top of page

RAJUK HATINYA ABANG ABDUL GHAFUR


SIRI TERAKHIR: JEJAK WARISAN MELAYU PERABANGAN SARAWAK DI TANAH MELAYU

“RAJUK HATINYA ABANG ABDUL GHAFUR” - The Untold History

NOKTAH cerita perjalanan hidup seorang figura Melayu Perabangan Sarawak yang bernama Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur bin Abang Qahar ini terhenti pada tahun 1860. Figura ini merupakan Datu Imam Besar untuk Masjid Bahagian di Kuching yang mana masjid yang diasaskan oleh keluarga Melayu Perabangan sendiri iaitu Datu Patinggi Abang Ali. Godeklah di dalam mana-mana dokumen sejarah Sarawak akan menceritakan bahawa kemuncak kepada ceritanya apabila seorang imam telah dipecat pada tahun 1854 atas alasan mengenakan cukai yang tinggi? Satu alasan yang boleh menimbulkan 1001 persoalan di minda kita semua.


Kemudian jika kita menyelami sejarah lama Sarawak juga akan dinyatakan bahawa beliau turut dianggap “penderhaka” kerana bersekongkol dengan Sharif Masahur yang bercita-cita besar untuk menghapuskan pemerintahan Rajah Putih suatu waktu dahulu. Sekitar tahun 1860 di ketika berada di Pontianak, beliau bersama seorang pengikut setianya iaitu Pengiran Hashim Jalil telah ditangkap oleh Koloni Belanda atas permintaan Brooke. Pada masa itu dikatakan beliau bersama pengikutnya sedang di dalam perjalanan untuk memohon bantuan dari Sultan Sambas bagi melawan Brooke iaitu bantuan berupa meriam dan senjata.


Namun akibat daripada adanya komplot di dalam keluarga Melayu Perabangan Sarawak yang pro-Brooke pada masa itu juga menyaksikan satu rahsia besar telah sampai ke telinga Brooke. Dan dalang yang disebut-sebut menjadi pemecah rahsia besar ini pula dikatakan 2 figura iaitu ada yang mengatakan Pengiran Matusin dan tidak kurang juga yang menyebut Abang Pata. Alasannya adalah kerana kedua-dua figura ini sememangnya diketahui mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Brooke. Namun sehingga sekarang segala pertuduhan ini hanya tinggal pertuduhan sahaja kerana tiada pembuktian yang sahih.


Natijah atas penentangan Abang Abdul Ghafur apabila beliau dihukum buang negeri ke Batavia (Jakarta sekarang) pada tahun 1860 dan seterusnya dikatakan meninggal dunia di sana iaitu selepas beberapa tahun hidup di dalam buangan. TITIK.. tiada lagi yang kita ketahui untung nasibnya samada benar atau tidak dia sudah tiada dan namanya hanya mampu dicatatkan atas sebuah nama sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur di Stampin, Kuching bagi memperingati pensejarahannya sebagai salah satu ikon pejuang Sarawak. Itu sahaja tidak lebih tidak kurang.


Umpama kata bidalan lama bangkai, gajah mana mampu ditutup dengan nyiru kerana setiap satu kejahatan besar sudah pasti akan terbongkar jua dan begitulah ceritanya mengenai DP Abang Abdul Ghafur. Dan apa yang akan disajikan kali ini adalah satu pembuktian sejarah yang langsung TIDAK PERNAH diketahui oleh rakyat Malaysia amnya mahupun rakyat Sarawak khususnya. Satu kajian sejarah yang bukan hanya bersandarkan pautan sebaliknya adalah kerja lapangan sebenar dengan berbicara hati ke hati bersama waris-waris serta penduduk Kampung Limbongan, Melaka.


Akhirnya penghujung pencarian selama berbulan-bulan terhenti jua apabila menyaksikan sendiri makam seorang ikon pejuang Sarawak. Ia lantas membuktikan bahawa apa yang disogokkan serta terus ditanam di minda kita selama lebih seratus tahun itu adalah DONGENGAN BROOKE semata-mata.



Ceritanya Abang Abdul Ghafur bin Abang Qahar (Selepas 1860)


Menguak pintu sejarah selepas tahun 1860 menyaksikan Datu Imam Besar Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur sebenarnya berada nun jauh menyeberangi Laut China Selatan. Dan sudah tentu bukanlah Batavia sebaliknya di Melaka satu negeri yang gah dengan cerita keagungan Kerajaan Kesultanan Melaka dan pendekar 5 bersaudara serta keris si taming sari. Tapi disinilah terselit satu sejarah lama seorang anak Sarawak di satu perkampungan bernama Kampung Limbongan.


