top of page

OPS JELAKU VI, NONOK (ASAJAYA) 1973

  • Mar 3, 2017
  • 6 min read

OPS JELAKU VI, NONOK (ASAJAYA) 1973


PERJUANGAN anggota keselamatan kita bagi memastikan komunis tidak berleluasa sememangnya adalah satu tuntutan tugas yang mencabar. Dan seringkali mereka bergadang nyawa demi keamanan yang kita kecapi sekarang. Cerita perjuangan mereka berperang dengan komunis terlalu banyak namun tidak begitu diwar-warkan buat pengetahuan kita semua.


Untuk konteks Sarawak sahaja banyak kisah suka duka mereka dan ada satu peristiwa perang yang pernah berlaku di kawasan Nonok (Asajaya sekarang) yang amat menarik untuk kita ketahui. Ini kerana kawasan Nonok ketika era komunis dilabelkan sebagai kawasan hitam yang menyaksikan banyak operasi-operasi dijalankan dan salah satunya yang dinamakan Ops Jelaku VI yang berlaku sekitar Oktober 1973.


Tanggal 4 Oktober 1973 menyaksikan Kompeni D, Batalion Ke-3 Rejimen Renjer telah diterbangkan dengan pesawat Nuri dari kem Serian ke kawasan operasi yang dikenali sebagai “Peninsular Nonok”. Pada ketika itu Kompeni D diketuai oleh seorang anak Iban Sarawak bernama Kapten Robert Rizal Abdullah (nama Ibannya sebelum memeluk Islam; Robert Madang Langi). Beliaulah yang menjadi perancang utama di dalam gerakan Ops Jelaku VI ini dan tugas pertama beliau adalah dengan membuat pembahagian kompeninya menjadi 3 kumpulan kecil iaitu Platun 10, 11 dan 12 agar mampu mencakupi kawasan penggeledahan yang lebih luas serta lebih berkesan impaknya.


Pada 6 Oktober 1973, diketika sedang membuat rondaan salah satu daripada kumpulan kecil iaitu Platun 12 yang dipimpin oleh Lt. M. Zainal bin Arifin telah terserempak dengan sekumpulan komunis tanpa sengaja. Namun oleh kerana telah lama terdedah dengan sebarang kemungkinan serangan maka Platun 12 tidak berundur sebaliknya terus-terusan berbalas tembakan dengan pihak komunis. Namun sayangnya komunis berjaya meloloskan diri manakala di pihak Platun 12 pula terkorban satu iaitu Renjer Mohd Salleh bin Mohd. Yusuf menemui ajalnya.


Gugurnya salah seorang anggota bukanlah masa untuk meraung hiba sebaliknya ianya menjadi pembakar semangat untuk kesemua anggota yang selamat bermati-matian menjejaki komunis yang membuat onar itu. Tanpa lelah kesemua mereka menjejak musuh sehinggalah berjaya menemui satu kawasan perkhemahan yang boleh memuatkan antara 60 hingga 70 orang komunis. Namun ianya hanya satu kawasan perkhemahan yang kosong kerana kumpulan komunis sudahpun awal-awal lagi cabut lari menghindarkan diri daripada bertembung dengan anggota keselamatan kita.


Oleh kerana hari sudah malam maka kesemua Kompeni D diarahkan untuk bermalam sahaja di kawasan perkhemahan yang ditinggalkan. Keesokan harinya iaitu pada tanggal 7 Oktober mereka menyambungkan tugasan mereka menjejaki musuh. Ternyata ada sinar pada pencarian mereka pada kali ini apabila satu denai yang masih baru membuktikan bahawa komunis telah melaluinya.


Maka bermulalah perancangan rapi dibuat oleh Kapt. Robert Rizal dengan memulakan penjejakan didahului oleh Platun 12 diikuti oleh Platun 11 kira-kira 1000 meter di belakang. Platun 10 pula diarahkan untuk mengekori kira-kira 3000 meter di belakang Platun 11. Begitulah perancangan taktikalnya bagi keselamatan semua anggota.


Hampir 3 hari lamanya operasi penjejakan dilakukan namun kelibat komunis tidak kelihatan. Pada masa itu dikatakan keseluruhan anggota kompeni D terpaksa mengharungi kawasan berpaya. Ada ketikanya mereka bermalam diatas pokok dengan mendirikan hammock sebagai tempat untuk berteduh kerana kawasan penuh berair. Dan hendak berjalan juga harus menggalas beg di kepala. Basah lenjun itu hanya mainan biasa bagi anggota keselamatan.

