top of page

FATIMAH RAZAK


FATIMAH RAZAK - Penyanyi Idola Malaysia Era 1970an


PENCARIAN untuk menampilkan beberapa figura “jeman mensia” di kalangan anak Sarawak membawa kami menemui seorang individu yang gah namanya suatu waktu dahulu. Dan artikel ini ditulis berdasarkan temubual kami secara empat mata berbicara dari hati ke hati menggodek sejarah silam beliau. Walaupun sekarang sudah diusia emasnya namun kecantikan serta lemah lembut tutur bahasa menyantuni kami yang bertandang amat memikat jiwa.


Fatimah Razak itulah satu nama seorang anak Sarawak yang pernah mengungguli dunia seni muzik Malaysia sekitar tahun 1970an. Namanya pada ketika itu sebaris dengan beberapa biduanita Malaysia seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini malah beliau juga pernah berkongsi pentas yang sama dengan Allahyarhamah Bidunita Saloma. Di ketika zaman kemuncaknya dikatakan amat payah untuk menghadirkan diri di tempat awam tanpa ada pengawal peribadi kerana akan dikejar sampai dapat oleh peminat-peminatnya. Itulah antara memori terindah untuk penyanyi 1970an anak Sarawak ini.


Menyelusuri sejarah hidupnya, insan berbakat ini lahir dengan nama asalnya Fatimah binti Mohammad pada tanggal 12hb Jun 1944 di Depo Polis Kuching. Walau bagaimanapun kedua ibubapanya dan sanak keluarganya ramai mendiami Kampung Gersik, Petrajaya, Kuching iaitu satu perkampungan melayu yang terletak di seberang Sungai Sarawak. Membesar di ketika musim Jepun merintah Sarawak bukanlah mudah katanya lebih-lebih lagi beliau berasal dari keluarga polis.


Ada satu ketika akibat untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh oleh Tentera Jepun, ayahnya telah membawa mereka sekeluarga melarikan diri dengan berkayuh perahu dari Kuching sehingga ke Serian. Ketika itulah mereka sekeluarga bersembunyi di sebuah rumah panjang kaum Iban untuk beberapa waktu yang lama. Mereka sekeluarga tidak akan pernah lupa jasa Tuai rumah panjang Iban yang sanggup bergadang nyawa untuk menyelamatkan mereka semua. Oleh kerana itulah katanya pengalaman tinggal di rumah panjang Iban menjadikan dia begitu mencintai adat dan budaya kaum Iban sehingga sekarang.


Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa penyanyi terbilang era 1970an ini merupakan rakan karib kepada Allahyarham Tok Nan kita yang cintai. Boleh dikatakan zaman remaja beliau banyak dihabiskan dengan Tok Nan dan beberapa rakan yang lain. Mereka bersama-sama berbasikal malah sentiasa menjadi pengunjung setia menonton wayang di Cathay mahupun Rex suatu waktu dahulu. Kalau ada duit lebih kebiasaannya mereka akan menonton “late show” dengan kadar bayaran masuk panggung pada masa itu samada 30 sen mahupun 50 sen. Seringkali apabila band Vegaband iaitu kugiran milik Tok Nan dengan rakan-rakannya mengadakan persembahan di kenduri orang kahwin, beliau pun turut serta. Inilah memori indah beliau dengan seorang lagi figura yang cukup kita sayangi iaitu Allahyarham Tok Nan.


Menyingkap cerita mula-mula beliau menjinakkan diri di dalam dunia nyanyian sebenarnya bermula di ketika beliau sudahpun menjadi isteri orang. Jodohnya dengan seorang pegawai tentera berpangkat Major iaitu Major Razak telah menyerlahkan lagi bakat beliau di dunia seni suara. Bakat beliau semakin dikenali apabila seringkali menjadi penyanyi jemputan untuk majlis-majlis amal dunia ketenteraan. Dan nama Fatimah Razak itu diambil sebagai nama glamour bagi memberi penghormatan kepada suaminya yang sporting dan sentiasa menjadi pendokongnya untuk bergiat di arena suara pada ketika itu.


Hidup berkeluarga dengan seorang anggota tentera menjadikan beliau seringkali berpindah randah mengikut suami. Bertemu jodoh di Kuching tetapi bakatnya banyak diketengahkan sewaktu beliau di Labuan, Sabah pada masa itu. Ketika menjadi penyanyi jemputan di satu majlis di sana beliau didekati oleh seorang komposer lagu jazz yang tersohor iaitu Alfonso Soliano. Alfonso Solianolah yang mengetengahkan beliau untuk lebih dikenali di peringkat dunia seni tanahair pada masa itu dengan membawa beliau menyanyi di dalam persembahannya di seluruh negara.


