CERITA DATU MERPATI
SIRI 1: MENJEJAK WARISAN MELAYU PERABANGAN DI TANAH MELAYU
CERITA DATU MERPATI
MELAYU Perabangan atau Melayu Datu-datu cukup sinonim di dalam sistem pemerintahan Sarawak malah ianya mencakupi jauh sebelum Sarawak diperintah oleh Brunei, Brooke, British dan Sarawak, Malaysia. Kemunculan individu paling misteri yang menjadi asas rujukan di dalam memperkatakan Melayu Perabangan ini adalah Datu Merpati atau Datu Merpatih. Dan satu lagi nama adalah Merpati Jepang pula dikatakan leluhur kepada siapa sahaja yang mewarisi marga nama keluarga “Abang dan Dayang” di Sarawak sekarang.
Dalam pada itu ramai juga yang keliru mengenai 2 individu ini di dalam rujukan sejarah. Yang pasti kedua-duanya adalah individu yang berbeza tetapi dari satu keturunan yang sama iaitu Datu Merpati adalah ayahanda kepada Merpati Jepang. Jadi diharap janganlah ada kesilapan lagi selepas ini.
Menyingkap ceritanya Datu Merpati diperkira keberadaannya di Sarawak wujud sekitar kurun ke-14 Masihi iaitu selari dengan berdirinya Kerajaan Brunei dibawah Awang Alak Betatar yang ketika memeluk Islam menggunakan gelaran Sultan Muhammad. Ada yang berkata bahawa Datu Merpati itu hanya satu cerita legenda juga merupakan satu yang boleh dinafikan kerana mana mungkin kita menidakkan berdirinya kerajaan-kerajaan melayu kuno di Sarawak suatu waktu dahulu seperti Kerajaan Negeri Santubong yang menjadi asas kepada pemerintahan Datu Merpati di bumi Sarawak suatu ketika dahulu.
Teori Asal Muasal Datu Merpati
Para sejarahwan mempunyai pelbagai teori mengenai dimanakah asal usul sebenarnya Datu Merpati ini kerana sentiasa ada kekeliruan apabila nama “Datu” dipergunakan secara meluas di dalam nama keluarga mereka. Teori-teori itu adalah:
Pangeran dari Kerajaan Majapahit
Bangsawan dari Kerajaan Minangkabau, Sumatera
10 Datu’s dari Borneo
Teori 1 – Pangeran Dari Kerajaan Majapahit
Menurut teori 1 ini mengatakan bahawa Datu Merpati adalah seorang pangeran dari Kerajaan Majapahit yang telah diusir oleh nendanya sewaktu perebutan kuasa di sebuah pulau bernama Pulau Langka Putra. Namanya adalah Raden Menteri Adipati yang dilahirkan di Munggu Angus, Pulau Langka Putra. Merupakan putera kepada Raden Kayangan atau Putera Kayangan dengan ibunya seorang permaisuri bernama Dandi Rancana. Nendanya iaitu Betara Andera Kala adalah antara individu yang paling berkuasa di Pulau Langka Putra pada ketika itu.
Raden Menteri Adipati merupakan putera sulung dengan kedua-dua adindanya bernama Raden Johari dan Raden Bungsu. Setelah diusir dari Pulau Langka Putra, ketiga-tiga mereka membuat pelayaran sehinggalah terdampar di Pulau Lima di Kuala Johor. Maka disinilah dikatakan mereka telah diselamatkan oleh Raja Jarom atau turut dikenali sebagai Sultan Mahkota Kerajaan Johor Lama.
Atas kerana baik budi pekertinya maka Raja Jarom berkenan untuk menyatukan Raden Menteri Adipati dengan puterinya yang bernama Datu Permaisuri Kemala. Setelah melangsungkan perkahwinan itu mereka sekali lagi mengembara dengan membuat pelayaran sehingga ke Sukadana dan Sambas. Demi mempereratkan hubungan silaturrahim itulah kedua-dua adindanya iaitu Raden Johari berkahwin puteri Sultan Mutabar dari Kerajaan Sukadana iaitu yang bernama Puteri Syarifah Dewi. Manakala untuk Raden Bungsu pula berkahwin dengan puteri Kerajaan Sambas yang bernama Puteri Norola.
