PERISTIWA MANDOR BERDARAH 1944
PERISTIWA MANDOR BERDARAH 1944
MENGUAK pintu sejarah pendudukan Jepun yang berkisar dari tahun 1943 hingga 1945 mempunyai banyak cerita kekejamannya lebih-lebih lagi apabila melibatkan pasukan mata-mata Jepun yang digelar “Kempetai”. Namun di dalam konteks sejarah Sarawak, Sabah mahupun Brunei pada ketika itu tidaklah begitu kelam sejarahnya kerana hanya beberapa peristiwa kecil yang berlaku apabila berkata mengenai kekejaman mereka.
Ini berlainan sama sekali untuk satu lagi Negara di dalam Pulau Borneo iaitu di Kalimantan apabila sejarah pendudukan Jepun terlalu pahit untuk rakyatnya telan. Ini kerana disinilah berlakunya satu peristiwa yang begitu menyayat hati yang dikenali sebagai Peristiwa Mandor. Di dalam peristiwa berdarah ini tentera Jepun tanpa berperikemanusiaan telah melakukan satu pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Kalimantan. Menurut sumber dikatakan pembunuhan beramai-ramai ini mempunyai pelbagai cara untuk mati iaitu samada mereka mati ditembak, dipancung kepala mahupun dikubur hidup-hidup di dalam satu lubang besar atau dikuburkan tanpa bertanda.
Di dalam menyelusuri sejarah peristiwa berdarah ini juga sehingga sekarang sejarahwan di pihak Negara Indonesia mempunyai beberapa percanggahan di dalam menyatakan angka korban yang mengkhusus. Ini kerana catitan di dalam sejarah Indonesia mengatakan angka korban kepada siri pembunuhan kejam tentera Jepun ini telah meragut hampir 21 ribu rakyatnya. Ianya berasaskan kepada faktor kekejaman Jepun terhadap rakyat di Kalimantan telahpun bermula sejak di tahun 1943-1944 lagi sebelum menemui titik kemuncaknya pada apa yang berlaku di Kecamatan Mandor, regensi Kabupaten Landak, Kalimantan Barat pada tanggal 28 Jun 1944. Manakala bagi sejarahwan di pihak Jepun sentiasa menafikannya dengan tetap menyatakan angka korban pula hanyalah sekitar 1,000 nyawa sahaja.
Pendudukan Jepun di Borneo bukanlah satu yang waktu yang mudah kerana rakyat sememangnya sengsara. Jika di Sarawak, penentangan ke atas pendudukan Jepun mungkin banyak berkisar kepada Gerila Semut yang dianggotai oleh anak-anak kaum pribumi Sarawak seperti Kelabit, Penan, Iban dan banyak lagi. Untuk di North Borneo pada masa itu juga mempunyai pasukan Gerila Akinabalu yang juga turut dianggotai pribumi North Borneo. Kedua-dua pasukan gerila ini mendapat suntikan daripada Pasukan Tentera Perikatan yang mana menyaksikan mereka berjuang secara gerila di dalam hutan. Menyerang tentera Jepun disebalik rimbunan pokok dan belukar dan bila berpeluang maka bercerailah kepala daripada badan tentera Jepun pada masa itu.
Untuk konteks Kalimantan pula, penentangan keatas pendudukan Jepun berlainan sama sekali. Ini kerana penentangan rakyatnya bermula daripada golongan atasan iaitu melalui kepimpinan golongan bangsawan termasuklah Sultan-sultan serta pembesar-pembesar kerajaan-kerajaan tempatan seperti Kesultanan Kadriah, Mampawah serta banyak lagi. Golongan ini bergandingbahu dengan golongan cendikiawan mahupun pemimpin agama Islam, Buddha mahupun Kristian serta pemimpin-pemimpin masyarakat yang berpengaruh yang meliputi pelbagai bangsa dan agama di bumi Kalimantan. Oleh kerana adanya komplot-komplot bawah tanah seperti inilah yang menjadi igauan ngeri kepada pemerintah tentera Jepun sehingga mereka sejak dari tahun 1943 lagi telah cuba untuk menghentikan pemberontakan di dalam senyap ini.
Sekitar September 1943, Jepun di Kalimantan telah mengadakan satu operasi yang dinamakan Operasi Cap Kapak. Operasi Cap Kapak ini telah memungkinkan banyak rumah-rumah golongan pemimpin yang menentang telah disita dan segala isi rumahnya juga turut ditangkap. Tanpa mengira lelaki mahupun perempuan, kanak-kanak atau dewasa kesemuanya akan dihalau daripada rumah mereka sendiri dan seterusnya dibawa ke dalam kenderaan Jepun menuju ke satu lokasi yang misteri.
