EKSPEDISI KEDANG 1886
EKSPEDISI KEDANG 1886
KEDANG merupakan satu lokasi yang terletak di perbatasan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan, Republik Indonesia. Ianya agak ke pedalaman dan sehingga ke hari ini boleh dikatakan kawasannya masih lagi belum banyak diusik oleh manusia. Namun di dalam pada itu, suatu waktu dahulu dikawasan ini merupakan salah satu tempat untuk mereka yang menentang Brooke lari untuk survival bagi mengatur segala strategi sehingga membuatkan Brooke mahupun Koloni Belanda berang dengan keberadaan mereka.
Bagi meredakan penentangan daripada masyarakat Sarawak pada masa itu, Brooke telah menjalankan beberapa ekspedisi bagi membasmi penentangnya. Salah satu daripadanya adalah Ekspedisi Kedang yang berlaku pada tahun 1886. Mengetahui bukanlah mudah berperang dengan masyarakat Iban yang mana sudah azalinya menjalankan peperangan wilayah maka Brooke menyediakan satu angkatan tentera yang tidak kurang hebatnya di dalam segi peralatan mahupun anggotanya.
Untuk Ekspedisi Kedang ini, Brooke telah mengarahkan kekuatan tentera sekitar 10,000 hingga 12,000 iaitu keanggotaannya turut meliputi tentera upahan mahupun masyarakat Iban yang pro-Brooke selama beliau memerintah. Dan bukanlah mudah untuk sampai ke lokasi yang mana ianya membabitkan perjalanan sungai mahupun perjalanan darat yang panjang lebih-lebih lagi melibatkan kawasan pedalaman di perbatasan.
Di dalam keletihan perjalanan yang jauh itu juga menyaksikan bagaimana tentera Brooke telah ditentang oleh masyarakat Iban di Kedang yang langsung tidak gentar dengan mereka. Ekspedisi Kedang ini juga menurut catatan Charles Brooke turut dikenali sebagai “Serang Rata” iaitu yang mana ketibaan Brooke telah ditentang oleh Iban di Kedang didalam semua arah. Ramailah juga yang terkorban diantara kedua pihak. Antara lokasi yang menyaksikan peperangan maha hebat adalah di Batu Bangkai yang mana pahlawan Iban di Kedang telah menggunakan segala taktik peperangan mereka yang selama ini tidak biasa bagi tentera Brooke di Sarawak.
Tidak beralah walaupun hampir kalah pada masa itu, tentera Brooke telah melakukan serangan balas yang berterusan sehingga mereka turut mengejar pahlawan Iban sehingga diluar garis sempadan iaitu di kawasan yang diperintah oleh Belanda. Pada masa itulah dikatakan Brooke telah membakar hampir 41 buah rumah panjang di kawasan Belanda kerana dikatakan Iban disini turut membantu Iban di Sarawak untuk menentang Brooke. Di kawasan sebelah Sarawak pula, Brooke turut memusnahkan hampir 80 buah rumah panjang semata-mata untuk menamatkan penentangan ke atasnya.
Kegiatan Brooke di luar sempadan ini tidak disenangi oleh Koloni Belanda namun kerana kedua-duanya pusing kepala dengan aktiviti penentangan masyarakat Iban di kedua-dua wilayah maka akhirnya kedua-duanya boleh berkerjasama. Akibat daripada kemusnahan yang teruk ini juga menyaksikan Ekspedisi Kedang mencapai misinya apabila dikatakan ianya berjaya mendesak masyarakat Iban untuk berdamai dengan Brooke mahupun Koloni Belanda.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa natijah daripada Ekspedisi Kedang 1886 ini telah memungkinkan pendamaian dikecapi diantara 2 negara ini. Tanggal 27 Jun 1888 dengan saksi bisunya adalah Fort Lubok Antu pada masa itu, Charles Brooke bersama-sama dengan utusan daripada Koloni Belanda telah menyaksikan satu upacara adat iaitu penyembelihan babi antara Iban Ulu Ai dan Memalok dari Kapuas. Ianya dilakukan bagi menandakan pendamaian antara kedua etnik ini terhadap Brooke mahupun Koloni Belanda.
Kemudian satu persatu acara pedamaian diadakan bagi menghentikan detik wilayah perbatasan Sarawak mahupun Kalimantan yang lebih makmur. Antaranya perjanjian pendamaian antara Iban Ulu Ai dan Kantu Dayak dari Kapuas di Fort Alice, Simanggang. Kemudian diikuti oleh Iban Ulu Ai dari Rejang dengan Memaloh dan Taman yang dilakukan di Fort Kapit pada tahun yang sama.
Inilah antara sejarah ekspedisi-ekspedisi Brooke ke atas penentangannya di Sarawak. Bukan sesuatu yang mudah bagi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu lebih-lebih lagi apabila berbicara mengenai etnik Iban yang sememangnya beratus-ratus tahun perang itu satu kebiasaan bagi mereka. Biarpun Brooke itu bangsa Eropah namun tidak sesekali menggentarkan mereka malah strategi peperangan konvensional etnik Iban terbukti antara yang terbaik setakat ini di dalam ceritera sejarah perang di Sarawak.
Rujukan:
1. Author: Wadley, R.L (2001) - Trouble On The Frontier: Dutch-Brooke Relations And Iban Rebellion On the West Borneo Borderlands (1841-1886)
2. Kedang Expedition In 1886 - Ibanology.wordpress