top of page

RENJER BAJAU ANAK LADING


JEJAK PAHLAWAN SARAWAK - RENJER BAJAU ANAK LADING

BUJANG berani yang ditampilkan kali ini tidak pernah kalah dengan semangat perjuangannya sehingga baru-baru ini Menteri Pertahanan Malaysia sendiri telah meluangkan masa menemuinya di daerah kelahirannya iaitu Lundu, Kuching kerana begitu mengkagumi keberaniannya. Antara pahlawan Sarawak yang terukir namanya dengan dianugerahkan Pingat Gagah Berani iaitu antara penganugerahan pingat yang tersohor di Malaysia. Yang dimaksudkan itu adalah seorang pahlawan Sarawak yang bernama Bajau Anak Lading.

Renjer Bajau anak Lading merupakan anak Iban yang dilahirkan pada 20hb Mac 1947 di Kampung Sebemban, Lundu, Sarawak. Dikatakan zaman kanak-kanaknya banyak dihabiskan bersama abang sulungnya berbanding dengan kedua ibubapanya. Beliau memulakan alam persekolahannya di Sekolah Bumiputera Lundu dan berjaya menuntut ilmu sehingga ke Darjah 6 sahaja. Menjelang usia remaja, beliau sudah mula berdikari sendiri dengan pekerjaan pertamanya adalah sebagai pembantu di mess pegawai British di Kem Lundu. Dikatakan kerana sering bergaul dengan anggota tentera menyebabkan minat beliau menjurus kepada dunia ketenteraan sehingga memasuki alam pekerjaan tentera sekitar tahun 1966.

Usai tamat latihan ketenteraan, Renjer Bajau telah diserapkan untuk menganggotai Platun 8, Kompeni C 4 Renjer di Ipoh, Perak. Kemudian apabila 4 Renjer dipindahkan ke Serian, beliau turut pulang menabur bakti di tanahairnya sendiri. Dek kerana dedikasi dan semangat juang yang ditunjukkan oleh beliau juga membolehkan Renjer Bajau menganggotai skuad elit 4 Renjer yang dikenali sebagai Tiger Platoon. Tiger Platoon ini terkenal di dalam dunia ketenteraan sebagai platun yang pakar di dalam unit gerak tempur (Combat) dan risikan. Dengan kepakaran yang ada itulah juga dikatakan Renjer Bajau turut dihantar ke Malaya ketika berlakunya Tragedi 13 Mei 1969. Beliau ditugaskan untuk menangani perusuh yang cuba untuk menyerang Balai Polis Kuala Kurau, Perak pada masa itu.

Di dalam banyak-banyak operasi ketenteraan yang melibatkan Renjer Bajau ada satu operasi yang menampilkan beliau sebagai seorang bujang berani yang amat dihormati. Ianya berlaku pada tanggal 13 Jun 1971 iaitu satu operasi ketenteraan di Hutan Simpan Ulu Kinta. Melalui maklumat risikan dikatakan bahawa adanya kelibat komunis di kawasan hutan simpan tersebut sehingga membenarkan Renjer Bajau bersama-sama dengan 10 rakannya yang dipimpin oleh Kapten Mohan Chandran a/l Vellayathan ke lokasi pada tanggal 3 Jun 1971. Misinya adalah satu iaitu untuk menjejaki dan seterusnya menghapuskan musuh tersebut.

Ketika di hutan simpan Ulu Kinta ini, seorang anak Iban yang sememangnya sudah terkenal sebagai penjejak sememangnya sering dituntut kudratnya. Renjer Bajau diarahkan untuk menjadi pasukan peninjau memeriksa denai demi denai di dalam hutan yang tebal itu. Setelah beberapa hari di dalam hutan iaitu pada tanggal 13 Jun 1971, Renjer Bajau dan kumpulannya telah diserang hendap oleh gerila komunis di satu kawasan.

Bunyi tembakan memecah kesunyian hutan simpan Ulu Kinta pada ketika itu dengan hujan peluru musuh mengarah ke arah Renjer Bajau dan rakan-rakannya tanpa mengenal simpati. Pada masa itulah ketua platun iaitu Kapten Mohan telah mengarahkan agar Renjer Bajau dan rakannya berpecah kepada 2 kumpulan kecil. Renjer Bajau diletakkan bersama-sama dengan kumpulan kecil Kapten Mohan pada ketika itu.

Tidak pernah beralah dengan kekuatan musuh pada ketika itu, Renjer Bajau bersama ketuanya dan rakannya terus berbalas tembakan. Ada satu ketika beliau dikatakan tidak berpuashati dengan kesan senjata yang dibawanya iaitu jenis Sub Machine Gun, beliau telah bertukar senjata dengan rakannya kepada Light Machine Gun. Kesemua dilakukan agar boleh memberikan impak yang lebih lagi kepada kedudukan musuh pada ketika itu.

Hentaman peluru yang bertali arus itu jugalah menyebabkan akhirnya Kapten Mohan iaitu ketuanya terkena tembakan musuh lalu cedera. Pada masa itu dikatakan Kapten Mohan berada agak ke hadapan daripada Renjer Bajau. Dengan semangat agi idup agi ngelaban yang ada padanya, Renjer Bajau tidak memperdulikan keselamatan dirinya yang bilamasa sahaja boleh menjadi sasaran mudah musuh. Beliau berjaya menghampiri ketuanya yang cedera dan mampu membawanya berundur daripada lokasi kerana kekuatan musuh sukar dikalahkan. Namun sayangnya ketua Renjer Bajau iaitu Kapten Mohan terlalu parah kecederaannya kerana sehingga menghembuskan nafas terakhirnya dengan disaksikan anggota platunnya pada ketika itu.

Walaupun semangat untuk menghapuskan gerila komunis pada ketika itu terlalu berkobar-kobar untuk platunnya lebih-lebih lagi menyaksikan sendiri ketua mereka gugur sebagai bunga bangsa, namun kebijaksanaan minda harus didahulukan. Renjer Bajau dan platunnya mengetahui bahawa kemusnahan besar boleh berlaku ke atas mereka memandangkan musuh terlalu kuat untuk dikalahkan. Mereka sepakat berundur bukan bererti mereka mengalah atau menjadi penakut sebaliknya untuk menguatkan lagi platun serta memohon bantuan yang lebih besar.

Inilah ceritanya seorang bujang berani anak Sarawak yang bernama Renjer Bajau anak Lading yang telah menerima Pingat Gagah Berani daripada Yang Dipertuan Agung Malaysia pada tahun 1972. Beliau bersara daripada dunia ketenteraan setelah berkhidmat melebihi 21 tahun dengan pangkat terakhirnya Koperal. Sekarang beliau menghabiskan sisa-sisa tuanya bersama keluarga di daerah kelahirannya iaitu Lundu, Kuching, Sarawak.

Segala pengorbanan pahlawan anak Sarawak ini dilupa jangan. Kita sebagai generasi penerus legasi Sarawak harus berbangga dengan ketokohannya berkhidmat untuk Negara selama ini. Sarawak Bumi Kenyalang tidak pernah kurang melahirkan pahlawan Negara yang berani selama ini.

AGI IDUP AGI NGELABAN. SALUTE TO RENJER BAJAU ANAK LADING.



Rujukan:


1. Portal Rasmi Renjer Diraja

2. http://www.7rangers.com/2005/11/contact-at-kinta-forest-reserve.html

3. http://renjervalour.blogspot.my/2005/11/contact-at-kinta-forest-reserve.html

4. http://pgbwarrior.blogspot.my

bottom of page