top of page

PERANG “GANYANG MALAYSIA” DI LONG JAWI, BELAGA 1963


PERANG “GANYANG MALAYSIA” DI LONG JAWI, BELAGA 1963

- The Untold History


BUKAN senang membina sebuah negara sebagai pembuka bicara kerana 54 tahun yang lepas di ketika Gagasan Malaysia yang baru berura-ura mahu dibentuk oleh 4 negara iaitu Malaya, Singapura, North Borneo (Sabah) dan Sarawak menghadapi pelbagai ranjau nan berduri apabila Indonesia dibawah Presidennya Sukarno membantah keras penubuhannya. Dari hanya cakap-cakap mulut antara presidennya akhirnya Gerakan Ganyang Malaysia dilestarikan oleh Indonesia dengan beberapa siri perang ke atas negara pembentuknya.


Di dalam rentetan cerita perang Konfrantasi Indonesia-Malaysia yang berlangsung dari tahun 1963-1966 terselit satu tragedi paling berdarah di dalam sejarahnya perangnya. Mungkin ramai yang tidak mengetahuinya dan apa yang lebih mengejutkan tragedi berdarah ini terjadi di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Long Jawi yang terletak jauh di pedalaman Belaga menjadi saksi bisu atas satu perang yang tidak perlu yang mana menyaksikan ramai anggota keselamatan baik daripada Malaysia mahupun Negara Komanwel gugur sebagai bunga bangsa pada ketika itu.


Menguak pintu sejarahnya iaitu pada tanggal 28 Disember 1963 iaitu kira-kira jam 5.30 pagi, sekumpulan masyarakat tempatan yang mendiami Long Jawi di Belaga melihat kelibat hampir 100 orang lelaki yang lengkap bersenjata menyusup masuk di kawasan mereka secara senyap. Dari samar-samar kerana masih lagi awal pagi difahamkan segerombolan lelaki-lelaki ini adalah militia dari Republik Indonesia. Mengetahui bahawa itu merupakan satu ancaman maka berita tersebut disampaikan kepada ketua rumah panjang mereka. Dan tanpa berlengah atas dasar tanggungjawab dan demi keselamatan anak-anak buahnya, hal ini langsung diperdengarkan kepada Komander “Garrison” di Long Jawi iaitu Korporal Tasbahadur Gurung dari 1/2 Batalion Gurkha.


Bertindak daripada laporan itu juga, Korporal Tasbahadur segera mengarahkan agar anak-anak buahnya untuk segera membuat tinjauan namun sayangnya apabila sampai di lokasi mereka dikatakan dilihat, kumpulan tersebut sudah tiada lagi. Jadi askar gurkha peninjau bersama-sama border scouts segera pulang ke stesen mereka untuk menanti perintah seterusnya.


Namun baru sahaja usai operasi dan masih belum lagi menjamah kopi untuk sarapan pagi iaitu sekitar 6.30 pagi dikatakan pihak musuh yang sudahpun menyusun kumpulannya sudahpun mula memuntahkan peluru machine gun ke arah stesen mereka. Pada masa itulah keseluruhan askar gurkha dan border scouts berlari ke kubu-kubu pertahanan mereka. Tiada namanya untuk berundur tetapi terus mereka berbalas tembakan untuk mempertahankan diri.


Di pihak musuh pula tidak cukup dengan muntahan peluru machine gun yang bertali arus, mereka turut menggunakan 60mm mortar. Ternyata tembakan mortar yang pertama sudah mengena tepat pada salah satu kubu pertahanan di Long Jawi pada masa itu. Pada masa itulah gugurnya seorang rifleman Gurkha dan seorang anggota Border Scouts serta mencederakan 3 lagi border scouts yang lain. Walau di pihak anggota keselamatan di Long Jawi sudah merasa bahawa mereka sebenarnya berhadapan dengan musuh yang kuat namun berpantang mati sebelum ajal mereka tetap terus berbalas tembakan dengan musuh.


Kali ini serangan kedua mortar dari pihak musuh mengena lagi pada kubu pertahanan yang lain. Serangan mortar itu berjaya membunuh 2 “wireless operators” iaitu seorang border scouts anak tempatan dan seorang askar gurkha dari 1/2 Batalion Gurkhas. Ini bermakna bantuan yang hendak diminta tidak tercapai kerana peralatan wireless turut musnah bersama-sama dengan operatornya pada ketika itu.


