top of page

PENGHIJRAHAN MELAYU PERABANGAN DAN KAMPUNG NOMBOR-NOMBOR


SIRI 2: JEJAK WARISAN MELAYU PERABANGAN DI TANAH MELAYU


PENGHIJRAHAN MELAYU PERABANGAN DAN KAMPUNG NOMBOR-NOMBOR


SEPERTI yang telah dijelaskan di dalam Siri 1 ada menyatakan bahawa susurgalor keturunan Melayu Perabangan yang sentiasa memenuhi carta sejarah Sarawak adalah dari keturunan anak lelaki Datu Merpati iaitu yang dikenali sebagai Merpati Jepang. Apabila dewasa telah dikahwinkan dengan puteri kepada Datu Kuali iaitu yang bernama Dayang Mordiah. Datu Kuali adalah penguasa kepada Teluk Selabat manakala adiknya iaitu Datu Kuli merupakan penguasa kepada Teluk Simboh. Kepada mereka berdua inilah Datu Merpati terhutang budi dan akhirnya menetap di Pasir Kuning lalu membuka satu Bandar pelabuhan air tawar di zaman kuno Sarawak yang dikenali sebagai Kerajaan Santubong.


Mengimbau sejarahnya Melayu Perabangan itu sendiri sebenarnya bermula di Santubong kerana Merpati Jepang adalah pemimpin yang mewarisi Pasir Kuning/Santubong selepas ayahanda dan ayahanda mertuanya tiada lagi. Oleh kerana pada waktu itu Kerajaan Brunei sudahpun cukup kuat maka adalah tidak mustahil sekiranya Santubong juga berada di dalam kekuasaan Brunei itu sendiri. Dan kerana itulah menurut riwayatnya disinilah bermulanya gelaran Melayu Datu-datu yang masih digunapakai sehingga sekarang seperti Datu Patinggi Seri Setia, Datu Shahbandar Indera Wangsa, Datu Amar Seri Diraja dan Datu Temenggong Laila Wangsa. Kesemua gelaran ini adalah gelaran yang diberikan oleh Sultan Brunei kepada penguasa di Sarawak suatu waktu dahulu.


Hasil perkahwinan Merpati Jepang dengan Dayang Mordiah telah mengurniakan 2 orang putera yang diberikan nama Pateh Mengada dan Pateh Sangguna. Menurut sejarahnya cicit kepada Merpati Jepang iaitu anak lelaki kepada Pateh Malang cucunya yang bernama Abang Kuntum merupakan Melayu Perabangan yang pertama mendapat gelaran Datu Patinggi Abang Kuntum iaitu diketika beliau dilantik oleh Kerajaan Brunei sebagai penguasa. Wilayah kekuasaannya pula merangkumi dari Tanjung Datu sehingga ke Batang Samarahan.


Melihat kepada wilayah kekuasaan itu juga cukup membuktikan bahawa Melayu Perabangan itu telah mula menebar sehingga ke Batang Samarahan. Dan di Samarahan ini terdapat satu penemuan artifak yang dinamakan Batu Datu Merpati di Kampung Temawang Taup. Batu yang seakan-akan Lingga dan Yoni iaitu alat persembahan masyarakat Hindu sebenarnya jika diteliti merupakan batu tapal batas sempadan. Mungkin ianya kurniaan daripada Brunei di dalam menyatakan wilayah kekuasaan Datu Patinggi sehingga ke tributary di Hulu Sadong.


Selepas itu jawatan Datu Patinggi diambilalih oleh anak Abang Kuntum yang bernama Abang Betong lalu menjadi Datu Patinggi Betong atau Patinggi Betong. Manakala ras dari anak kedua Merpati Jepang iaitu Pateh Sangguna dikatakan mewarisi gelaran Datu Temenggong misalnya Datu Temenggong Abang Alil yang kemudian diwarisi oleh Temenggung Abang Metang dan seterusnya Datu Temenggong Abang Bunian.



Penghijrahan Dari Santubong Ke Lidah Tanah


Penghijrahan secara skala besar keturunan Melayu Perabangan dari Santubong bermula di ketika Patinggi Betong yang mana anak lelakinya bernama Abang Kaim telah mula berhijrah dari Santubong ke Lidah Tanah. Lidah Tanah merupakan satu lokasi yang unik kerana berada di pertemuan Sungai Sarawak berpecah menjadi 2 cabang anak sungai iaitu Sungai Sarawak Kanan dan Sungai Sarawak Kiri. Dan bermula disinilah dikatakan bahawa keluarga Abang Kaim sudah menjadi antara pengusaha lombong-lombong emas dan antimony secara tradisional.


