sejenis kayu yang tahan lama.

Siap sahaja pembinaan Kubu Lingga ini dikatakan Rajah James Brooke sendiri berkenan untuk datang ke Lingga. Pada ketika itulah penduduk Lingga yang rata-ratanya adalah mereka yang begitu setia kepada pemerintahan Brooke di Sarawak telah mengadakan majlis menyambut Rajah Brooke secara besar-besaran. Bagi menambahkan lagi keunikan di dalam sambutan kedatangan Brooke ini, penduduk Lingga telah bersatu hati mendirikan satu tiang bendera yang lain daripada yang lain.

Pada waktu itu dikatakan seorang pahlawan Lingga yang bijaksana bernama Abang Husin yang kemudiannya dianugerahkan dengan nama Lela Pahlawan oleh Brooke mengetuai sendiri beberapa orang pemuda Lingga memilih kayu merbau untuk membuat tiang bendera tersebut. Dengan kudrat tenaga pemuda-pemuda di Lingga pada waktu itu maka berdirilah satu tiang bendera yang amat tinggi iaitu lebih kurang 100 kaki tingginya.

Banyak rentetan peristiwa bersejarah yang berlaku di Fort Lingga dan salah satunya adalah kronologi penentangan Rentap pada pentadbiran Brooke sekitar tahun 1853. Menurut sejarahnya Rentap pada masa itu mengambil kesempatan daripada ketiadaan Tuan Muda Brooke (Rajah Charles Brooke) yang pulang ke England pada waktu itu. Rentap dikatakan cuba menyerang setiap kubu pertahanan Brooke di kawasan Sri Aman pada masa itu.

Dengan segala kekuatan yang ada, penjawat awam Sarawak Kingdom cuba bertahan dan disinilah Allan Lee diminta untuk bertahan di Fort Lingga. Dengan Iban Balau dan juga kaum Melayu Lingga yang setia kepada Brooke menyebelahi Allan Lee maka Fort Lingga mampu bertahan tanpa diusik oleh Rentap pada masa itu.


Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa jika diamati di dalam kronologi sejarah berdirinya kubu-kubu Brooke di seluruh Sarawak, Fort Lingga ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ini kerana berbanding dengan kubu-kubu yang lain, hanya Fort Lingga pernah dijadikan hos atau penganjur untuk sambutan perayaan Krismas bagi rajah Brooke di Sarawak. Dikatakan sekitar 25 Disember 1864, Tuan Muda Charles Brooke telah mengambil keputusan untuk tidak merayakan sambutan hari krismasnya di Astana Sarawak bersama sebaliknya beliau dan teman-teman karibnya memilih untuk mengadakan sambutan hari krismas yang lebih santai nun jauh di pedalaman bersama-sama dengan pemimpin masyarakat di Lingga pada waktu itu.

Cuma sayangnya sekarang Fort Lingga sudah lenyap di pandangan mata dan yang hanya tinggal sebagai saksi bisu sejarah kewujudan Fort Lingga di ketika pemerintahan Brooke adalah tiang benderanya. Ianya kekal dipulihara bagi mengenang pautan Lingga di dalam sejarah Sarawak dahulukala untuk generasi mendatangnya.




Rujukan:


1. Buku “Golden Dreams Of Borneo” – Author; Alex Ling

2. Jason Desmond Anthony Brooke FB

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1255578924488887&set=a.968192709894178.1073741826.100001103745962&type=3&theater

3. Empire In Your Backyard, Sir James Brooke by Nigel Barley

bottom of page