PAKATAN MELAYU
PAKATAN MELAYU
MENGUAK pintu sejarah sejak di kurun ke-15 masihi lagi kebanyakan wilayah-wilayah Sarawak yang kita kenali sekarang merupakan tanah kuripan kepada pembesar-pembesar atau kaum keluarga Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Mereka dilantik oleh pemerintah Brunei untuk memajukan sendiri wilayah tersebut mengikut acuan mereka dan Sultan Brunei akan mendapat sebahagian daripada penghasilan yang dijanakan dari wilayah tersebut. Begitulah bentuk acuannya sistem pemerintahan tanah kuripan Sarawak suatu waktu dahulu sebelum Brooke mula menebarkan kekuasaannya menjadi apa yang dikenali sebagai Sarawak Kingdom.
Dan apabila berbicara mengenai Pakatan Melayu pula adalah satu siri penentangan yang diperkasakan oleh kaum Melayu samada di kalangan Melayu Datu-datu (Melayu Perabangan) dan Melayu Hadrami (Melayu Arab) yang juga antara mereka yang gah namanya sebagai pemimpin masyarakat yang berkuasa di wilayah-wilayah Sarawak samada atas lantikan Brunei mahupun Brooke sendiri. Penentangan Pakatan Melayu ini meliputi 2 era pemerintahan iaitu dari Sarawak sebagai tanah kuripan Brunei dan Sarawak Kingdom.
Era Pemerintahan Brunei
Bercambahnya gerakan penentangan di Sarawak di ketika menjadi tanah kuripan Brunei adalah apabila Pengiran Indera Mahkota dilantik oleh Sultan Umar Ali Saifudin II sebagai gabenor di Sarawak. Sarawak yang dirujuk pada ketika itu adalah apa yang kita kenali sebagai Kuching sekarang. Bergolaknya pemerintahan Sarawak pada ketika adalah kerana cara Pengiran Indera Mahkota mentadbir Sarawak.
Oleh kerana sumber utama Sarawak pada ketika itu kaya dengan emas dan lombong antimoni sekitar Bau maka disinilah bermulanya segala gerakan penentangan. Dikatakan Pengiran Indera Mahkota bersama-sama kuncu-kuncunya tidak menghormati hak kepada rakyat Sarawak sehingga sesukahati mengamalkan sistem perhambaan. Malah beliau juga dikatakan membeli hasil sarang burung daripada orang-orang tempatan dengan harga yang paling rendah telah menyebabkan ketidakpuasan hati sesetengah pihak.
Disinilah bermulanya gerakan penentangan dari Datu Patinggi Abang Ali atau Datu Patinggi Ali yang juga sebelum kedatangan Pengiran Indera Mahkota adalah antara pemimpin yang diberikan kuasa untuk menjalankan aktiviti perlombongan emas dan antimony di kawasan itu. Namun perlantikan Pengiran Indera Mahkota menjadi duri dalam daging sehingga membenarkan beliau membawa segala penyokongnya yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum Sarawak menentang pemerintahan Indera Mahkota.
Keributan inilah yang menjadi titik bermulanya campurtangan James Brooke atas jemputan Pengiran Bendahara Muda Hashim yang diutuskan oleh Sultan Brunei untuk menegur sistem pemerintahan Gabenor Sarawak. Namun segalanya bagai tidak lut oleh Pengiran Indera Mahkota sehinggalah pada tahun 1840, Brooke dan Datu Patinggi Ali bersatu memerangi beliau yang mana peperangan itu dikenali sebagai Perang Siniawan 1840. Kekalahan Pengiran Indera Mahkota menjadikan Brooke akhirnya dilantik menjadi Gabenor Sarawak yang kemudiannya menjadi Rajah Putih yang pertama di Sarawak pada 1 Ogos 1842.
Bagi menjamin kesetiaan kepada pemerintahannya yang baru di Sarawak, Rajah Brooke telah melantik beberapa pemimpin di kalangan Melayu Datu-datu untuk membantu beliau mengemudi Sarawak. Antaranya adalah Datu Patinggi Abang Ali, Datu Temenggung Abang Mersal, Datu Bandar Kanca, Abang Muhammad Lana dan Pengiran Matusin. Pada ketika itulah juga sistem pemerintahan Brooke lebih bercorak kebaratan yang juga menyaksikan ramai di kalangan Melayu Perabangan Sarawak dilantik sebagai antara penjawat awam kelas 2 di Sarawak Kingdom.
Era Pemerintahan Brooke
Kekalahan Pengiran Indera Mahkota telah memaksa beliau untuk menyisihkan dirinya sehingga ke Mukah yang mana ianya pada ketika itu dibawah kelolaan seorang lagi dari golongan Melayu Hadrami iaitu Syarif Sahab dan adiknya Syarif Mullah. Kedua-dua ini merupakan individu yang berkuasa keatas wilayah Saribas dam Skrang. Kekuatan mereka juga turut disokong oleh masyarakat Iban di wilayah tersebut. Oleh kerana mereka merupakan pembesar yang dilantik oleh Brunei maka adalah tidak menghairankan sekiranya mereka lebih memihak kepada Pengiran Indera Mahkota yang disisihkan itu.