Hanya selepas berkelana daripada Sukadana dan Sambas inilah Raden Menteri Adipati membawa isterinya iaitu Datu Permaisuri Kemala ke Sarawak dan terdampar di satu tempat bernama Pasir Kuning (Santubong sekarang). Atas pelawaan Datu Kuali iaitu pemerintah di Teluk Selabat dan Datu Kuli adiknya Datu Kuali yang tinggal di Teluk Simboh akhirnya Raden Menteri Adipati bersetuju untuk terus menetap di Teluk Selabat. Di Teluk Selabat, beliau membuka satu peradaban namun tidak lama selepas itu dikatakan bala bencana berlaku sehingga beliau membuka sebuah kerajaan kecil bernama Kerajaan Santubong. Datu Kuli pula telah berhijrah ke satu kawasan di hulu Sungai Sarawak dengan membuka satu penempatan yang bernama Landeh sekarang.
Ketika di Santubong inilah putera pertama dilahirkan iaitu yang diberi nama Merpati Jepang yang kemudiannya apabila dewasa dikahwinkan dengan puteri kepada Datu Kuali. Beliau juga mempunyai sepasang anak kembar yang diberi nama Dayang Seri Bulan dan Bulan Jati. Dayang Seri Bulan apabila sudah boleh berumahtangga telah dijodohkan dengan seorang kerabat diraja Selangor atas cadangan Awang Semaun yang juga merupakan adinda bongsu kepada Awang Alak Betatar iaitu pemerintah pertama Kerajaan Brunei.
Sementara Bulan Jati pula dikatakan meninggal dunia selepas dilahirkan namun menurut cerita legenda pula menyifatkan Bulan Jati dilahirkan sebagai seekor naga yang kemudiannya sering mengekori ke mana sahaja kembarnya Dayang Seri Bulan di dalam pelayarannya. Ada juga legenda yang turut menceritakan bahawa di ketika Datu Merpati diserang oleh lanun-lanun di ketika di dalam pelayaran ke Brunei, Bulan Jati iaitu anaknya seekor naga itulah yang banyak membantu keluarganya dengan menyerang lanun-lanun tersebut.
Teori 2 – Bangsawan dari Kerajaan Minangkabau, Sumatera
Untuk teori ke-2 pula ada yang berkata bahawa Datu Merpati itu adalah bangsawan atau golongan aristocrat di kalangan Kerajaan Minangkabau, Pulau Sumatera. Dan dakwaan ini diperkuatkan lagi dengan satu tradisi yang diamalkan oleh setiap masyarakat Minang iaitu mengembara ke negeri luar bagi mencari pengalaman dan kekayaan.
Adat merantau ini sememangnya sudah diketahui menjadi antara teras adat orang-orang minang sejak di kurun ke-14 sehingga ke 20 masihi. Kebiasaannya negeri-negeri di Timur yang menjadi pilihan kerana kesamaan bahasa dan adat. Tradisi merantau ini menyaksikan banyak pembentukan wilayah-wilayah baru di Timur Laut Champa dan ini termasuklah daerah di Visayan, Kota Bato dan Lanao di Filipina.
Disinilah berhimpunnya cerita Datu Godam atau Abang Gudam yang menjadi antara rujukan kepada Melayu Perabangan di bahagian Saribas kerana di wilayah Saribas sehingga kini mempunyai keturunan Perabangan yang tersendiri apabila berdirinya satu kerajaan lama yang dinamakan Kerajaan Saribas dibawah Datu Temenggung Abdul Kadir.
Datu Gudam terlalu istimewa di mata Sultan Brunei kerana baik budipekerti serta pandai berniaga. Kelahiran 2 puteranya hasil perkahwinan dengan Dayang Aishah, puteri rupawan Datu Temenggung Abdul Kadir iaitu Datu Mentri dan Datu Uban. Ketika ingin menziarahi ayahandanya yang sedang gering di Kerajaan Minangkabau, Sultan Brunei memohon untuk ditinggalkan salah seorang anaknya jadi Datu Mentri ditinggalkan dan dianugerahkan gelaran “awang damit-damit” di Brunei.
Manakala Datu Gudam yang singgah sebentar ke Saribas akhirnya bersua dengan ayah mentuanya yang sakit dan akhirnya meninggal dunia. Selepas itu Datu Gudam penyambung legasi pemerintahan Kerajaan Saribas yang mana anaknya iaitu Datu Uban telah menglegasikan marga nama “Abang dan Dayang” dari Saribas. Di dalam pucuk pimpinan di Saribas juga turut mempunyai beberapa gelaran jawatan seperti Datu Patinggi, Datu Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan Datu Hakim antara yang turut dilegasikan di dalam Kerajaan Santubong malah juga sehingga sekarang di dalam Kerajaan Negeri Sarawak sendiri.
