MELAYU NATUNA DAN MELAYU PERABANGAN SARAWAK
SIRI 5: JEJAK WARISAN MELAYU PERABANGAN SARAWAK DI TANAH MELAYU
MELAYU NATUNA DAN MELAYU PERABANGAN SARAWAK
RAMAI yang akan tertanya-tanya apakah perkaitan antara satu gugusan kepulauan yang dikenali sebagai Pulau Natuna dengan golongan Melayu Perabangan Sarawak kerana ianya tidak tercatat di dalam mana-mana lembaran sejarah yang kita ketahui selama ini. Hakikatnya hubungkait antara satu pulau yang paling dekat dengan pulau Borneo ini sudahpun lama ada malah ianya wujud sejak berdirinya satu kerajaan kuno di Santubong yang dinamakan Kerajaan Santubong lagi.
Malah kronologi hubungannya juga boleh dikesan sehingga kepada pembentukan beberapa kerajaan di Kalimantan seperti Kerajaan Sambas, Kerajaan Sintang serta banyak lagi. Jadi jangan pernah terkeliru kerana dari salsilah raja-raja di bahagian Kalimantan turut mempunyai marga nama keluarga “Abang” di dalam nama keluarga pemerintahnya.
Pulau Natuna
Terbentuk daripada 272 buah gugusan kepulauan, Pulau Natuna terletak di tengah-tengah Laut China Selatan. Lokasinya dari segi geografi adalah kira-kira 450 km di utara Singapura dan terletak di barat laut Pulau Borneo. Atau secara lebih tepat ianya terletak di antara Malaysia Barat (Sabah/Sarawak) dan Malaysia Timur. Gugusan pulau yang paling utara di dalam kepulauan Natuna ini adalah Pulau Laut.
Dan ianya berada di bahagian barat Dungun dan Pulau Tenggul wilayah Terengganu. Di antara gugusan kepulauan Natuna ini, pulau yang paling besar adalah Pulau Bunguran atau Pulau Serindit (sebelum ditukar nama). Pulau Serasan pula adalah pulau yang paling selatan dan paling dekat dengan wilayah Sarawak iaitu Tanjung Datu.
Dari segi geografi sudah menunjukkan kesamaan Pulau Natuna dengan wilayah-wilayah di Malaysia jadi sehingga sekarang perairan Pulau Natuna ini diekplorasi untuk penghasilan sumber buminya iaitu minyak dan gas utama untuk Republik Indonesia. Dan begitulah juga untuk Sabah/Sarawak/Trengganu yang juga pemain ekonomi sumber gas dan minyak utama untuk Malaysia.
Menginjak ceritanya gugusan kepulauan Natuna sebenarnya telah awal-awal diketahui apabila ianya merupakan satu laluan utama perdagangan antara wilayah Asia Timur dan Asia Barat. Dek kerana kepentingannya juga menyebabkan ianya pernah disebut di dalam satu manuskrip kuno pelayaran saudagar Arab yang mana Natuna dikenali dengan nama Jazirah Qumuran.
Suatu waktu dahulu di Pulau Natuna inilah banyak berlakunya perdagangan antara pelabuhan sehingga menyaksikan ianya antara kawasan bandar pelabuhan yang boleh menyediakan apa sahaja barangan samada tekstil, rempah ratus serta banyak lagi.
Apa yang lebih menarik mengenai Natuna adalah masyarakat Melayunya yang mengenal diri mereka sebagai Melayu Natuna. Dialek bahasa Melayu Natuna ini dikatakan lebih mirip kepada dialek Melayu Trengganu. Dan perlulah diketahui bahawa Melayu Natuna juga ada di Sarawak sejak dari dahulu lagi iaitu samada menetap di Tanjung Datu mahupun Santubong sehingga sekarang.
Mengungkap sejarahnya Melayu Natuna ini mempunyai hubungkaitnya dengan satu kewujudan kerajaan kuno yang pernah berdiri di Pulau Natuna. Kerajaan Natuna kuno diperkira wujud sekitar tahun 1590an iaitu dengan adanya penghijrahan kaum bangsawan Patani dan Johor ke kepulauan tersebut suatu waktu dahulu. Berlakunya pengaruh Kerajaan Patani di Kepulauan Natuna apabila seorang kerabat diraja Kerajaan Patani yang bernama Datuk Bendahara Lingkai Al-Fathani telah berkahwin dengan seorang puteri kepada pemerintah asal Natuna yang bernama Puteri Wan Seri Bulan.