Sekitar tahun 1842, Sharif Sahab dikatakan cuba mengatur satu siri serangan ke atas pemerintahan Brooke di Kuching. Namun akibat adanya komplot dikalangan pengikut Sharif Sahab menjadikan rahsia serangan ini berjaya dihidu oleh Brooke sehingga membenarkan Brooke sudahpun bersedia dengan bala tenteranya di tebingan Sungai Sarawak pada masa itu. Akhirnya siri serangan itu telah dibatalkan oleh Sharif Sahab yang menyaksikan Brooke pula tidak mahu berpeluk tubuh dan memastikan penentang-penentangnya nyah daripada Sarawak pada masa itu.
Peristiwa ini menjadi duri dalam daging bagi James Brooke kerana tidak mahu adanya lagi pengaruh Pengiran Indera Mahkota pada masa itu. Maka bersama-sama dengan Datu Patinggi Abang Ali serta bala tentera Sarawak Kingdom terjadilah Perang Patusan pada tahun 1844. Ketika di Patusan inilah, dikatakan perahu perang bangkong, iaitu perahu perang Iban telah berjaya menghampiri kapal Brooke sehingga terbunuhnya Lieutenant Wade, Mr Steward berserta Datu Patinggi Ali ditangan pahlawan Iban di pihak Sharif Sahap dan Sharif Mullah.
Tewasnya kumpulan Pakatan Melayu dibawah kepimpinan Sharif Sahap dan Sharif Mullah menyebabkan kedua-duanya melarikan diri sehingga ke Kapuas. Demi mengejar kedua-dua individu ini dikatakan Brooke telah melampau garis sempadan yang diperintah oleh Koloni Belanda pada masa itu. Sekali lagi Sharif Sahap dan Sharif Mullah berundur ke Pontianak dan meninggal dunia di sana. Sharif Mullah pula sempat kembali ke Sarawak dan akhirnya diberikan pengampunan oleh Brooke dan diperintah hanya mendiami Skrang menjadi orang biasa.
Sekitar tahun 1845 pula menyaksikan Brooke menghukum sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan di dalam gerakan Pakatan Melayu dibawah Sharif Sahap dan Sharif Mullah. Pada masa inilah Sharif Jaafar seorang daripada pembesar di Lingga dilucutkan jawatannya dan dibuang negeri ke wilayah Sadong. Pengiran Indera Mahkota pula atas pengaruh kesultanan Brunei telah dihantar pulang ke Negara asalnya iaitu Brunei Darussalam.
Sekitar tahun 1854 muncul pula penentangan pakatan Melayu yang dipimpin oleh seorang Melayu Hadrami tetapi mempunyai hubungan kekeluargaan yang cukup erat dengan Melayu Perabangan serta masyarakat Melanau di Mukah dan Igan. Beliau adalah Syarif Massahur yang juga seorang pemerintah bagi wilayah Sarikei yang dilantik oleh Brunei setelah pemergian Datu Patinggi Abang Abdul Rahman sejak di tahun 1849.
Penentangan berlaku apabila wilayah Rejang diserahkan menjadi sebahagian daripada wilayah Sarawak Kingdom oleh Sultan Brunei pada masa itu. Ditambahlagi pada tahun 1854, seorang pembesar di kalangan Melayu Perabangan iaitu Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur telah dipecat dari jawatan sebagai seorang pembesar utama di dalam pentadbiran Sarawak Kingdom kerana dikatakan mengenakan cukai yang tinggi. Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur mempunyai hubungan kekeluargaan dengan beliau dan inilah antara penyebab penentangannya disamping hilangnya kekuasaan beliau di wilayah yang dipimpinnya iaitu Sarikei.
Sharif Massahur dan Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur bergabung bersama-sama dengan masyarakat Dayak yang menyokong mereka. Sekitar tahun 1855 berlaku satu pembunuhan ke atas Pengiran Arshad yang juga mertua kepada Syarif Massahur sendiri yang menyaksikan Pengiran Matusin penyokong setia Brooke membuat onar. Ianya menyebabkan Sharif Masahur menyerang Mukah dengan sokongan Iban Kanowit dan Sungai Rejang. Namun perang Mukah berpihak kepada Brooke dan akhirnya menyebabkan Sharif Massahur pula dilucutkan jawatan sebagai Gabenor di Sarikei.
Kemudian peristiwa pembunuhan 2 penjawat Sarawak Kingdom iaitu Fox dan Steele di Fort Kanowit oleh orang Iban iaitu Sawing dan Sakalai turut melibatkan Sharif Masahur. Ini kerana Brooke percaya yang menjadi perancang kepada komplot anti-barat di Sarawak itu adalah hasil hasutan daripada beliau ditambahlagi di bahagian Banjarmasin sudahpun berlaku pembunuhan seperti itu dilakukan.