Keluarga mereka juga bersama-sama dengan penduduk tempatan berusahasama memajukan perlombongan tradisional dengan keizinan daripada Sultan Brunei. Sebagai galang gantinya juga Sultan Brunei mendapat habuan berupa sedikit perolehan daripada keuntungan perlombongan tersebut. Datu Patinggi Abang Ali iaitu anak kepada Abang Amir merupakan antara legasi Melayu Perabangan yang mempunyai kuasa untuk perlombongan di kawasan Lidah Tanah.


Namun setelah Sultan Brunei melantik Pengiran Indera Mahkota kekuasaannya berkurangan malah Pengiran Indera Mahkota langsung tidak menghormati beliau sebagai orang yang terdahulu menguruskan perlombongan dan antimony di kawasan itu. Ditambahlagi Pengiran Indera Mahkota terlalu angkuh serta kejam dalam pemerintahan sehingga memaksa Datu Patinggi Ali bersama-sama penduduk tempatan bangun memberontak. Akhirnya beliau bergabung dengan James Brooke memerangi Pengiran Indera Mahkota sehinggalah James Brooke akhirnya menjadi Rajah Sarawak pada tahun 1842.


Datu Patinggi Ali ketika di Perang Patusan 1844 merupakan perang yang terakhir beliau sertai kerana ketika inilah beliau terkorban iaitu demi untuk memastikan tiada lagi pengaruh Brunei di Sarawak pada masa itu.



Penghijrahan Dari Lidah Tanah Ke Kuching


Walaupun ada yang berpendapat penghijrahan Melayu Perabangan ke Kuching berlaku setelah Datu Patinggi Ali meninggal dunia namun jika dilihat dari konteks ketika pemerintahan Pengiran Indera Mahkota lagi ianya telah berlaku. Ini kerana beliaulah yang telah menukar pusat pemerintahan dari Lidah Tanah ke Kuching. Dikatakan akibat adanya peluang untuk lebih survival maka ramai yang telah berpindah ke Kuching untuk berniaga dan sebagainya.


Dan di ketika Datu Patinggi Abang Ali memegang antara pucuk pimpinan utama di dalam pemerintahan James Brooke juga menyaksikan lebih ramai yang berpindah dan halatuju mereka adalah di satu kawasan di tebingan Sungai Sarawak. Mereka mula membuka penempatan-penempatan kaum Melayu yang mana menyaksikan ramai rakyat berketurunan Melayu yang lain juga turut serta. Dari sinilah hadirnya satu perkampungan yang sudah tiada lagi di dalam peta Kuching yang bernama Munggu Kubur dan Kampung Segoleng.


Kemudian dari perkampungan Munggu Kubur dan Kampung Segoleng ini ianya berkembang sesuai dengan penghijrahan kaum Melayu dari daerah yang lain seperti Kampung Bandarshah, Kampung Bintangor, Kampung Sungai Lajim, Kampung Muhibbah dan Kampung Patingan. Perkampungan ini masih wujud sehingga sekarang dan masih kekal sebagai antara perkampungan masyarakat Melayu Perabangan di Sarawak.


Ironinya di ketika pemerintahan Koloni British menurut sejarahnya telah ditukar kepada kampung nombor-nombor. Ini dikatakan amat susah untuk penjawat Eropah menuturkannya berdasarkan kepada bahasa Melayu pada ketika. Makanya sehingga ke hari ini perkampungan Melayu ini masih lagi disebut dengan Kampung No. 1 untuk kampung Segoleng, Kampung No. 2 untuk Kampung Bintangor dan Kampung Bandarshah, Kampung Muhibbah dibahagi 2 menjadi Kampung No. 3 dan Kampung No. 4, Kampung No. 5 untuk Kampung Sungai Lajim dan Kampung No. 6 untuk Kampung Patingan.



Melayu Perabangan Dan Pembinaan Masjid Pertama Kuching


Dan pada ketika mekarnya perkembangan perkampungan-perkampungan Melayu di tebing Sungai Sarawak inilah juga turut didirikan sebuah masjid yang pertama iaitu yang hanya berstrukturkan kayu belian iaitu yang dinamakan Masjid Bahagian sekarang. Pembiayaannya adalah sepenuhnya daripada keluarga Melayu Perabangan iaitu hasil daripada perniagaan mahupun jualan telur penyu atau ladang kelapa yang diusahakan oleh keluarga Melayu Perabangan yang masih lagi mendiami Santubong dan Tanjung Datu pada masa itu.


