top of page

MISTERI BATU KUDIK


MISTERI BATU KUDIK

APABILA berbicara mengenai batu-batuan “pelik atau aneh”, Sarawak sebenarnya tidak pernah kurang dengan misteri mengenainya. Ini kerana jika diselidiki sebenarnya banyak hal-hal seperti ini wujud di Sarawak. Mungkin jika di Negara lain ianya sudah dijadikan antara sumber untuk tarikan pelancong namun hakikatnya untuk kita di Sarawak kadangkala “kekayaan” seperti ini hanya menjadi penghias cerita rakyat yang dikaitkan dengannya.

Batu Kudi atau Batu Kudik adalah salah satu daripada batu-batuan misteri yang ada di Sarawak. Lokasinya adalah berdekatan dengan Kampung Semalatong di Serian. Yang menjadikan batu kudik ini begitu misteri kerana rupa bentuknya seakan-akan manusia jika diamati dengan mata kasar. Di dalam menyingkap misteri batu kudik ini sebenarnya dikatakan mempunyai perkaitan dengan sumpahan kepada satu rumah panjang suatu waktu dahulu.

Al-sahibul hikayat beratus-ratus tahun dahulu diceritakan ada sebuah rumah panjang yang terletak di tidak jauh dari Kampung Semalatong sekarang sedang berpesta-pesta. Dikatakan pada waktu itu penduduk kampung sedang meraikan satu majlis perkahwinan pasangan uda dan dara yang mana persandingan mereka diadakan secara besar-besaran. Sudah menjadi lumrah biasanya majlis persandingan akan diadakan beberapa hari.

Dan kerana itulah dikatakan pada majlis persandingan ini segala bentuk makanan mahupun minuman adalah melimpah ruah. Para tetamu majlis dan seluruh penduduk rumah panjang menari dan menyanyi mengikut segala alunan muzik tradisional mereka dari pagi sehingga malam dengan penuh gelak ketawa dan kegembiraan.

Di dalam pada itu disebalik segala majlis yang melimpah ruah, ada seorang nenek tua dan cucunya yang yatim piatu tidak dijemput untuk datang ke majlis perkahwinan tersebut. Semuanya kerana mereka ini terlalu miskin dan kotor sehingga tidak layak untuk bergaul dengan oranglain. Apa yang mampu dilakukan oleh keduanya hanyalah mendengar segala gelak ketawa mereka semua dari jauh sambil menghidu segala bau-bauan masakan yang menyelerakan.

Ada satu ketika diceritakan cucu kepada nenek tua ini terlalu lapar sehingga meminta neneknya yang tua untuk mengambil sedikit makanan yang banyak di majlis perkahwinan tersebut. Dek kerana mengasihani cucunya maka nenek tua itupun menuruti permintaan cucunya. Maka dibawanya bersama cucunya untuk mendekati rumah panjang tersebut dan memohon belas ihsan mereka agar memberikannya sedikit makanan buat pengalas perut.

Namun sebaliknya yang berlaku kerana kedatangan nenek tua dan cucunya yang berpakaian daif itu menjadi satu masalah kepada penduduk kampung. Kedua-duanya dihina dan dicaci kerana mereka miskin dan ada yang sanggup menghalau mereka seumpama anjing kurap. Maka berlalulah kedua-duanya pulang ke rumah mereka nun dihujung kampung tanpa mendapat sedikit makanan pun.


Hendak dijadikan cerita oleh kerana kecewa diperlakukan sedemikian rupa dikatakan sebelum nenek tua dan cucunya meninggalkan rumah panjang tersebut, cucunya sempat membuka bajunya dan terus memakaikan baju tersebut ke atas seekor anjing. Anjing yang tidak biasa dipakaikan baju sudah tentu akan memberontak dan akhirnya berlari kedalam rumah panjang tersebut.

Dan diketika di dalam rumah panjang tersebut pula dengan bisingnya alunan muzik seumpama anjing itu turut sama menari bersama para penduduk kampung dan tetamu yang sudahpun bermabuk-mabukkan. Melihat aksi lucu anjing itu menyebabkan seluruh penduduk kampung di majlis persandingan itu ketawa melihatnya. Kerana mabuk ada yang tidak sedar sehingga turut menjadikan anjing itu sebagai pasangan tari mereka.

Dengan tidak semena-mena cuaca yang baik akhirnya bertukar menjadi mendung. Langit hitam mula membayangi kawasan perkampungan tersebut dan turunlah hujan yang lebat berserta dengan halilintar sabung menyabung. Maka kesemua yang di dalam majlis cuba untuk menyelamatkan diri namun kerana panahan halilintar itu jugalah akhirnya keseluruhan rumah panjang dengan seisi penduduknya telah bertukar menjadi batu.

Menurut kepercayaan penduduk setempat itulah kawasan yang dimana satu rumah panjang bertukar menjadi batu. Batu kudik nama diberi kerana di dalam dialek tempatan kudi atau kudik bermaksud satu malapetaka akan berlaku kerana mentertawakan sesuatu yang tidak harus ditertawakan. Dan ianya berkaitrapat dengan cerita bagaimana penduduk rumah panjang itu mentertawakan seekor anjing yang berpakaian seperti manusia.

Itulah cerita legenda Batu Kudik yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain di Kampung Semalatong. Dan yang lebih menariknya misteri batu Kudik ini juga turut mempunyai perkongsian cerita yang sama baik dari perkampungan berdekatan Balai Ringin sehingga ke Gedong jauhnya. Walaupun tiada kajian yang mampu membenarkan kejadian benar-benar berlaku atau tidak namun apa yang ada di Batu Kudik yang mana ada susuk seakan-akan wajah mahupun badan manusia tetap menyimpan misterinya yang tersendiri.

Apa yang pasti di dalam penceritaan cerita legenda ini mempunyai maksud tersirat yang boleh dijadikan pedoman kita di dalam penghidupan seharian. Antaranya adalah usah sesekali kita memandang hina pada mereka yang miskin hanya kerana kita sudah punya segalanya.


bottom of page