top of page

KUPON GETAH SARAWAK KINGDOM


KUPON GETAH SARAWAK KINGDOM


Mungkin sekarang perladangan getah tidaklah begitu popular di Sarawak namun bukan bermakna ianya tidak ada cuma tidak diusahakan secara besar-besaran seperti di Malaya. Di dalam rentetan berdirinya Sarawak Kingdom di bawah pemerintahan Brooke selama lebih 100 tahun, perladangan getah juga merupakan antara sumber ekonomi terpenting bagi Sarawak suatu waktu dahulu.

Mengimbau sejarah penanaman getah secara besar-besaran di Sarawak berlaku sekitar awal 1900an. Yang mana pada masa itu kaum Cina Foochow digalak untuk berhijrah ke Sarawak bagi tujuan penanaman lada di Sibu dan Sarikei. Dengan inisiatif yang begitu menarik perhatian contohnya kos tambang serta peruntukan tanah diberikan secara percuma kepada mereka menjadikan semakin ramai yang menyahut seruan Brooke untuk menanam getah secara besar-besaran. Walaupun pada masa itu sudah terdapat banyak kaum bumiputera yang turut serta tetapi lebih kepada saiz yang kecil-kecilan sahaja.

Di pihak Brooke pula menurut sejarahnya turut membuka beberapa buah ladang getah seperti Matang Estet di Matang, Satap di Miri dan Sibu. Hasil daripada strategi bijak Brooke itu juga menjadikan getah muncul sebagai bahan eksport penting untuk ekonomi Sarawak sekitar tahun 1905. Namun apabila zaman kemelesetan getah dunia berlaku sekitar tahun 1921-1929, banyak ladang-ladang getah ini tidak mampu bertahan dan hanya beroperasi menjadi saiz yang lebih kecil.


Umum mengetahui bahawa suatu ketika dahulu pemerintahan Brooke bukanlah termasuk didalam pemerintahan British di Tanah Melayu malah acuannya juga berbeza. Namun apa yang menariknya mengenai pensejarahan Kupon Getah ini sebenarnya adalah sama dengan kupon Getah yang digunapakai di Malaya. Cuma yang membezakannya kupon getah tertera nama negeri yang mengeluarkannya. Dan begitulah juga untuk Sarawak turut tertera nama Sarawak dan jata negara Sarawak di bahagian kuponnya.


Sekitar tahun 1934, Kerajaan British di Malaya telah menubuhkan Badan Pengawal bagi Hasil Komoditi Getah yang dibawah kendalian Controller of Rubber Malaya dan British Borneo. Pada masa itu segala urusan getah diselia oleh seorang pegawai British bernama Major G.M Kidd. Badan pengawal ini bertanggungjawab untuk mengawal dan menyelia sebarang jenis aktiviti ekonomi bagi penghasilan getah di Tanah Melayu dan British Borneo.


Kupon getah yang dikeluarkan oleh Controller of Rubber Malaya and British Borneo ini merupakan satu permit yang dikeluarkan kepada peladang-peladang bagi menjual dan mengeksport getah dengan nilaian kuantiti berat getah kering iaitu kupon getah 5 kati, 10 kati, 25 kati dan one picul (1 pikul). Dikeluarkan mengikut tahun iaitu dimulai pada tahun 1934 sehinggalah tahun 1942. Dan setiap kupon mempunyai tempoh tamat sahlaku digunapakai iaitu kebiasaannya diberi tempoh penggunaannya dari 3 bulan atau satu tahun.


Walaupun ianya digunapakai di Malaya pada tahun 1934 lagi tapi untuk Sarawak Kingdom pada masa itu hanya bermula pada tahun 1938 iaitu di ketika pemerintahan Rajah ketiga, Sir Charles Vyner Brooke memerintah. Dan yang menjadi kemusykilan mengapa dan kenapa Sarawak Kingdom yang “merdeka” dan bukan jajahan Koloni British pada masa itu boleh mempunyai beberapa persangkutan pengurusan ekonomi yang dibawah satu badan yang sama. Malah apabila penggunaannya ditamatkan pada tahun 1942, Sarawak Kingdom turut melakukan langkah yang sama.


Sejajar dengan waktu dan semenjak penubuhan Malaysia pula, segala aktiviti dan pasaran getah negara dikendalikan oleh Lembaga Pasaran Dan Perlesenan Getah Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1974. Sejak itu penggunaan kupon lesen getah pula digunapakai sehingga sekarang.


Manakala untuk kupon getah Sarawak Kingdom juga seperti kupon getah untuk negeri-negeri lain pula terus menjadi rebutan para penyimpan koleksi duit-duit lama. Nilainya juga cukup tinggi di pasaran antik dunia.




Rujukan:


1. Saran Singh - Malaya and Sarawak Rubber Export Coupons 1922-1942

2. Coupon Getah

http://sharuddin58.blogspot.my/2012/10/coupon-getah.html

3. Ending the Rubber Export Coupon “B. L. & P.” Conundrum

http://alphanumis.blogspot.my/2016/06/ending-rubber-export-coupon-b-l-p.html

4. When rubber was 'raja' - http://www.malaysiahistory.net/index.

5. Sejarah Kedatangan Masyarakat Cina Ke Sarawak - Borneo Oracle

bottom of page