top of page

GHITA @ GITA NAMA DIBERI


GHITA @ GITA NAMA DIBERI

GHITA atau Gita adalah satu nama yang sering diperkatakan di dalam banyak cerita sejarah Sarawak lebih-lebih lagi apabila berkata perkaitannya di ketika pemerintahan 100 tahun dinasti keluarga Brooke memerintah Sarawak suatu waktu dahulu. Dan nama ini juga turut diabadikan pada satu perkampungan di kawasan Petra Jaya, Kuching iaitu Kampung Gita.


Dan istimewanya Kampung Gita ini juga sekitar tahun 1983 ianya telah mencatat sejarah modennya sendiri apabila ianya menjadi perkampungan terhormat yang dilawati oleh Rajah Muda Anthony Brooke dan isterinya. Pada ketika itu pasangan Brooke ini menjadi tetamu kehormat Kerajaan Negeri Sarawak bagi menyambut ulangtahun yang ke-20 sambutan perbentukan Gagasan Malaysia.


Itu ceritanya Kampung Gita yang sekarang sudahpun ditransformasikan menjadi antara pusat kediaman moden di Kuching. Banyak perumahan-perumahan baru didirikan bagi memenuhi keperluan rakyat Sarawak khususnya Kuching. Bukan itu sahaja di sekitar Kampung Gita juga terdapat banyak pembangunan serta beberapa gedong membeli belah buat keperluan masyarakat yang mendiaminya.


Menguak tabir sejarah nama Ghita atau Gita ini sebenarnya mempunyai pautan yang sungguh istimewa. Ini kerana nama ini begitu sinonim dengan keluarga pemerintah Rajah Putih iaitu Rajah Brooke yang pernah memerintah Sarawak. Jika diamati dari konteks individu bersejarah ini mempunyai 3 nama yang disebut-sebutkan iaitu Ranee Margaret Brooke, Dayang Ghita Brooke dan Brigette Keller @ Gita Brooke.



1. Ranee Margaret Brooke


Oleh kerana Rajah Putih yang pertama iaitu Sir James Brooke tidak pernah mempunyai perkahwinan yang sah maka Ranee Margaret Brooke merupakan ranee pertama yang pernah dimiliki oleh Sarawak suatu waktu dahulu.Lahir dengan nama Margaret Alice Lili De Windt merupakan anak perempuan kepada golongan aristocrat yang kaya raya di England.


Beliau merupakan isteri kepada Rajah Putih ke-2 Sarawak iaitu Rajah Charles Brooke yang mana mereka berkahwin pada 28 Oktober 1869. Hanya pada tahun 1870 barulah Ranee Margaret Brooke menjejakkan kakinya ke Sarawak.Bagi menunjukkan kecintaannya kepada isterinya, Rajah Charles Brooke telah membina Astana sebagai hadiah perkahwinannya.Malah satu kubu pertahanan turut dibina yang mengambil bersempena namanya iaitu Fort Margherita yang masih utuh sehingga sekarang adalah antara binaan yang bersejarah yang mempunyai perkaitan dengannya.


Terkenal dengan sifatnya yang merendah diri malah antara ranee Sarawak yang paling dekat dengan rakyat jelata suatu waktu dahulu. Dikatakan beliau paling tidak kekok dengan adat istiadat masyarakat Sarawak pada masa itu.Sahabatnya adalah isteri-isteri dari golongan Melayu Datu-datu yang menjadi tulang belakang pentadbiran Sarawak sewaktu zaman Brooke suatu waktu dahulu.


Kerana keakraban itulah juga dikatakan Ranee Margaret lebih dikenali sebagai Ranee Ghita atau Gita di kalangan rakyat tempatan agar ianya lebih senang untuk disebutkan.



2. Dayang Ghita Brooke


Sewaktu Brooke memerintah sudah menjadi tradisi di dalam pemerintahan Sarawak untuk memberi gelaran kepada keluarga Brooke itu sendiri.Oleh kerana baik Brooke mahupun Kerajaan Sarawak tidak boleh lari daripada pengaruh Kerajaan Brunei Darussalam itu sendiri maka penggunaan pangkal nama “Dayang” merupakan anugerah pangkat terhormat di dalam hirarki pemerintahannya.Dan golongan yang mendapat gelaran ini merupakan puteri-puteri daripada generasi Brooke sendiri manakala untuk putera-puteranya pula dengan menggunakan pangkal nama Tuan Muda dan sebagainya.


Untuk individu bernama Dayang Ghita Brooke merupakan puteri sulung kepada pasangan Rajah Charles Brooke dan Ranee Margaret Brooke.Dilahirkan pada tanggal 21 September 1870 di Kuching, Sarawak. Satu tragedi yang tidak disangka berlaku pada tahun 1873 iaitu ketika Rajah Charles Brooke sekeluarga di dalam pelayaran pulang untuk bercuti ke tanahairnya England dengan menggunakan kapal SS Hydaspes.


Dayang Ghita Brooke yang berusia 3 tahun bersama-sama 2 adiknya iaitu James Harry Brooke dan Charles Clayton Brooke telah menemui ajal akibat diserang sakit taun ketika melintasi Laut Merah. Dayang Ghita meninggal dunia pada tanggal 14 Oktober 1973 dengan disusuli oleh adik-adiknya beberapa hari kemudian.



3. Brigette Keller @ Gita Brooke


Untuk individu bernama Brigette Keller atau Gita Brooke ini pula sinonim namanya hanya berlaku di ketika sejarah Sarawak sekarang.Ini kerana beliau merupakan isteri setelah perkahwinan pertama Rajah Muda Anthony Brooke gagal.Brigette dengan nama panggilannya Gita merupakan isteri yang dikahwini beliau pada tahun 1982.


Gita merupakan seorang wanita yang terkenal sebagai aktivis keamanan dilahirkan pada tahun 1931 di Copenhagen, Denmark.Beliau merupakan anak kepada seorang reverend yang terkenal di Denmark yang bernama Reverend Paul H. Lange.Inilah isteri kepada Rajah Muda Anthony Brooke yang dicintai beliau sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 2011 di Wanganui, New Zealand.


Jadi berdasarkan kepada nama-nama individu di dalam keluarga Brooke yang pernah memerintah Sarawak ini sudah tentu kebarangkalian untuk kita boleh meneka bagaimana Kampung Gita itu mendapat nama. Sudah tentu Gita Brooke, isteri Rajah Muda Anthony Brooke tidak di dalam senarainya kerana perkampungan ini diasaskan lebih awal daripada itu.


Berkemungkinan besar nama timangan Ranee Margaret iaitu Ghita atau puterinya yang sudah meninggal dunia iaitu Dayang Ghita Brooke diabadikan di dalam menggelar nama perkampungan itu sekarang. Begitulah sejarahnya “Ghita @ Gita Nama Diberi” sebagai sumber perkongsian untuk semua.


Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.





Rujukan:

  1. A History Of Sarawak Under Its Two White Rajahs, 1839-1908 – S. Baring Gould

  2. My Life In Sarawak – Margaret Brooke, The Ranee Of Sarawak

  3. Ancestors Of Ghita Brooke, Dayang of Sarawak 1870 by Geneall.net

  4. Rajah Muda Anthony Brooke – Borneo Oracle

bottom of page