Melalui kajian oral samada dari keluarga mahupun orang-orang tua menyatakan bahawa pernah ada seorang anak Melayu dari Sarawak yang begitu baik budi pekertinya serta begitu arif ilmu agamanya pernah tinggal di Melaka. Pada ketika itu diceritakan beliau tidak tinggal di mana-mana rumah kediaman Melayu sekitarnya kerana beliau bermusafir sebagai seorang yang mengabadikan diri dengan agama sucinya, agama Islam.


Dari seorang golongan Melayu kelas atasan di Sarawak, Abang Abdul Ghafur tidur bangunnya hanya di sebuah surau kecil di Kampung Limbongan. Tiada sesuatupun yang berjaya mengaitkan dirinya berasal dari golongan berstatus tinggi kerana beliau tampil sebagai orang biasa-biasa dengan pakaian biasa-biasa serta serba serbi adalah hanya asas untuk meneruskan penghidupannya sahaja. Pengabadiannya hanya pada agamanya dengan membersihkan surau dan sekitarnya, menjadi bilal mahupun imam pada setiap solat disamping membaca al-quran mahupun menelaah al-kitab yang sedia ada.


Demi sesuap nasi juga menyaksikan beliau melakukan kerja-kerja kampung bagi mendapat upah selain daripada mengajar agama serta guru alquran kepada penduduk kawasan sekitar perkampungan. Dinyatakan juga pada masa itu beliau sudah agak berusia dan hidup sebatang kara. Tidak sombong malah peramah dan pergaulannya dengan penduduk kampung sangat baik. Begitulah hendaknya apabila membawa diri di negara orang.


Sudah menjadi lumrah dahulukala barangsiapa yang arif ilmu agama akan dipandang tinggi di dalam status quo masyarakat. Maka begitulah juga Abang Abdul Ghafur apabila ada satu keluarga Melayu di Kampung Limbongan yang begitu mengambil berat tentang dirinya. Dari keluarga inilah akhirnya beliau dijodohkan dengan anak gadis sunti mereka yang bernama Nyonya binti Kassim.


Dari hanya hidup menumpang di sebuah surau yang kecil apabila sudah berkahwin akhirnya beliau mendirikan sebuah rumah untuk keluarganya berteduh dari teriknya mentari dan basahnya hujan di Kampung Limbongan. Disinilah beliau telah berjaya memperkembangkan lagi susurgalor Melayu Perabangan Sarawak tanpa diketahui oleh mana-mana penduduk kampung. Ini kerana setiap kelahiran cahayamatanya kesemuanya dinamakan dengan hanya nama orang Melayu biasa-biasa tanpa beliau mahu mewariskan legasi marga nama keluarganya iaitu “Abang dan Dayang”.


Dek kerana itulah jika kita melihat salsilah keluarga Melayu Perabangan susurgalor Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur melalui perkahwinannya dengan Nyonya binti Kassim dari Melaka untuk generasi ke-2 sehingga ke-3 langsung tiada nama “abang” mahupun “dayang” digunapakai. Ini kerana beliau sendiri telah “MEMBUANG” marga nama keluarga dari pengetahuan semua orang. Malah dirinya juga turut mahu hanya dikenali sebagai Haji Ghafur di kalangan penduduk kampung. Beliau juga dinyatakan tidak pernah pulang ke Sarawak sejak mendiami Melaka.


Oleh kerana di ketika di Melaka, Abang Abdul Ghafur dikatakan sudah agak berusia jadi hanya beberapa tahun sahaja beliau mengabdikan diri sebagai antara tunjang mengajar agama Islam di Kampung Limbongan dan akhirnya beliau menyahut panggilan ilahi sekitar tahun 1870an. Tempat persemadian kekalnya sehingga sekarang utuh dijaga oleh waris-warisnya yang masih menghuni di kawasan sekitar tapak perkuburan yang dinamakan Tapak Perkuburan Islam Tok Gambon, Limbongan, Melaka.


Sekaligus ini juga membenarkan jejak warisan Melayu Perabangan Sarawak sudahpun menebar sehingga ke Kampung Limbongan, Melaka walaupun mereka di sini sudah “hilang” Abang dan Dayangnya serta amat kurang fasih berbahasa Melayu Sarawak. Mereka sudah lama wujud di bumi Melaka dengan mengasimilasikan diri di dalam penghidupan masyarakat di Melaka itu sendiri. Mereka sudahpun wujud di bumi Melaka apabila DP Abang Abdul Ghafur membawa diri lalu menjadi sebahagian komuniti di Melaka lebih kurang 150 tahun yang lalu.