Melihat adanya peluang untuk menyerang lagi, maka pihak musuh sudah cuba untuk menghampiri dengan lebih dekat kawasan pertahanan anggota keselamatan pada masa itu. Mereka semakin mendekati sehingga sanggup menjadikan rumah panjang sebagai tempat mereka berlindung dari tembakan serangan balas pihak anggota keselamatan pada masa itu. Diceritakan juga sewaktu serangan itu juga penduduk kampung yang mendiami rumah panjang yang berhampiran sudah awal-awal melarikan diri masuk ke hutan yang berhampiran.


Apalah daya mereka untuk membantu pasukan keselamatan pada masa itu kerana mereka hanya orang awam yang tidak mempunyai senjata. Hanya mampu menangis dan mendengar bunyi bising peluru dimuntahkan sahaja dari kejauhan. Pada masa yang sama meratapi ada juga kaum keluarga yang mungkin tidak sempat melarikan diri dan terperangkap di dalam serangan tersebut.


Di pihak anggota keselamatan yang bertahan di stesen Long Jawi pula terus bertahan sehingga ke sebelah tengaharinya. Dalam pada itu mereka menyaksikan 2 lagi anggota mereka tercedera teruk terkena tembakan iaitu seorang daripada Field Force dan seorang dari askar gurkha pada masa itu. Namun apakan daya oleh kerana bekalan peluru sudah hampir kehabisan akhirnya Koperal Tasbahadur mengarahkan kesemua mereka untuk berundur diri.


Di dalam suasana hiruk pikuk itulah dikatakan 4 askar gurkha, 2 anggota Field Force dan seorang Border Scouts serta 2 askar yang tercedera berjaya meloloskan diri daripada kepungan pihak musuh. Manakala 9 lagi anggota Border Scouts dan 2 orang awam (guru besar di sekolah rendah Long Jawi dan seorang penolong perubatan kerajaan) berjaya ditangkap oleh pihak militia Indonesia. Hampir 9 jam pertempuran tersebut yang mana berakhir sekitar jam 3 petang menyaksikan 6 orang perajurit gugur terkorban mempertahankan negaranya.


Dikatakan setelah berjaya di dalam serangan di Long Jawi itu, pihak militia Indonesia telah membawa kesemua yang ditangkap dan dipindahkan dengan menggunakan 5 buah bot berkuasa tinggi. Melalui pemahaman dari penduduk tempatan menyatakan bahawa kesemua mereka dipindahkan ke hulu sungai Batang Balui. Walau mempunyai senjata yang mampu untuk membunuh semua penduduk kampung pada masa itu, namun militia Indonesia tidak cuba untuk mengancam keselamatan mereka.


Berbalik kepada anggota Pasukan Keselamatan yang berjaya meloloskan diri pula diceritakan perjalanan mereka berjaya sehingga ke Long Linau iaitu pada tanggal 30 September 1963. Dengan bantuan daripada penduduk tempatan di Long Linau, anggota keselamatan berjaya menyampaikan berita jatuhnya “garrison” di Long Jawi kepada tentera British dan anggota keselamatan Komanwel pada masa itu.


Tercabar dengan tindakan anggota militia Indonesia ini, pihak tentera British dan Komanwel telah menggerakkan satu platun lagi ke Long Jawi. Kali ini dengan menggunakan pesawat heli jenis Wessex dari British Navy, mereka bergadang ke sana. Bukan itu sahaja segala kekuatan tentera daripada unit tempur lain turut menghala ke Long Jawi. Sumber turut mengatakan bahawa satu kumpulan pasukan khas (special force) yang terdiri daripada Rejimen 22 Special Air Service (SAS) dan pasukan Rejimen ke-40 Komando Marin Diraja British (40th Royal Marine Commandos) turut dikerahkan ke Long Jawi.


Pemburuan ke atas militia Indonesia yang membuat onar terus dijalankan besar-besaran selepas itu. Satu demi satu kem pangkalan tentera mereka yang dibina di Long Jawi diserbu. Pada ketika itulah juga mereka mendapati bahawa militia ini mempunyai kelengkapan yang cukup untuk berperang. Pelbagai jenis senjata ditemui seperti 60mm Mortar, GPMG, senapang tempur, sub-machine guns dan bom tangan. Mungkin kerana terkejut dengan serbuan akhirnya mereka hanya sempat melarikan diri apa adanya dengan meninggalkan senjata yang lain.


Hendak dijadikan cerita di ketika dalam pelarian itulah juga dinyatakan bahawa 2 orang awam iaitu Lanchang a/k Dato (Iban dari Saratok yang juga guru besar sekolah Long Jawi) dan Laeng Lirong (Kayan dan penolong perubatan kerajaan) serta Border Scouts berbangsa Kayan iaitu Usat Anyi berjaya meloloskan diri. Mereka berjaya melarikan diri sehingga ke Long Leguai dan ditemui oleh penduduk kampung di dalam keadaan lemah dan kelaparan pada masa itu.


