TEMILOK
TEMILOK
RUPANYA seakan-akan cacing malah ramai yang terkeliru dengan menggelarnya umpun-umpun sedangkan hakikatnya umpun-umpun mahupun temilok adalah dua hidupan yang berbeza. Cacing kayu bakau adalah nama standard baginya namun sesuatu yang perlu diketahui semua walaupun digelar dengan nama cacing tetapi ianya tidak dikategorikan sebagai jenis cacing sebaliknya ianya tergolong di dalam keluarga Moluska Teredinidae iaitu sama seperti hidupan laut yang sering kita jamah seperti siput, tiram, ambal dan banyak lagi.
Temilok atau kejumah atau cacing kayu bakau atau Tambelo (Papua New Guinea) atau Kerang Temilok (Indonesia) atau Tamiloc (Filipina) atau Mangrove Worms atau Shipworms (Australia) itulah antara nama-nama bagi menggelar sejenis hidupan eksotik ini. Jika di Sarawak pula ianya dikenali dengan nama Temilok atau Kejumah dan banyak lagi nama berdasarkan kepada dialek-dialek tempatan rakyat Sarawak. Temilok boleh dikategorikan sebagai antara selera eksotik masyarakat Borneo kerana rupanya sudah tentu menduga jiwa bagi sesiapa yang ingin memakannya lebih-lebih lagi apabila melihat ianya masih hidup-hidup.
Habitat semulajadi bagi temilok adalah di hutan kayu bakau yang berpaya. Ini kerana apabila adanya fenomena air pasang surut maka ada juga kayu bakau yang akan mereput ataupun tumbang. Maka di dalam kayu bakau yang mereput inilah sebenarnya temilok akan membuat bermastautin. Boleh dikatakan bukan senang untuk mendapat temilok ini lebih-lebih lagi apabila kita berkata mengenai hutan paya bakau berpaya yang sudah tentu tempat binatang berbisa berhimpun. Ditambahlagi kawasan lumpur malah juga terdedah dengan gigitan nyamuk paya bakau sudah tentunya bukan sesuatu yang tugas yang selesa.
Namun begitu oleh kerana permintaan yang agak tinggi dikalangan penduduk tempatan Sarawak maka ianya juga menjadi sumber pendapatan tambahan bagi masyarakat Sarawak yang tinggal tidak jauh daripada kawasan habitatnya. Setakat ini yang diketahui, harga bagi 500 gram temilok adalah kira-kira RM13-RM15 di pasar-pasar tamu tempatan.
Dan apabila berbicara mengenai apakah resipi paling sedap untuk temilok ini sudah tentu lain lidah lain citarasanya. Temilok sebenarnya boleh dimakan secara mentah (raw) iaitu dikatakan ketika ianya baru sahaja diambil dari kayu bakau yang baru dibelah adalah antara yang paling lazat untuk dimakan. Sementara itu temilok juga sebenarnya boleh dijadikan temilok rebus dengan mencampurkan bawang sahaja serta garam secukup rasa. Dan ada juga sesetengah masyarakat Sarawak menggemari untuk ianya dimasak gulai pedas. Rata-rata penggemar temilok mengatakan bahawa memakan temilok seakan-akan menghirup telor separuh masak tanpa kuning telur.
Inilah Temilok atau Kejumah yang dikategorikan sebagai antara selera eksotik orang-orang Borneo. Ianya bukan hidupan kelas cacing tetapi dikategorikan sebagai hidupan jenis moluska sama seperti ambal, tiram dan lain-lain yang mana telah disahkan ianya halal untuk dimakan oleh orang Muslim. Di Sarawak misalnya temilok sebenarnya sudah lama menjadi hidangan keluarga untuk seluruh masyarakatnya tanpa mengira bangsa dan agama sejak dari dahulu lagi.
Rujukan:
[if !supportLists]1. [endif]Ulat Kejumah atau Temilok – Makanan Eksotik Popular Di Sarawak
http://babab.net/out/ulat-kejumah-atau-temilok-makanan-esotik-popular-di-sarawak.html
[if !supportLists]2. [endif]Mengenali Temilok – FB Page Planet Sarawak
[if !supportLists]3. [endif]Hukum Makan Temilok Dan Yang Berkaitan Dengannya – Jabatan Mufti Negeri Sarawak 20 November 2014
http://www.muftinegeri.sarawak.gov.my