KERAJAAN DAYAK BATAGUH
KERAJAAN DAYAK BATAGUH
KALIMANTAN bukanlah satu yang asing bagi masyarakat Dayak di seluruh Borneo kerana disinilah dikatakan berasalnya suku-suku dayak yang bertebaran menjadi etnik pribumi Borneo. Jadi adalah tidak mustahil sekiranya suatu waktu dahulu suku-suku Dayak Borneo juga pernah membentuk kerajaan-kerajaan kuno mereka yang menjadi asas kepada banyak kerajaan serta kesultanan Islam di bumi Borneo.
Siapa pernah mengetahui bahawa di satu kawasan yang dinamakan Kecamatan Bataguh di Kabupaten Kapuas, Kalimantan Tengah, Borneo pernah wujud satu kerajaan kuno dayak yang yang didirikan oleh suku dayak Ngaju. Kerajaan Dayak Bataguh ini dikatakan diasaskan oleh seorang ratu dari suku Dayak Ngaju yang bernama Nyai Undang. Menurut ceritanya pengasas Kerajaan Dayak Bataguh ini yang bernama Nyai Undang adalah puteri tunggal kepada seorang lagi pemimpin suku Dayak Ngaju iaitu yang bernama Temenggung Sempung yang telah memperisterikan Nyai Nunjang.
Nyai Undang sebagai puteri tunggal kepada seorang pemimpin Dayak Ngaju dikatakan telah diberikan segala bentuk ilmu bagi mempersiapkan dirinya mengambil alih jawatan ayahnya kelak. Dan kerana itulah Nyai Undang selain daripada mempunyai rupa paras yang cantik juga pakar di dalam ilmu peperangan baik bertingkah dengan menggunakan senjata mahupun diajar selok-belok untuk menjadi pentadbir kepada masyarakatnya kelak. Kerana itulah Temenggung Sempung amat berhati-hati di dalam memilih siapa bakal menantunya dan hanya menerima pinangan daripada seorang pahlawan Dayak yang bernama Senggalang, cucu kepada Mereng iaitu satu lagi pemimpin Dayak sebagai menantunya.
Apabila Nyai Undang mendapat suami yang bukan calang-calang kepahlawanannya iaitu Senggalang sebagai tulang belakangnya maka satu komuniti kecil penempatan Dayak Ngaju di Kapuas akhirnya menjadi besar dan berpengaruh sehingga menjadi igauan ngeri kepada wilayah-wilayah lain di bumi Borneo. Disinilah dikatakan asas kepada satu kerajaan dayak yang bergelar Kerajaan Dayak Bataguh suatu waktu dahulu.
Apa yang menjadi agak misteri adalah dikatakan seluruh komuniti yang mendiami Kerajaan Dayak Bataguh yang berdiri di tebingan Sungai Kapuas itu tiba-tiba hilang atau ghaib sekitar tahun 1400 Masihi. Dan kerajaan dayak yang hilang ini dikatakan tidak mempunyai mercu keberadaannya di bumi Borneo sehinggalah penemuan beberapa artifak sejarah di Sungai Kapuas seperti keris gergasi yang bernama Keris Zaman Bataguh serta patung ulin iaitu patung yang menyerupai seorang wanita bertelinga panjang yang menjadi antara artifak sejarah yang paling bernilai pernah ditemui di dalam penggalian arkeologis di bumi Kapuas sekitar tahun 1900an.
Menurut sejarah oral masyarakat dayak Ngaju yang mendiami kawasan sekitar Kapuas ada menyatakan bahawa Kerajaan Dayak Bataguh ini bukannya satu kerajaan kecil sebaliknya ianya mempunyai wilayah-wilayah jajahan yang luas sehingga ke Pulau Kupang dan Pulau Telo. Dan dikatakan sekitar tahun 1400 Masihi Kerajaan Dayak Bataguh telah berperang dengan beberapa kerajaan kecil di bumi Borneo seperti dengan Raja Sawang (Raja Laut), Raja Saliwan (Raja Utara) serta beberapa kelompok pemimpin dayak yang lain.
Oleh kerana perang yang bertali arus dari pelbagai sudut sempadan menyebabkan sehingga menyebabkan Kerajaan Dayak Bataguh tidak mampu menerima asakan peperangan daripada pelbagai kerajaan-kerajaan di dalam satu masa. Akhirnya kerana kekalahan tersebut, Kerajaan Dayak Bataguh itu sendiri musnah dan hilang bersama-sama dengan segala mercu tandanya.
Itu ceritanya mengenai kewujudan satu kerajaan dayak kuno yang pernah wujud di Kalimantan Tengah. Dikatakan sehingga ke hari ini masih banyak lagi misteri kerajaan dayak ini sedang diperhalusi oleh pengkaji sejarah disana.
Yang pasti, suatu waktu dahulu masyarakat di Borneo juga mampu mempunyai tamadun dan corak pemerintahannya tersendiri dan bukanlah hanya tinggal di dalam hutan dengan bercawat dan menjadi karnibal seperti yang pihak barat sering gembar-gemburkan
Rujukan:
[if !supportLists]1. [endif]Patung Dayak Dari Kerajaan Bataguh http://www.kapuaskab.com
[if !supportLists]2. [endif]Pusaka Keris Raksasa Kerajaan Batagu di Sungai Kapuas
[if !supportLists]3. [endif]Legenda Nyai Udang dan Pertempuran di Kuta Bataguh https://www.infoitah.net