Tahun 1860 pula, pakatan Melayu semakin memuncak dengan penglibatan secara terang-terangan dilakukan oleh mereka. Kali ini turut dianggotai oleh Pengiran Temenggung Hashim Jalil dan dia bersama Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur diarahkan ke seluruh wilayah di Borneo untuk mendapat sokongan. Mereka mengembara sehingga ke Pontianak dan seluruh Kalimantan dengan berjaya mendapat sokongan daripada kesultanan Melayu di Kalimantan yang mana antaranya Kesultanan Sambas yang berjanji memberikan bekalan merian dan peluru. Malah di sesetengah penceritaan Sharif Osman dari Kota Marudu juga antara yang tampil menghulurkan bantuan pada masa itu.
Namun sayangnya rancangan serangan ke atas pemerintahan Brooke di Kuching terbongkar menyaksikan mereka diperangi dengan bantuan Koloni Belanda. Pengiran Temenggung Hashim Jalil dan Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur ditangkap dan dipenjarakan di Betawi (Jakarta). Menurut pensejarahan pihak barat, beliau meninggal dunia sewaktu di penjara. Sementara Syarif Massahur diperangi pada sekitar Februari 1860 di Sadong. Kekalahan di Sadong menyebabkan Syarif Masahur melarikan diri ke Sarikei dan seterusnya ke Igan. Kemudian beliau memohon perlindungan daripada iparnya iaitu Pengiran Nipa di Mukah.
Sesiapa sahaja yang melindungi dan bersekongkol dengan Sharif Masahur akan diperangi oleh Brooke dan ini termasuklah Pengiran Nipa yang sememangnya terkenal dengan kebenciannya terhadap pemerintahan Brooke. Namun sewaktu memerangi Pengiran Nipa juga pada tahun 1860 itu, Brooke kalah kerana jitunya kesatuan masyarakat Melanau dan dayak pada masa itu.
Disinilah taktik Brooke memaksa Sultan Brunei untuk mengusir Syarif Massahur dan akhirnya tekanan demi tekanan menyebabkan Sultan Mukmin sendiri memerintah Syarif Massahur keluar dari Mukah. Akhirnya Syarif Massahur akur atas titah Sultan Brunei dan menyeberangi Laut Cina Selatan untuk ke Singapura dan seterusnya ke bumi Selangor iaitu Kelang yang mana menyaksikan beliau memainkan peranannya sendiri di dalam perang-perang di bumi Selangor dibawah Kerajaan Kesultanan Selangor dan turut dikatakan Kerajaan Kesultanan Pahang.
Pengiran Nipa pula dilucutkan jawatannya dan dilantik Pengiran Matusin sebagai wakil Brooke di Mukah dan pada masa itulah juga Brooke berjaya melebarkan empayar Sarawak Kingdom ke atas Mukah, Rejang, Oya, Tatau dan Lembah Sungai Bintulu dengan pembayaran tahunan sebanyak $4,500.
Era Koloni British Borneo
Sejarah penentangan Pakatan Melayu juga turut ada di ketika pemerintahan Koloni British dengan apa yang digelar Gerakan Anti Cessionist 1946. Ianya juga turut diterajui oleh Melayu Datu-datu iaitu Datu Patinggi Abang Haji Abdillah dan Datu Patinggi Haji Mohammad Kassim dengan disertai oleh 338 orang lagi penjawat awam yang meletak jawatan kerana tidak mahu Sarawak diserahkan sebagai wilayah jajahan Koloni British.
Kemuncak kepada pakatan Melayu ini juga menyaksikan seorang anak Melayu bersama-sama dengan 12 lagi rakannya yang dikenali sebagai Rukun 13 membuat komplot pembunuhan Gabenor British Sir Duncan Stewart di Sibu. Rosli Dhoby dan 3 lagi rakannya telah ditangkap dan akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Penjara Kuching pada tanggal 2 Mac 1950.
Itulah antara peristiwa penentangan oleh Pakatan Melayu yang diterajui oleh masyarakat Melayu Datu-datu atau Melayu Perabangan dan Melayu Hadrami di Sarawak yang menyaksikan mereka bangun memerangi kekuasaan Brunei dan Brooke di Sarawak. Penentangan mereka menjangkaui batas waktu yang mana masyarakat Dayak juga turut serta menganggotai pakatan mereka.
Rujukan:
1. Anti Penyerahan Sarawak Ke Atas British
http://www.jasa.gov.my/bm/gallery/lang-bm-arkib-lang-lang-en-archive-lang/2-uncategorised/102-
2. Kronologi Penentangan Di Sarawak (1840-1930) – Borneo Oracle
3. Syarif Massahur – Borneo Oracle
4. Perang Patusan 1844 – Borneo Oracle
5. Perang Siniawan 1840 – Borneo Oracle
6. Perang Saudara Mukah – Borneo Oracle