Inilah kisah riwayat penghidupan sebenar seorang pejuang Sarawak yang langsung tidak diketahui oleh kita semua. Titik noktah ceritanya BUKAN SAMA SEKALI BERAKHIR PADA TAHUN 1860 seperti “sejarah dongengan” jajaan Brooke yang seolah-olah takut dengan bayangan sendiri. Rasa cuak itu timbul kerana tidak mahu ada lagi mana-mana orang Sarawak yang bangun menentang pemerintahannya di Sarawak. “DIMATIKAN” adalah satu jalan yang paling mudah agar tiada lagi yang mampu mempersoalkannya.



Dalam pada itu tercalit pertanyaan mengapa dan kenapa seorang anak Sarawak yang lahir di kalangan keluarga Melayu kelas atasan malah terkenal dengan signifikasi pemerintahan Melayu Datu-datu ini membuang segala perkaitan mengenai dirinya dengan Sarawak.


1.Adakah benar ia dilakukan demi keselamatan keluarga agar Brooke tidak akan menjejakinya sehingga ke Melaka?


2.ATAU adakah ianya dilakukan kerana beliau sudah menjadi seorang yang zuhud yang mana di dalam ajaran Islam setiap kita manusia adalah sama?


3.ATAU adakah kerana beliau kecewa dan hampa sehingga putus harapan dengan keluarga Melayu Perabangan sendiri yang terlalu “menyembah” Brooke pada masa itu sehingga sanggup mengkhianati keluarga sendiri?


Rajuk hatinya Abang Abdul Ghafur akan kekal sebagai satu persoalan di minda kerana jawapannya turut terkubur bersama-sama Almarhum yang sudah lama meninggalkan kita. Sejarahnya digelapkan hampir 150 tahun lamanya buat pengetahuan kita semua.



Ironinya melalui penceritaan orang tua-tua di Kampung Limbongan pernah ada Tuan Gabenor Sarawak yang pertama iaitu Tun Abang Haji Openg singgah ke masjid menunaikan solat di Kampung Limbongan suatu waktu dahulu. Dikatakan dengan menggunakan pembesar suara masjid, beliau menyatakan mencari keluarganya yang bernama “Abang Abdul Latif bin Abang Abdul Ghafur di Melaka”. Namun pada masa itu tiada sesiapa yang mampu memberi jawapan kerana marga nama keluarga Melayu Perabangan “Abang dan Dayang” cukup asing bagi masyarakat di Melaka.


Selepas itu melalui temubual dengan keluarga pula mengatakan bahawa ada satu kejadian yang berlaku pada tahun 2015 di Kuching, Sarawak. Pada masa itu Sarawak menerima kunjungan daripada Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Ir. Haji Idris bin Haji Haron. Beliau dan rombongan telah dibawa untuk melawat ke salah sebuah rumah keluarga Melayu Perabangan. Di ketika itulah beliau terlihat satu potret keluarga dan menyatakan secara khusus bahawa makam figura Melayu Perabangan itu ada di negerinya.


Jika seorang pembesar negeri Melaka begitu arif dan mengenali figura ikon pejuang Sarawak ini, mengapa dan kenapa kita orang Sarawak berdiam diri seribu bahasa serta berpeluk tubuh tidak melakukan sesuatu untuk cuba mengangkat sejarah sebenar ini kembali? Ianya bukan satu omongan kosong malah sudah dilestarikan dengan satu kajian lapangan bagi mencari satu kenyataan yang pasti bahawasanya memang ada makam serta sejarahnya di Melaka bumi Hang Tuah selepas tahun 1860!


SEJARAH YANG ADA SEKARANG HARUS DIPERBETULKAN!!!


Pedang panjang mampu dihayun Tidak selangkah mengundur diri Brunei Brooke Inggeris dan Jepun Tinggal sejarah di karpet memori


Hang Jebat juga Hang Kasturi Pendekar kuat raja Melaka Anak Sarawak bermusafir diri Tinggal pusara lambang adanya




Nota: Jutaan terima kasih diucapkan kepada keluarga Datu Patinggi Abang Abdul Ghafur melalui susurgalor perkahwinannya dengan Nyonya binti Kassim iaitu cicitnya, Dr. Zainal bin Abdul Latiff bin Abang Abdul Ghafur dan keluarga besar Dayang Diot binti Abang Othman Krani di Sungai Lembing, Pahang. Tidak lupa kepada warga penduduk di Kampung Limbongan, Melaka. Tanpa mereka ini semua, artikel di dalam “Jejak Warisan Melayu Perabangan Sarawak di Tanah Melayu” dari Borneo Oracle tidak akan menjadi realiti. -admin-

bottom of page