Kira-kira jam 10.00 pagi tanggal 10 Oktober 1973, kedengaran bunyi tembakan memecah suasana pagi apabila Platun 12 telah bertempur dengan sekumpulan 2 orang pengganas komunis. Inilah masanya untuk membalas segala tindakan mereka ke atas anggota yang terkorban sebelum ini. Platun 12 tidak memberi muka langsung kepada 2 orang pengganas komunis dan akhirnya kedua-dua mati ditembak.

Setelah usai mengeluarkan 2 orang komunis dengan bantuan pesawat TUDM, Kapt. Robert dengan kompeni D meneruskan usaha menjejaki komunis yang masih hidup. Dikatakan ketika menghampiri Sungai Batang Sadong kelibat komunis masih tidak kelihatan dan pada masa itu juga kesemua anggota sudahpun keletihan dan kelaparan. Sebagai seorang ketua segala kebajikan anggota bawahan sentiasa beliau utamakan maka kesemua mereka berehat sebentar sambil makan malam dan melepaskan rehat buat seketika.

Apa yang menjadi kerisauan kepada Kapt. Robert adalah berkemungkinan besar kumpulan komunis mungkin boleh lepas lari dengan lebih jauh lagi sekiranya mereka beroleh sampan untuk menyeberangi Sungai Batang Sadong. Dan kerana itulah adalah perlu mereka terus menjejaki komunis sehingga dapat. Firasatnya juga merasakan bahawa kedudukan mereka sudah paling dekat dengan tempat perkhemahan komunis.


Usai berehat dan tenaga sudah dipulihkan akhirnya di dalam suasana pekat malam itu juga dengan bersandarkan 3 lampu picit, kompeni D terus berjalan menyelusuri denai yang ditinggalkan. Bukan satu yang mudah sehingga ada satu ketika mereka terbabas dan kehilangan denai yang hendak diikuti beberapa kali. Dan ditambahlagi sekitar jam 10 malam pula, bateri lampu picit pula kehabisan dan pergerakan semakin sukar malah hujan pula membasahi tubuh mereka.


Menjelang tengah malam iaitu kira-kira jam 12.30 pagi ketika dengan hanya berpandukan kerlipan dan silauan ranting-ranting mengikut denai di dalam keadaan meraba-raba itulah Kapt. Robert dihampiri oleh Lans Koperal Peter bat Wan a/k Wan Lejau yang menyatakan bahawa beliau terhidu bau ubat nyamuk. Lantas Kapt. Robert mampir ke barisan hadapan di dalam pergerakan perlahan-lahan. Dan dari kejauhan beliau yakin informasi yang diberikan adalah benar. Dari tempat pemerhatian itu juga beliau dengan mudah melihat adanya cahaya dari sebatang lilin berkerlip-kerlipan yang menandakan bahawa itulah kawasan perkhemahan komunis.


Tanpa berlengah, Kapt Robert mengarahkan anggotanya untuk berundur dahulu lebih kurang 100 meter bagi membolehkan beliau berbincang dan menyampaikan perintah serangan. Dengan perancangan rapi kali ini sekali lagi Kompeni D dipecahkan kepada 2 platun. Taktiknya adalah dengan kumpulan penyerang adalah seramai 7 orang termasuk beliau sendiri manakala kumpulan kedua pula dijadikan kumpulan penyekat seramai 8 orang yang diketuai oleh PWII Norizan. Tepat jam 2 pagi, Kapt Robert dan 6 lagi anggota mula mendekati kawasan musuh. Hampir 1 jam mereka memerhati gerakan musuh secara lebih dekat.


Sekitar 3 pagi ada kelihatan komunis sudah mula bangun dan menghidupkan unggun api yang besar. Setengah jam kemudian, Kapt Robert mengarahkan anggotanya bersiaga dengan dia sendiri telah merangkak secara perlahan-lahan menuju kearah unggun api iaitu di dalam kedudukan 15 ke 20 meter jaraknya.

Diceritakan walaupun Kapt Robert telah begitu dekat dengan kawasan musuh namun masih tiada serangan dibuat kerana beliau mahu menunggu agar ramai komunis berkumpul di kawasan unggun api.


