THE SAN FRANCISCO BRIDGE OF SARAWAK
THE SAN FRANCISCO BRIDGE OF SARAWAK
SEKITAR tahun 1988 ia melakar sejarahnya tersendiri kerana di jambatan inilah Jurulatih Awang Mahyan dan sebahagian pemain bolasepak Team Ngap Sayot berserta dengan hampir 100 orang peminat sukan bolasepak membuat terjunan bebas ke Sungai Sarawak. Ianya dilakukan bagi membayar nazar apabila Team Ngap Sayot pada masa itu berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. Peristiwa itu sehingga sekarang masih kekal di minda rakyat Sarawak sehingga ianya juga turut menjadi bualan peminat sukan di seluruh Malaysia pada masa itu.
Jambatan gantung Satok, mungkin ramai yang mempunyai memori mengenainya kerana inilah antara penghubung utama suatu ketika dahulu antara kawasan Bandar Kuching dan juga Petrajaya. Dahulu jambatan gantung ini menjadi ikon untuk Kuching sehingga dikatakan ianya berjaya menarik ramai pelancong untuk merasai sendiri pengalaman menggunakannya. Namun sekarang yang menjadi memori hanyalah tiangnya yang merupakan antara saksi bisu Sarawak dibawah Kerajaan Brooke, Pendudukan Jepun, Koloni British dan seterusnya Sarawak, Malaysia.
Mungkin ramai tidak mengetahui sejarah di sebalik pembinaan jambatan gantung ini kerana ia sebenarnya dibina di ketika Sarawak masih lagi diperintah oleh dinasti keluarga Brooke. Dikatakan pada masa itu pelan pembangunannya sudahpun dirancang sejak pemerintahan rajah ke-2 iaitu Rajah Charles Brooke iaitu pada tahun 1902. Namun akibat kengkangan kepada beberapa hal ianya tidak diteruskan sehinggalah apabila rajah ke-3 iaitu Rajah Charles Vyner Brooke mengambilalih tampok pemerintahan Sarawak selepas mangkat ayahandanya.
Setelah beliau sendiri memberi keizinan kepada seorang arkitek berbangsa Eropah bernama AS Lowe maka barulah pembinaannya dimulakan iaitu pada tahun 1923. Kerajaan Sarawak dibawah Rajah CV Brooke memperuntukkan kos pembinaan sebanyak US$52,000 untuk pembangunan jambatan gantung ini. Pada ketika itu juga tujuan utama pembinaannya adalah untuk menjadi alas penyambungan bagi sebatang paip besar berukuran 0.3 meter yang mana paip itu akan membekalkan air bersih daripada reservoir di Matang terus ke Bandar Kuching.
3 tahun di dalam pembinaan akhirnya siaplah jambatan gantung ini pada tahun 1926 dengan panjangnya 130 meter dan lebarnya 2.3 meter. Ianya juga tergantung 18 meter dari aras Sungai Sarawak pada masa itu. Dan setelah mengambilkira bagaimana berfaedahnya jambatan itu untuk perhubungan masyarakat di seberang Sungai Sarawak dengan Bandar Kuching maka ianya juga turut dibuka untuk kegunaan pejalan kaki dan kenderaan kecil yang muatannya tidak lebih daripada 1,360 kg.
Jadi sekiranya kita melihat kepada gambar-gambar vintaj mengenai jambatan gantung Satok ini maka orang tua-tua kita sudah tentu mengetahui bahawa jambatan ini juga pernah dilalui oleh kenderaan bas yang kecil iaitu muatannya untuk 6 penumpang sahaja sebagai pengangkutan masyarakat suatu waktu dahulu. Manakala jika kita menjengah di sebelah kiri jambatan Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman yang dibina pada tahun 1975 mesti kita akan melihat adanya satu jeti feri disebelahnya.
Jeti feri itu juga merupakan antara nadi pengangkutan bagi masyarakat di seberang Sungai Sarawak kerana ferinya dikhaskan untuk membawa muatan kenderaan yang lebih berat iaitu yang tidak mampu ditanggung oleh jambatan gantung Satok suatu waktu dahulu. Dan perkhidmatan feri Satok itu dihentikan usai sahaja pembinaan Jambatan Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman siap sepenuhnya.
Sekitar tahun 2000 melihat kepada keuzuran jambatan gantung Satok itu maka Kerajaan Sarawak telah mengambil tindakan drastik dengan menutup laluannya untuk kesemua pengguna. Sejak daripada itu jambatan gantung terbiar tanpa dibaikpulih kerana kos pemuliharaannya terlalu mahal. Dan episode lesu si jambatan gantung Satok menemui noktahnya apabila pada tanggal 7hb Oktober 2004 ianya terputus dua dan runtuh menyembah bumi. Berita runtuhnya jambatan gantung Satok itu mendapat respon daripada rakyat Kuching rata-ratanya bersedih dengan nasib yang menimpa ikon Kuching ini.
Ceritera pembinaan semula jambatan gantung Satok ini sentiasa diperkatakan malah telah bertahun-tahun diwar-warkan di dalam media massa. Cuma ianya hanya sekadar berita bagi memenuhi ruang pembangunan di atas kertas sedangkan terlalu banyak ceritera disebalik tabir contohnya kengkangan kewangan Kerajaan Negeri Sarawak. Dan baru-baru ini sekali lagi kita didodoikan bahawa pembinaan semula akan dilakukan di dalam sedikit masa lagi. Kali ini ianya diperkatakan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari yang dahulunya Menteri Pelancongan Sarawak dan sekarang sudah menjadi pemimpin No.1 Sarawak.
Dengan berpegang dan percaya kepada kata-kata seorang Ketua Menteri Sarawak ini adalah diharapkan agar kali ini biarlah ianya betul-betul direalisasikan kerana hakikatnya jambatan gantung Satok mempunyai keistimewaannya tersendiri dan ianya terlalu dekat di hati rakyat. Kita mampu membina jambatan emas di Tebingan Kuching yang sedang rancak dibangunkan sekarang bagi memperkembangkan lagi industri pelancongan di Sarawak jadi janganlah “dianaktirikan” jambatan gantung Satok yang mungkin hanya ikon pelancongan lama tetapi nilainya terlalu tinggi di dalam kotak memori rakyat Kuching khususnya dan Sarawak amnya.
Marilah kita bersama-sama menjadikan jambatan gantung yang pernah mendapat jolokan sebagai “The San Francisco Bridge Of Sarawak” ini gah kembali seperti waktunya dahulu.
Rujukan:
1. Borneo Post 18 Julai 2012 - Plans to rebuild suspension bridge hailed
2.. BERNAMA 7 Oktober 2004 - Jambatan Gantung Satok Runtuh, Kuching Hilang Satu Mercu Tanda