DAYANG SOFIA BTE AWANG RAMBLI
DAYANG SOFIA BTE AWANG RAMBLI
[if !supportLists]- Seniwati Anak Sarawak
ZAMAN mudanya dikelilingi gemerlapan bintang malah tersohor nama kerana kecantikannya sebagai gadis Borneo yang syumul. Mungkin generasi sekarang tidak begitu mengenalinya tetapi pada peminat filem-filem arahan P. Ramlee mesti kenal dengan susuk seniwati yang ditampilkan ini. Di dalam filem 3 Abdul misalnya beliau menggalas tugas sebagai pelakon yang membawa watak Rafidah iaitu anak ke-2 Tuan Sadiq Segaraga, isteri kepada Abdul Wahub, anak ke-2 kepada Tuan Ismeth Ulam Raja.
Seniwati yang ditampilkan kali ini adalah seniwati legenda yang juga merupakan anak Sarawak yang berjaya membariskan namanya di kalangan nama-nama selebriti dahulukala. Dayang Sofia binti Awang Rambli begitulah asal namanya dan nama itu juga digunakannya bagi memperkenalkan dirinya di dunia perfileman Melayu. Dilahirkan pada tanggal 26hb Ogos 1938 di Kuching, Sarawak. Dan lahir di kalangan keluarga yang bukan calang-calang orangnya keranya ayahandanya adalah antara perwira Sarawak yang kita kagumi iaitu Awang Rambli bin Awang Matsaruddin.
Nama yang sering dikaitkan dengan Rukun ke-13 iaitu satu pertubuhan yang terkenal atas keberanian mereka melawan Koloni British yang menjajah Sarawak suatu waktu dahulu. Dan di dalam kronologi penentangan sehingga terbunuhnya Sir Duncan Stewart iaitu Gabenor Sarawak yang baru dilantik di tangan perwira kita Allahyarham Rosli bin Dhoby menyaksikan ayahandanya juga mati ditali gantung bersama-sama dengan 4 lagi rakannya pada tahun 1950.
Itulah kisah menyayat hati dan penuh tragis bagi Dayang Sofia yang baru meniti usia remaja pada masa itu. Diceritakan demi meneruskan survival keluarganya, ibu kepada Dayang Sofia nekad untuk membawa keluarganya berpindah membawa diri sehingga ke Singapura pada masa itu bagi membuka lembaran baru di dalam penghidupan mereka.
Bukan senang memulakan satu penghidupan lebih-lebih lagi Singapura terlalu asing bagi mereka sekeluarga namun tanpa mengenal lelah, Dayang Sofia dengan sokongan keluarganya mula mengorak langkah menjadikan pentas peragaan sebagai melebarkan bakatnya. Ternyata kehadirannya disenangi ramai malah mampu menarik minat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk berlakon di dalam filem arahannya.
Dunia lakonannya diasah bermula daripada Malay Film Production ke Cathay Keris Film Production dan akhir sekali Merdeka Film Production. Dari hanya pelakon picisan di layar perak akhirnya beliau mendapat watak yang mencabar. Antara filem-filem yang pernah beliau lakonkan adalah seperti Bujang Lapok (1957), Anak Pontianak (1958), Panji Samerang (1961), Seniman Bujang Lapok (1961), Nasib Si Labu Labi (1963), 3 Abdul (1964) dan Sayang Si Buta (1965). Mendengar tajuk filem itu sahaja kita sudah mengetahui bahawa anak Sarawak yang dimaksudkan ini memang terserlah bakatnya.
Seperti kebanyakan pelakon filem dahulu kala, Dayang Sofia juga menemui jodohnya di kalangan pelakon filem juga. Dan sekali lagi bukan calang-calang yang berjaya mencuri hatinya kerana Aziz Sattar iaitu salah seorang seniman agung tersohor menjadi raja di hatinya. Hasil perkahwinan mereka ini juga dikurniakan dengan 3 cahayamata. Namun mahligai yang dibina runtuh ditengah jalan apabila perkahwinan beliau dan Aziz Sattar akhirnya menemui titik noktahnya dan pada masa itu dikatakan perceraian mereka dilakukan di dalam aman tanpa ada keributan sama sekali.
Selepas tahun 1973 dengan lakonan akhirnya sebagai Sofiah di dalam Filem Satu Titik Garisan, dikatakan Dayang Sofia terus meninggalkan pentas lakonannya. Tiada lagi berita mengenai beliau melainkan menurut perkhabaran telah berhijrah ke Negara Brunei Darussalam dan bermastautin tetap disana sehingga sekarang. Walau sudah tidak lagi aktif namun filem-filem lama lakonannya masih lagi mengungguli carta di hati rakyat lebih-lebih lagi cerita Bujang Lapok yang terus-terusan menjadi kegilaan ramai sehingga sekarang.
Dayang Sofia binti Awang Rambli, seniwati filem melayu kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.