Teori ke-3 – 10 Orang Datu’s dari Borneo
Bagi teori ke-3 pula lebih berkisar kepada sejarah pembukaan awal satu lokasi bernama Panay, Filipina. Menurut Professor Beyer di dalam buku yang diterbitkan pada tahun 1929 pula menyatakan bahawa Datu Merpati adalah Datu Puti. Iaitu seorang datu berasal dari Brunei yang kemudiannya berpindah ke Panay, Filipina menerusi Pulau Palawan.
Teori ini berdasarkan kepada satu buku karangan seorang warga Sepanyol yang bernama Antonio M. Molina yang bertajuk “The Philippines Through Centuries”. Di dalam buku ini mengisahkan bagaimana 10 orang Datu’s Melayu berhijrah sewaktu pemerintahan Sultan Markatnow. 10 Datu’s Melayu ini adalah Datu Puti (Datu Merpati), Datu Bankaya, Datu Dumangsol, Datu Paiburung, Datu Sumakwel, Datu Padulinog, Datu Lubay, Datu Dumangsil, Datu Dumalogdog dan Datu Balkasusa.
Diceritakan bahawa hanya Datu Puti yang berpindah kembali ke Borneo dan membuka penempatannya tersendiri sementara 9 lagi Datu-datu tinggal menetap di Filipina sehingga membawa kepada adanya legasi keturunan mereka di sana contohnya di perkampungan Sri Vijaya di Filipina.
Apa yang menjadi kejanggalan kepada teori ini adalah 10 orang Datu’s Melayu ini dikatakan berhijrah sekitar kurun ke-13 Masihi berdasarkan kepada penceritaan bangsa Sepanyol jadi teorinya tidak boleh disahihkan.
Berdasarkan kepada 3 teori ini kebanyakan sejarahwan lebih memilih untuk menggunapakai teori pertama iaitu Datu Merpati adalah berasal dari kalangan pangeran dari Kerajaan Majapahit. Ini kerana berdasarkan kepada trend pada masa itu yang mana ramai melarikan diri meninggalkan Singhasari menuju ke Barat Daya, Borneo lalu membentuk beberapa kerajaan ala-ala Jawa di sekitar Pulau Borneo.
Bukti rujukan seperti apa yang diperkatakan di dalam Kitab Negarakertagama oleh Prapanca juga menyebut bahawa Sawaku (Merujuk Sarawak Purba) adalah satu wilayah yang terletak di Tanjung Pura (Nama purba Pulau Borneo) membuktikan bahawa Datu Merpati itu adalah dari Jawa amat sukar ditolak sama sekali. Namun masih ada kelonggarannya jika merujuk kepada pemakaian nama Datu kerana nama itu hanya wujud di wilayah jajahan Srivijaya iaitu di Palembang.
Itulah ceritanya Datu Merpati iaitu satu individu yang penuh misteri yang merupakan ikon sejarah Sarawak purba. Di Sarawak beliau merupakan leluhur Melayu Perabangan atau Melayu Datu-datu yang menjadi antara pemain peranan penting di dalam sistem pemerintahan Sarawak dari 3 era sehingga kini. Datu Patinggi Abang Ali misalnya adalah antara nasab keturunan langsung Datu Merpati melalui anaknya Merpati Jepang. Penggunaan marga nama keluarga “Abang” bagi lelaki dan “Dayang” bagi wanita di kalangan Melayu Perabangan Sarawak masih lagi wujud sehingga kini juga merupakan antara bukti jitu kewujudannya.
Nota: Nantikan Siri 2 yang akan menyusul selepas ini.
Rujukan:
Hikayat Datuk Merpati – Haji Mohd Tahir (Ditulis 1949 Diterbitkan 1989)
Forklor dan Sejarah – Awang Asbol bin Haji Mail (Mac 2015)
Anak Cucu Cicit Merpati Jepang -Sejarah Sarawak Blogspot
Merungkai Kekeliruan Datu Merpati dan Merpati Jepang
Legenda dan Sejarah: Datuk Merpati - Peel It Free blog