BAKUL TAMBOK
BAKUL TAMBOK
- Seni kraftangan anyaman bakul etnik Bidayuh
DENGAN kekayaan sumber hutannya menjadikan kraftangan hasil daripada kreativiti masyarakatnya seringkali mendapat tempat di pasaran tempatan mahupun luar Negara. Hasil-hasil hutan seperti buluh, rotan atau damar, daun nipah serta banyak lagi adalah antara asas kepada kraftangan-kraftangan yang menjadi sebahagian daripada alat untuk menjalani penghidupan bagi penduduknya.
Dan apabila kita berbicara mengenai anyaman bakul pula, Sarawak juga tidak pernah kalah dengan seni anyaman bakulnya yang unik. Malah hampir kesemua etnik-etnik yang mendiami Sarawak mempunyai ‘trademark’ seni anyaman bakulnya tersendiri. Etnik Kayan terkenal dengan anyaman bakulnya yang digelar “Bakul Ingan”, Melanau dengan “Bakul Rejang” dan begitulah juga dengan satu lagi etnik yang merupakan ke-2 terbesar iaitu Etnik Bidayuh pula gah namanya dengan seni anyaman bakul yang dipanggil “Bakul Tambok”.
Sebenarnya untuk konteks seni anyaman bakul di kalangan kaum Bidayuh ada pelbagai iaitu berdasarkan kepada kegunaannya sehingga kepada saiz-saiznya. Dan bakul tambok pula adalah yang paling popular digunakan. Sesuatu yang harus kita ketahui antara kelainan seni kraftangan kaum Bidayuh adalah proses menganyam bakul mereka dari rotan yang disusun menegak dan melintang. Ianya langsung tidak sama dengan mana-mana etnik lain di Sarawak.
Selain daripada itu, cara penggunaan bakul tambok juga berbeza dengan etnik yang lain iaitu Kaum Bidayuh kebiasaannya menggunakan bakul tambok ini sebagai media untuk mengangkut perolehan dari hutan. Penggunaannya pula adalah dengan mengangkatnya di bahu dan kemudian tali lebar pula disangkutkan pada dahi si pengangkat.
Suatu ketika dahulu iaitu ketika tradisi kayau masih lagi dilestarikan, kaum Bidayuh turut mempunyai satu bakul yang dikhaskan untuk tujuan membawa kepala-kepala musuh mereka. Ianya dinamakan “Chantong”. Bakul “Chantong” ini agak istimewa kerana ianya dianyam dengan begitu halus dan ditambah dengan kulit binatang untuk dijadikan penutup. Ianya diperbuat sedemikian bagi memastikan roh-roh yang empunya kepala tidak menganggu sepanjang proses membawa kepala-kepala tersebut kembali ke rumah panjang mereka.
Untuk bakul tambok jika dahulunya dijadikan antara perkakas untuk penghidupan seharian namun sekarang sesuai dengan peredaran zaman moden, seni anyaman bakul tambok telah menjangkaui batas waktu. Ianya sudah dikomersialkan malah cara anyaman juga lebih halus daripada dahulu kerana pasarannya yang luas samada sebagai salah satu koleksi peribadi bagi peminatnya ataupun sudah dijadikan antara barangan dekorasi unik untuk rumah moden, pejabat mahupun hotel 5 bintang di seluruh dunia.
Tidak kenal maka tidak cinta.
Rujukan:
1. Bakul Dan Anyaman – Muzium Sarawak
http://madtech.com.my/demo/museum/index.php/bm/koleksi/bakul-dan-anyaman/
2. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
http://www.kraftangan.gov.my
3. My Metro 15 November 2014 - Bakul tambok hiasan kediaman, pejabat