Sekitar tahun 1852 bagi menampung jumlah jemaah di masjid yang semakin ramai, atas usaha dari anak lelaki Datu Patinggi Ali iaitu Datu Bandar Abang Mohammad Lana telah berjaya membuat kutipan yang cukup besar untuk membina masjid yang baharu. Di atas satu bukit itulah ianya dibina dan imam pertamanya adalah Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur. Beliau merupakan menantu kepada Datu Patinggi Ali apabila berkahwin dengan puterinya yang bernama Dayang Inda.


Sesuatu yang ramai harus tahun Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur adalah seorang yang tidak menyukai pemerintahan orang putih di Sarawak. Jadi beliau dikatakan mempunyai komplot yang tersendiri untuk menentang kekuasaan Brooke di Sarawak. Namun komplot beliau dan rakan subahatnya dapat dikesan oleh Brooke dan tuduhan Brooke pada masa itu adalah Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur mengenakan cukai yang tinggi ke atas rakyat di Kuching adalah tidak berasas sama sekali bagi melucutkan jawatannya.


Setelah itu tampuk kepimpinan masjid bertukar tangan kepada Abang Haji Bolhassan dari tahun 1854-1865 dan seterusnya Tuan Haji Abdul Karim sehingga tahun 1877. Kemudian dipegang oleh anak bongsu Datu Patinggi Abang Ali yang bernama Abang Mohammad Taim atau Imam Haji Mataim nama gelarannya di kalangan penduduk Islam Kuching pada masa itu. Beliau meninggal dunia sekitar tahun 1898 dan masjid semakin dilengkapkan dengan peralatan untuk jemaah menunaikan solat dengan lebih selesa.


Kebajikan masjid terus dijaga sehinggalah di ketika Datu Patinggi Abang Haji Abdillah memimpin yang mana pada masa itu imamnya adalah Datu Imam Abang Haji Morshidi menjadi imam besar masjid tersebut. Walaupun pada masa itu dibawah pemerintahan Sir Charles Vyner Brooke, masjid bahagian terus menjadi antara mercu tanda megahnya sinar islam di Sarawak amnya dan Kuching khususnya. Dan yang pasti ianya tetap menjadi sebahagian daripada perit lelah susurgalur Melayu Perabangan Sarawak pada ketika itu.


Keberadaan masjid itu juga telah membuatkan semakin ramai penduduk Melayu mula membuka perkampungan di sekitar Sungai Sarawak termasuklah perkampungan Melayu di seberang Sungai Sarawak seperti Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Surabaya, Kampung Sungai Bedil Besar, Kampung Sinjan serta banyak lagi. Perkampungan ini agak unik kerana nama-namanya merujuk kepada nama-nama daerah di luar Sarawak kerana dikatakan mereka yang berasal dari daerah itulah yang membuka penempatan tersebut menjadi perkampungan Melayu. Mereka datang ke Kuching atas kerana hubungan kekeluargaan atau bersama-sama mendapat kemakmuran ekonomi di bawah pemerintahan Brooke pada masa itu.


Selain itu, ada juga penghijrahan daripada kaum-kaum Dayak seperti kaum dayak dari Batang Lupar yang membuka perkampungannya tersendiri seperti di Siol Kandis dan kawasan sekitarnya bagi mencari peluang ekonomi yang lebih baik daripada mereka berasal.



Hakikatnya apabila kita menyelusuri sejarah penghijrahan Melayu Perabangan ini sendiri mempunyai signifikasinya di dalam kita menyatakan bahawa Kuching itu sememangnya sejak dari dahulu lagi sudah menjadi Bandar pelbagai kaum yang hidup harmoni walaupun berbeza agama mahupun budaya. Tidak menghairankan di alaf moden ini ianya sudah diiktiraf sebagai Bandaraya Perpaduan di peringkat dunia.



Nota: Nantikan Siri ke-3 selepas ini.


Rujukan:

  1. The White Rajah: A History of Sarawak from 1841 to 1946 – Steven Runciman

  2. The Descent of some Kuching Malays', Sarawak Museum

  3. Kronologi Penubuhan Masjid Negeri Sarawak – Lembaga Kebajikan Masjid Sarawak\

  4. Borneo Post 2/8/2015 Kuching Purr-fect as “City Of Unity” – Lim How Pim

  5. Berita Harian 11/1/2012 Nama Kampung Guna Nombor Di Kuching – Mohd. Roji Kawi

  6. Anak Cucu Cicit Merpati Jepang

  7. Datu Patinggi Abang Ali bin Abang Amir – Borneo Oracle

bottom of page