Dikatakan beberapa orang keturunan hasil perkahwinan ini telah memegang tampuk pemerintahan di Natuna iaitu menjawat jawatan Datuk Kaya dari keturunan Orang Kaya Aling. Antara yang tersohor dari Orang Kaya Aling adalah dari generasi keempat iaitu Orang Kaya Janggut putera kepada Orang Kaya Muhammad.
Peristiwa bagaimana Wan Muhammad Al-Fathani, seorang kerabat dari Pattani yang akhirnya mengambilalih kuasa daripada mertuanya iaitu Orang Kaya Janggut lalu menggelar dirinya sebagai Orang Kaya Perdana Mahkota iaitu sekitar tahun 1848 telah memberi bantuan kepada sebuah kapal Inggeris yang karam di sekitar Pulau Selaut dibawah kendalian Kapten Wood banyak memainkan peranan ke atas keamanan dan kemakmuran Kerajaan Natuna.
Atas jasa itulah pemerintahannya sentiasa dijaga malah jasa beliau telah menyebabkan Liutenant Colonel Butterworth, seorang Penguasa Inggeris di Singapura dan Melaka pada waktu itu telah menghadiahkan beliau dengan sebuah meriam tembaga.
Melayu Natuna Dan Pembukaan Kampung Trengganu Di Santubong
Itu cerita zaman gah Melayu Natuna melalui Kerajaan Natunanya dan jika kita menyelidiki bagaimana adanya Melayu Natuna sebagai sebahagian daripada pembentuk komuniti Melayu Sarawak juga begitu menarik untuk kita ketahui. Melayu Natuna sudah banyak berasimilasi dengan Melayu Sarawak yang lain dan ini termasuklah golongan Melayu Perabangan yang menetap di Santubong mahupun di Pulau Natuna itu sendiri.
Malah sejarah hubungan ini boleh dikesan jauh sebelum Brooke ada di Sarawak iaitu sebelum Natuna dibawah pemerintahan Orang Kaya Perdana Mahkota lagi. Hubungan ini adalah dari segi ekonomi yang mana diketika itu Natuna merupakan antara pembekal kepada rempah ratus seperti cengkih, ikan segar serta tenunan kain-kain untuk masyarakat di Borneo. Dan kebiasaannya halatuju mereka adalah antara Tanjung Datu mahupun Santubong sebagai pintu masuk bagi perdagangan mereka.
Golongan saudagar Melayu Natuna yang berbahasa dialek Terengganu telah dahulu sampai di Sarawak dengan membawa barangan penghasilan mereka untuk diniagakan di seluruh Borneo. Dan terdapat satu cerita bagaimana kisah masyarakat Melayu Sarawak yang mendiami kawasan persisiran bernama Santubong telah menyelamatkan sebuah kapal besar sarat dengan barangan untuk diniagakan yang karam di perairan Santubong kerana ombak besar.
Terdampar di satu kawasan yang asing menyaksikan akhirnya mereka turut tinggal menetap di Santubong dan akhirnya berasimilasi dengan masyarakat tempatan Santubong. Pengasimilasian ini menyaksikan adanya perkahwinan campur antara mereka dengan penduduk tempatan termasuklah dari kalangan Melayu Perabangan atau Melayu Datu-datu di Santubong.
Pembukaan Kampung Trengganu yang masih wujud sehingga kini di kawasan Santubong adalah salah satu daripada buktinya sehingga dinamakan “Trengganu” kerana dialek mereka dan asal usul Melayu Natuna dahulu adalah ada relatifnya dengan kewujudan pemerintahan Melayu di Trengganu sejak lama dahulu.
Figura Melayu Perabangan Sarawak Dengan Melayu Natuna
Mungkin agak terbatas informasi jika ingin menggodek sejarah figura-figura Melayu Perabangan Sarawak yang mempunyai hubungan secara langsung dengan Melayu Natuna. Setakat ini melalui pensejarahan keluarga dinyatakan ada 2 figura Melayu Perabangan yang menceritakan secara jelas mengenai hubungan mereka iaitu Melayu Natuna di Pulau Serasan. Malah dikatakan hubungan kekeluargaan hasil pengasimilasian samada secara perkahwinan atau ekonomi ini tetap berlangsung sehingga kini.
Figura yang bernama Datu Abang Pata bin Datu Temenggung Abang Mersal misalnya dikatakan telah mengahwini seorang wanita Melayu dari Pulau Serasan yang bernama Dayang Masmutu atau Masmutu. Hasil perkahwinan ini melahirkan seorang anak lelaki bernama Abang Abdul Rahman bin Abang Pata. Dek kerana mahu isteri dan anaknya berada dekat dengannya maka dikatakan beliau sendiri telah membawa kaum keluarga sebelah isterinya untuk tinggal di Santubong.