Bukan senang sebenarnya untuk menjadi seorang penyanyi piring hitam suatu waktu dahulu lebih-lebih lagi sebagai seorang anak Sarawak di perantauan. Bakat sahaja tidak mencukupi namun mungkin sudah takdirnya untuk menjadi penyanyi kerana tidak pernah beliau mengimpikan akan diketemukan dengan seorang lagi komposer yang terlalu gah namanya iaitu Komposer Ahmad Nawab. Inilah komposer yang telah menaikkan namanya dibawah produk Life Record. Lagu bertajuk “Aries” yang merupakan lagu pertamanya tidak disangka menjadi hit seMalaysia. Dan yang lebih membanggakan 7 lagu di dalam satu piring hitam pertamanya boleh menjadi popular kesemuanya. Itulah penangan suara merdu anak Sarawak yang bernama Fatimah Razak ini.


Menceritakan kenangan masuk studio katanya bukanlah semudah sekarang yang mana penyanyi baru mempunyai beberapa pilihan untuk merakam lagu. Dahulu segalanya direkod di dalam keadaan “live” malah ada ketika cuma diberikan tempoh beberapa jam untuk berlatih. Namun itu bukan halangan jika sudah minat katanya. Lagu hit “Ke Mana Di Mana” misalnya adalah antara lagu yang direkod hanya di dalam beberapa jam sahaja selepas menerima lirik lagu. Itulah istimewanya penyanyi dulu-dulu yang terkenal dengan keazaman mereka yang kuat.


Setiap penyanyi ada pasang surutnya dan begitulah juga Fatimah Razak yang mana sekitar tahun 1973 dikenakan “banned” dari tampil di sebarang persembahan televisyen Malaysia. Pada ketika alasan daripada pihak penyiaran adalah kerana imejnya yang terlalu seksi. Namun menurut beliau pengharaman itu langsung tidak mencarikkan rezekinya kerana jadual persembahan beliau di dunia korporat mahupun pesta-pesta tetap penuh dan adakalanya di dalam sebulan beliau hanya mempunyai 2 ke 3 hari untuk bersama keluarga sahaja.


Sebagai seorang penyanyi terbilang pada masa itu juga memberinya peluang untuk bersua muka dengan ramai pemimpin besar dunia. Beliau pernah menyanyi di istana Presiden Ferdinand Marcus malah sehingga ke istana Sultan Hasanal Bolkiah di Brunei. Seantero Malaysia sudah dijejakinya malah juga seluruh Asia Tenggara turut sudah dilawatinya. Beliau sendiri tidak menyangka mempunyai peminat yang ramai dari pelbagai negara.


Zaman kegemilangan sudahpun berlalu namun tidak bermakna Fatimah Razak sudah bersara dari dunia seni suara. Sejajar dengan usianya beliau lebih memilih untuk menerima tawaran persembahan. Banyak waktunya dihabiskan dengan menyumbang suara di majlis-majlis amal kerana disitulah hatinya sekarang. Dunia glamour bukanlah akan menjadi milik kekal seorang selebriti.


Setelah perkahwinan pertamanya terputus di tengah jalan untuk beberapa waktu beliau menyendiri membesarkan anak-anaknya sehingga bertemu jodohnya dengan seorang pemuda di Semenanjung Malaysia. Sehingga sekarang jodoh mereka masih bertaut dan mereka berdua bersama-sama melayari bahtera perkahwinan dengan mendiami kawasan perumahan di tepi pantai iaitu di Bagan Lalang, Selangor Darul Ehsan. Menurut beliau kawasan tepi pantai menjadi pilihan untuk menghabiskan hari-hari tua kerana ianya satu tempat yang mendamaikan jauh dari hiruk pikuk kota yang membingitkan.


Inilah ceritanya seorang anak Sarawak yang gah namanya sebagai seorang penyanyi terbilang sekitar era 1970an. Beliau tetap jelita walau sudah diusia emasnya dan masih lagi menjaga pemakanannya untuk kekal sihat sentiasa.


Puan Hajjah Fatimah Razak, penyanyi Idola Malaysia 1970an.



Nota: Terima kasih kepada Datin Hajjah Susan Zakaria sekeluarga yang membantu Borneo Oracle menjejak cerita anak Sarawak ini.

bottom of page