Pada ketika itu juga beliau telah bersembunyi di sebalik pokok besar yang berhampiran dengan seorang anggota Renjer Mohd Desa bin Haji Mohd Hashim bersama beliau. Hanya pada jam 6.15 pagi 11 Oktober, barulah Kapt Robert memulakan pergerakannya iaitu dengan melontarkan bom tangan ke perkhemahan komunis. Namun sayangnya bom tangan tersebut jatuh ke tempat berair dan berlopak yang menyebabkan ianya tidak berfungsi. Sebaliknya ianya telah memberi amaran kepada pengganas komunis di kawasan tersebut.

Bertindak daripada itu juga, Kapt Robert lantas melepaskan tembakan bertubi-tubi dengan menggunakan senjata Beretta. Maka bermulalah serangan tanpa henti dari kedua-dua pihak. Dikhabarkan serangan mengejut itu menyebabkan pengganas komunis lintang pukang menyelamatkan diri. Mereka lari bertempiaran sambil cuba membalas tembakan. Di pihak anggota Kompeni D pula sudah ada yang melakukan amukan sehingga ke dalam perkhemahan pengganas komunis. Manakala ada segelintir daripada mereka terus mengejar komunis tanpa rasa takut sekalipun.

Tiba-tiba bunyi tembakan tiada lagi kedengaran dan pada ketika itulah dikatakan Kapt. Robert telah mengarahkan kompeninya untuk berkumpul. Namun tiada yang membalas laungannya dan pada masa itulah beliau menyangka bahawa kesemua anggotanya telah terkorban. Hanya pada laungan ketiga barulah ianya disahut oleh Renjer Md. Said bin Saad dan Renjer Rasul bin Ahmad. Maka bermulalah episod mereka bertiga melakukan penggeledahan dan diketika itulah mereka menjumpai mayat pengganas seramai 7 orang iaitu 4 wanita dan 3 lelaki berketurunan Cina kesemuanya. Pada masa itu juga mereka menjumpai Renjer Mohd. Desa turut terkorban terkena tembakan komunis manakala Renjer Ahmad bin Adnan pula mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Lelah bertempur bukan bermakna perlu duduk berehat sebaliknya tanggungjawab anggota keselamatan belum terhenti. Mayat pengganas dan anggota yang gugur serta tercedera harus dikeluarkan dari lokasi. Jadi Kapt Robert mengarahkan anggotanya untuk membuat satu tapak pendaratan helicopter pula. Kesemua mereka yang tiada dan tercedera harus segera diterbangkan ke markas. Hanya selepas 3 hari barulah Kompeni D secara keseluruhannya dikeluarkan daripada tapak perkhemahan pengganas dengan menggunakan pesawat Nuri. Kesemuanya dilakukan bagi memastikan tiada lagi saki baki pengganas komunis kembali ke tempat tersebut.


Inilah antara cerita yang sungguh luarbiasa apabila berbicara mengenai keberanian dan kepimpinan yang dinamik yang dimiliki oleh Kapt. Robert dan keseluruhan anggota Kompeni D di Ops Jelaku VI, Nonok pada Oktober 1973. Ada 3 pertempuran dengan pengganas komunis yang berlaku yang menyaksikan seramai 9 komunis mati manakala 2 anggota Kompeni D gugur sebagai bunga bangsa dan seorang pula cedera parah.

Pada tanggal 17 Januari 1974, Kapt Robert Rizal Abdullah dan Renjer Ahmad telah dianugerahkan dengan Pingat Gagah Berani oleh Kerajaan Malaysia atas jasa dan keberanian mereka yang luar biasa di dalam mempertahankan Negara daripada anasir komunis. Ketahuilah sejarah ini wahai anak bangsa kerana bukanlah senang membina sebuah Negara. Keamanan yang kita kecapi sekarang adalah atas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan kita.

Lest We Forget!



Rujukan:

1. Transkrip Temubual Bersama Dengan Encik Ahmad Bin Adnan Mengenai Penglibatan Beliau Dalam Pertempuran Dengan Pangganas Komunis Di Dalam Operasi Jelaku Vi Di Nonok, Sarawak Pada Tahun 1973

http://ohms.uitm.edu.my/doc/ahmad_adnan.pdf

2. Captain Robert Rizal Bin Abdullah and Ranger Ahmad bin Adnan - Pingat Gagah Berani

http://www.7rangers.com/2005/10/captain-rober-rizal-bin-abdullah-and.html

 
 
 

Comments


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page