Ada sesetengah penceritaan sejarah menyatakan usai membawa tahanan di dalam Operasi Cap Kapak ini, rumah-rumah ini juga turut dimusnah dengan dibakar segalanya bagi memastikan bahawa isi rumah tidak berdaya dan tidak kembali ke tempat mereka nanti. Antara yang menjadi mangsa adalah istana Kesultanan Kadriah di Pontianak yang mana ianya juga turut dibakar menjadi abu setelah Sultan dan seisi keluarganya ditahan oleh Tentera Jepun. Inilah antara kejadian yang menunjukkan kekejaman Jepun di bumi Kalimantan pada masa itu yang ramai antara kita saudara seborneo tidak mengetahuinya.
Setelah berjaya menahan dan melakukan seksaan secara fizikal kepada rakyat Kalimantan terutamanya ke atas golongan bangsawan, cendikiawan dan ahli agama akhirnya pada tanggal 28 Jun 1944 tibalah masanya tentera Jepun menjalankan hukuman ke atas mereka. Dikatakan pada hari itu berpuluh-puluh trak tentera Jepun telah mundar-mandir di satu lokasi terpencil di Mandor. Tentera jepun dikatakan telah menggali lubang besar di satu kawasan dan diarahkannya para tawanan untuk memasuki lubang tersebut.
Umpama cerita genoside tentera Nazi ke atas kaum Yahudi di German begitulah juga ceritanya mengenai mereka yang ditawan oleh Jepun di Kalimantan. Menurut sumber ada yang sengaja ditembak mati dan terus rebah di dalam lubang tersebut. Ada juga yang menjalani hukuman pancung di hadapan semua tawanan sebelum mayat dan kepalanya dibuang ke dalam lubang kubur. Disamping itu ada juga pensejarahan yang menyatakan bahawa ramai antara mereka yang berkemungkinan sakit tidak terdaya terus dilempar di dalam lubang dan ditanam hidup-hidup oleh tentera Jepun.
Bayangkanlah betapa tersiksanya tawanan Peristiwa Mandor pada ketika itu dan betapa kejamnya Tentera Jepun di Kalimantan ketika Perang Dunia Ke-2 berlaku. Jika di Negara kita kebanyakan sasaran tentera Jepun adalah dari kaum Cina kerana dendam mereka. Namun untuk konteks di Kalimantan, ianya melintasi batas kaum kerana selain kaum Cina yang sengsara ianya turut terpalit pada siapa sahaja termasuklah orang awam.
Usai Peristiwa Mandor berlaku itulah dikatakan masyarakat Dayak di Kalimantan yang rata-ratanya rakyat awam telah bangun memberontak. Mereka bangun untuk menuntut bela atas kematian saudara-saudara dengan mengadakan perang kayau di era tahun 20 masihi. Pada masa itu juga dikatakan banyaklah kepala tentera Jepun bercerai dari badan namun kekuatan ketenteraan Jepun yang menggunakan banyak senjata moden berjaya mengatasi semangat juang anak Dayak Kalimantan. Hanya seketika ianya berjaya dipatahkan dan tidak begitu memberi impak kepada keangkuhan pemerintahan Jepun di bumi Kalimantan pada ketika itu.
Di dalam Peristiwa Mandor Berdarah, 1944 ini antara nama besar korban jiwanya adalah Syarif Mohammad Al-Qadri (Sultan Pontianak), Pangeran Adipati (Raja Muda Pontianak), Gusti Sunan (Alim Ulama dan keluarga Panembahan Ketapang), Mohammad Ibrahim Safiuddin (Sultan Sambas), Teuku Idris (Alim Ulama dan keluarga Panembahan Sukadana), Gusti Mesir (Alim Ulama dan keluarga Penembahan Simpang), Syarif Salleh (Sultan Kubu), Dr. Roebini, Dr. R.M Ahmad Diponegoro serta banyak lagi yang tidak mampu dicatatkan.
Begitulah ceritanya mengenai Peristiwa Mandor Berdarah yang berlaku pada tanggal 28 Jun 1944 iaitu di ketika pendudukan Jepun di bumi Borneo suatu ketika dahulu. Lokasi dimana berlakunya peristiwa ini dinamakan dengan Makam Juang Mandor dan dijaga sebagai antara tempat bersejarah untuk rakyat Kalimantan. Saban tahun pada tanggal 28 Jun merupakan hari berkabung untuk Kalimantan Barat yang menyaksikan Makam Juang Mandor dikunjungi bagi mengenang peristiwa nenek moyang rakyat Kalimantan dibunuh hanya kerana mempunyai api patriotism menentang pemerintahan Jepun di bumi Kalimantan.
Rujukan:
Tajuk buku: Peristiwa Mandor Berdarah. Tulisan: Isnawita Din
Pembantaian Berdarah Di Kuburan Massal Mandor
Kalbar Peringati Keganasan Tentera Jepun
Sultan Muhammad dan Peristiwa Mandor
Latar Belakang Peristiwa Mandor Yang Mengerikan