Namun nasib 8 lagi anggota Border Scouts anak tempatan Sarawak amat berbeza dengan cerita Lanchang, Laeng Lirong mahupun Usat Anyi. Kesemua mereka dikatakan sudah ditembak di kaki oleh militia Indonesia awal-awal lagi agar mereka tidak mampu untuk melarikan diri. Mereka kemudian diikat dengan tali dan harus berlutut yang mana akhirnya ditembak satu persatu oleh militia ini tanpa ada peri kemanusiaan. Kemudian mayat-mayat mereka ditinggalkan di Long Jelangai dan ditemui oleh anggota keselamatan di dalam keadaan yang mengaibkan serta busuk. Tragedi pembunuhan berdarah 8 Border Scouts anak tempatan Sarawak menjadikan ianya turut dikenali sebagai pembunuhan paling berdarah di dalam siri rentetan perang Konfrantasi Indonesia Malaysia.


Pembunuhan kejam 8 border scouts ini menjadi pembakar semangat ke atas anggota keselamatan yang lain untuk membalas segala kekejaman yang dilakukan ke atas saudara mereka. Biar putih tulang jangan putih mata. Setitik darah yang gugur di kalangan anggota keselamatan harus dibayar dengan nyawa militia Indonesia pada masa itu. Usaha menjejaki mereka terus dilakukan tanpa henti dan tanpa mengenal penat lelah.


Akhirnya pada tanggal 1 Ogos 1963, hutang darah dibayar nyawa dapat dilestarikan juga apabila dikatakan askar gurkha telah terserempak dengan 26 orang militia Indonesia yang sedang di dalam perjalanan dengan menggunakan 2 buah perahu panjang di Sungai Baloi. Tanpa memperdulikan apa sahaja akhirnya tentera Gurkha menyerang mereka bertubi-tubi dengan jarak yang dekat. Serangan ini berjaya menghumbankan mereka di dalam arus Sungai Balui yang deras. Walau sudah di dalam air dan hampir kelemasan, kesemua mereka tetap ditembak tanpa belas kasihan. Kesemua 26 orang militia Indonesia ini dikatakan mati kesemuanya pada waktu itu.


Tidak terhenti disitu, pada tanggal 3 Oktober 1963 pula menyaksikan pihak keselamatan telah bertempur dengan 16 orang lagi anggota militia di dalam hutan di Long Jawi. Pertempuran yang hanya beberapa minit itu telah berjaya membunuh kesemua mereka. Kemudian keesokannya iaitu pada 4 Oktober 1963, 10 lagi anggota militia Indonesia berjaya dibunuh di hutanyang sama.


Menurut rekod di dalam siri-siri pertempuran di Long Jawi ini menyaksikan 52 nyawa militia Indonesia berjaya dibunuh manakala ramai lagi yang cedera parah. Dikhabarkan mereka mencuba sebaik mungkin untuk melarikan diri ke sempadan Kalimantan/Sarawak namun adalah dipercayai tiada antara mereka yang membuat onar di Long Jawi sampai ke tanahair mereka kerana mungkin mati akibat kelaparan, kehausan dan dimakan binatang buas di hutan.


Inilah ceritanya satu perang yang paling berdarah di dalam rentetan cerita perang “Ganyang Malaysia” yang berlangsung dari tahun 1963-1966. Ramai anggota keselamatan kita gugur sebagai bunga bangsa malah lebih memilukan 8 daripada anak tempatan Sarawak yang bertugas sebagai Border Scouts telah dibunuh dengan begitu kejam sekali di ketika di dalam tahanan militia Indonesia. Atas sebab-sebab keselamatan pada masa itu juga hanya pada tanggal 4 Oktober 1963 barulah cerita mengenainya diwar-warkan kepada dunia.


Lest We Forget!


Rujukan:


1. E- Books ; Konfrontasi - World Heritage Encylopedia Article Id WHEBN0026811749

2. The Brunei Uprising And Borneo Confrontation 1962-1966

https://paradata.org.uk/articles/brunei-uprising-and-borneo-confrontation-1962-1966

3. Konfrantasi Indonesia - Malaysia Di Sarawak

http://min-def.blogspot.my/2013/07/konfrontasiindonesia-malaysia-di.html

4. Konfrantasi Indonesia Malaysia - Borneo Oracle

bottom of page