Kemudian kita tidak boleh melupakan bagaimana adanya hubungan kekeluargaan atas sebab ekonomi juga menjadi pemangkin kepada hubungan Melayu Natuna dan Melayu Perabangan Sarawak. Cerita mengenai seorang ulama tersohor Melayu Perabangan Sarawak yang dilahirkan pada tahun 1864 iaitu yang bernama Syeikh Usman bin Abdul Wahhab bin Ahmad bin Abdullah bin Patinggi Amir bin Datu Akhbar bin Datu Kaim bin Petinggi Betung yang juga keturunan langsung kepada Merpati Jepang turut mewarnai perkaitan sejarahnya.
Selain daripada terkenal sebagai seorang ulama yang menyiarkan sinar Islam di Sarawak mahupun di Kepulauan Natuna itu sendiri, Syeikh Usman juga merupakan seorang saudagar. Beliau mempunyai kebunnya sendiri iaitu kebun kelapa yang membuat penghasilan kelapa kering atau kupra di Pulau Midai. Berusahama sama dengan Midai and Co. menjadikan Syeikh Usman antara saudagar yang gah namanya di Natuna itu sendiri. Pada masa itu kupra merupakan komoditi yang mahal dan antara sumber ekonomi penting bagi Pulau Natuna dan Sarawak.
Diceritakan bahawa Syeikh Usman ini pernah berkahwin sebanyak sembilan kali. Namun di ketika beliau meninggal dunia hanya dua sahaja isteri-isterinya yang bersama beliau. Salah seorang daripadanya dikatakan seorang wanita dari Pulau Natuna. Dari perkahwinan beliau itu melahirkan 14 orang cahayamata dan ada antaranya menetap di Sarawak mahupun di Pulau Natuna itu sendiri. Keturunan Melayu Perabangan daripada susurgalor ini dikatakan sehingga sekarang masih ada di Pulau Natuna sebagai bukti jelas hubungkait mereka.
Sebenarnya ada banyak lagi perkaitan tetapi atas ruang yang sekecil ini hanya ini yang mampu dizahirkan. Pernah ada seorang penulis mengatakan di dalam judul artikelnya iaitu Pulau Natuna:”Bergeografikan Malaysia Berkiblatkan Indonesia” menunjukkan betapa pulau ini terlalu dekat dengan Sarawak mahupun negeri di Pantai Timur Malaysia. Dahulu Natuna dan Sarawak misalnya bagai aur dengan tebing sehingga sejarahnya sudah lama terjalin sehingga membenarkan adanya hubungkait antara Melayu Natuna dan juga Melayu Perabangan Sarawak.
Namun akibat daripada kerakusan bangsa Eropah yang berlumba-lumba meluaskan empayar mereka di Nusantara menyebabkan Natuna dipisahkan apabila Perjanjian Inggeris-Belanda yang ditandatangani pada 17hb Mac 1824 telah menukar geo-politik pada masa itu. Antara intipati Perjanjian Inggeris Belanda 1824 ini menurut Artikel 10 Perjanjian berbunyi ‘Kota Melaka diserahkan kepada Raja Inggeris, manakala Raja Belanda dan rakyatnya tidak akan menubuhkan sebarang penempatan di Singapura dan Semenanjung Melaka (Semenanjung Melayu)’.
Artikel 9 Perjanjian 1824 mengiktiraf pengaruh Belanda di Pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura. Dengan termeterainya perjanjian ini, pihak British tidak akan membuka penempatan di pulau-pulau di selatan Singapura dan Belanda juga tidak akan membuka penempatan di Semenanjung Tanah Melayu.
Akibat daripada perjanjian ini juga menyebabkan Natuna akhirnya telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956. Kabupaten Natuna kemudiannya telah ditubuhkan di dalam Provinsi Kepulauan Riau berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999 yang telah dikuatkuasakan pada 12 Oktober 1999.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta
Rujukan:
1. New Sarawak Tribune 9/12/2013 - Bujang Valley and Santubong – Forgotten Link Between Sarawak and Kedah
2. Mstar 7/12/2013 - Kepulauan Natuna: 'Bergeografikan Malaysia' Berdaulatkan Indonesia
3. Utusan 30 Mac 2009 - Manuskrip Melayu Nusantara
4. From Lundu With Love – Borneo Oracle
5. Syeikh Uthman Al-Sarawaki bin Abdul Wahhab http://syeikhsarawak.blogspot.my/…/biodata-syeikh-usman-abd…