top of page

PANTANG LARANG KAUM BIDAYUH SARAWAK


PANTANG LARANG KAUM BIDAYUH SARAWAK


ETNIK Bidayuh juga turut dikenali sebagai Land Dayak merupakan etnik Dayak kedua terbesar selepas etnik Iban di Sarawak. Seperti kebanyakan etnik-etnik di Sarawak, Kaum Bidayuh juga tidak pernah kurang dengan pantang larang yang menghiasi penghidupan seharian mereka. Walaupun penghidupan sekarang banyak dipengaruhi oleh penghidupan yang serba serbi moden namun ada sesetengah pantang larang itu masih lagi dilestarikan mengikut kepercayaan nenek moyang mereka suatu waktu dahulu.


Antara aspek pantang larang yang masih lagi kuat dipegang oleh Kaum Bidayuh adalah yang melibatkan pantang larang yang berkaitan dengan kematian, penyembuhan, adab menjadi tetamu dan ibu yang hamil iaitu semasa hamil dan juga selepas melahirkan anak.



1. Pantang Larang Sewaktu Kematian


Mengikut kepercayaan kaum Bidayuh, adat kematian diadaptasi daripada cerita 2 beradik yang bernama Rijong dan Buwah.Di dalam ceritera dua beradik ini dikatakan mereka telah mengajar masyarakat Bidayuh untuk meratap setiap kali berlakunya kematian.Tujuannya adalah untuk memanggil roh-roh saudara terdekat yang telah pergi dahulu bagi membantu dan menunjukkan jalan kepada rohnya ke “Sidanah”.

“Sidanah” mengikut kepercayaan masyarakat Bidayuh merupakan tempat untuk roh-roh orang dewasa menunggu sebelum dibenarkan masuk ke “Sibayan”.Adalah dipercayai setiap roh harus menunggu selama lebih kurang 4 tahun selepas kematiannya untuk ke “Sibayan” iaitu syurga mengikut kepercayaan mereka.


Maka oleh kerana itulah sekiranya berlaku kematian maka akan ada waktu “penyembuhan” yang mana pengunjung luar tidak dibenarkan memasuki perkampungan masyarakat Bidayuh selama 7 malam berturut-turut.Tujuannya adalah untuk mengelak daripada roh jahat mengikuti jejak pengunjung sehingga boleh mendatangkan kerasukan dan sebagainya.


Pada ketika inilah beberapa peraturan harus dipatuhi atau jika dilanggar akan dikenakan denda.Kebiasaannya warga perkampungan Bidayuh akan meletakkan tanda bagi memberi peringatan kepada pengunjung untuk tidak datang sepanjang waktu berpantang atau “Peris” di dalam bahasa Bidayuh.


Suatu ketika dahulu dikatakan masyarakat Bidayuh akan mengadakan upacara gawai sepanjang waktu berkabung yang mana ianya bertujuan untuk memperingati roh dan dikala itulah beberapa persembahan makanan akan disajikan kepada roh si mati.Ianya dilakukan bagi menghibur roh si mati agar tidak bersedih meninggalkan keluarga yang masih hidup selain daripada memohon untuk diampunkan dosanya.


Namun sejajar dengan kedatangan agama kristianiti yang dianuti oleh rata-rata masyarakat Bidayuh Sarawak sekarang, segala bentuk pemujaan seperti ini sudah lama ditinggalkan sebaliknya upacara sembahyang mengikut lunas-lunas agama Kristian pula menggantikannya.



2. Pantang Larang Menjadi Tetamu Di Rumah Panjang


Masyarakat Bidayuh juga terkenal mengenai adab susilanya ketika berkunjung ke rumah panjang mereka.Walaupun menjadi tetamu ada beberapa hal yang tidak boleh dilakukan oleh tetamu sewenang-wenangnya.Di dalam konteks ini terdapat 3 peringkat peraturan yang harus digunapakai oleh para tetamu iaitu sebelum memasuki rumah panjang dan semasa berada di dalam rumah panjang.


i. Sebelum memasuki rumah panjang


Jika berhajat untuk berkunjung ke rumah panjang janganlah sesekali memasuki perkampungan secara membabi buta sebaliknya disarankan untuk memohon kebenaran daripada Ketua Rumah Panjang terlebih dahulu.Namun sekiranya pengunjung sudahpun mempunyai kenalan di perkampungan tersebut maka bolehlah terus menemui kenalannya terus dan terpulang kepada kenalan tersebut untuk memperkenalkan tetamu tersebut kepada Ketua Rumah Panjangnya kelak.


ii. Semasa berada di rumah panjang


Apabila sudah dipelawa untuk memasuki rumah panjang maka adalah dilarang sama sekali untuk tetamu duduk berlunjur kaki kerana ini dianggap sangat kurang ajar.Sebaliknya tetamu haruslah duduk bersila bagi menghormati tuan rumah.


Suatu ketika dahulu sudah menjadi kebiasaan bagi setiap tetamu akan dihidangkan dengan tapak sirih yang mengandungi daun sirih, buah pinang dan kapur sirih. Di dalam tapak sirih itu juga turut ada rokok daun nipah dan tembakau yang mana tuan rumah akan mempelawa tetamu untuk bersama-sama menikmatinya sambil-sambil duduk membuka bicara.


Hanya selepas beberapa waktu barulah tetamu akan dihidangkan air dan makanan ringan.Jika ianya melepasi waktu makan sudah menjadi kebiasaan tuan rumah akan mengajak sama tetamu untuk makan bersama-sama.Pada ketika inilah tiada mana-mana tetamu baik wanita sekalipun yang boleh menjenguk bahagian dapur rumah.


Malah diketika selepas makan juga tetamu tidak dibenarkan sama sekali untuk membantu membasuh pinggan dan mangkuk selepas makan.Kedua-dua hal ini jika dilakukan adalah satu tindakan yang memalukan buat tuan rumah.


Dan sekiranya tetamu berhasrat untuk bermalam maka haruslah tetamu menceritakan awal-awal lagi kepada tuan rumah tentang hasrat tersebut kerana mengikut adatnya tiada mana-mana tetamu boleh bermalam sembarangan tanpa keizinan daripada Ketua Rumah Panjang.



3. Pantang Larang Ibu Yang Hamil (Sebelum dan Selepas)


Ibu yang hamil juga di dalam masyarakat Bidayuh mempunyai pantang larang yang mengkhusus seperti juga mana-mana etnik di Sarawak.Suami mahupun isteri di dalam masyarakat Bidayuh mempunyai peranan dan fungsi masing-masing di dalam memastikan proses di sepanjang kehamilan mahupun selepas melahirkan anak berjalan dengan lancar.


Sebenarnya proses berpantang sudahpun bermula dari hari pertama mengetahui bahawa si isteri sudah berbadan dua.Pada ketika ini adalah menjadi kewajiban si suami untuk memberitahu bidan kampung agar bolehlah mengadakan majlis menawar perut.Tujuan majlis menawar perut ini diadakan adalah untuk menghalau segala keburukan dan kekotoran dari tubuh ibu yang sedang mengandung.


Pelbagai pantang larang harus diikuti oleh si bakal ibu seperti tidak boleh duduk di tangga atau membuat kerja yang berat.Manakala si suami pula dinasihatkan untuk tidak sesukahati membunuh binatang kerana takut disumpah sehingga memudaratkan anak yang di dalam kandungan.Selain daripada itu si suami juga tidak boleh membuat kerja pertukangan kerana ianya dikatakan boleh menyebabkan kecacatan kepada anak yang dikandung.


Apabila si ibu telah selamat melahirkan anak pula juga mempunyai pantang larangnya tersendiri.Pada ketika ini si ibu yang masih di dalam pantang tidak dibenarkan untuk keluar daripada rumah panjang.Makanannya turut dijaga dan dilarang untuk memakan makanan yang sejuk sebaliknya panas-panas adalah lebih baik.Tukang urut juga disediakan bagi memulihkan saraf-saraf sepanjang melahirkan anak.


Dengan dunia moden sekarang yang mana ramai ibu-ibu lebih memilih untuk melahirkan anak di hospital-hospital ada sesetengah pantang larang tidaklah diikuti sangat namun begitu ramai wanita masyarakat Bidayuh masih lagi mengamalkan proses berpantang tradisional yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain seperti waktu-waktu dahulu.


Itu cerita ibu-ibunya dan pantang larang ini juga tercalit sama pada si bayi yang baru dilahirkan.Beberapa proses dan pantang larang harus dipatuhi seawal hari pertama bayi dilahirkan di dunia.Pada ketika ini pemotongan tali pusat harus dilakukan dengan penuh tertib malah uri juga harus disimpan sehingga kering malah disimpan dengan sebaik mungkin oleh keluarga tersebut.


Di dalam tempoh ibu berpantang, bayi juga turut berpantang dengan tidak didedahkan kepada umum.Waktu malamnya juga dijaga sepenuhnya bagi mengelak daripada gangguan makhluk halus.Adalah menjadi tugas untuk si ayah memastikan keselamatan untuk si ibu dan bayinya sepanjang tempoh berpantang.


Setelah jangkawaktu berpantang selesai barulah diadakan kenduri selamat bersalin untuk kedua-dua ibu dan bayi.Pada masa ini barulah si bayi diperkenalkan kepada keluarga dan sahabat handai yang datang berkunjung.Selepas itu barulah bayi akan boleh dibawa keluar rumah untuk mengunjungi sanak saudara.


Di ketika sampai di rumah sanak saudara itulah si bayi harus dicalitkan dengan sedikit tanah di ubun-ubunnya.Dan menjadi kewajipan kepada tuan rumah untuk menyediakan satu pinggan dengan diisikan beras di dalamnya bagi diberikan kepada bayi tersebut.Ianya bertujuan untuk menenangkan semangat bayi yang pertama kali mengunjungi rumah yang tidak dikenali.


Inilah antara pantang larang yang ada di dalam masyarakat Bidayuh yang sudah dipraktikkan berkurun lamanya dari satu generasi ke generasi yang lain. Sebenarnya ada banyak lagi yang tidak dceritakan kerana kesuntukan ruangan. Mungkin ada yang masih dilestarikan atau ada yang sudah hilang kerana peredaran zaman. Namun ianya tidak pernah menjadi kekurangan kepada masyarakat Bidayuh yang juga terkenal dengan kekayaan adat dan budayanya seperti juga etnik-etnik di Sarawak Bumi Kenyalang yang lain.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!



Rujukan:


1. Pantang-larang Masyarakat Bidayuh di Sarawak – Ahi Sahok, UNIMAS.

2. Adat Resam Kaum Bidayuh

bottom of page