PWII LENGGU ANAK CINA
JEJAK PAHLAWAN SARAWAK - PWII LENGGU ANAK CINA
NAMANYA mungkin tidak dikenali namun jangan pandang enteng keberanian si bujang berani ini yang mana dikatakan mempunyai keturunan langsung dengan pahlawan Iban yang gah namanya menentang pemerintahan Brooke di Sarawak iaitu Penghulu Asun. Mungkin kerana DNA kepahlawanan yang meresap di dalam tubuhnya itulah yang menjadikan beliau seumpama “singa lapar” yang tidak alah dek peluru di dalam satu operasi membasmi komunis di Sarawak suatu waktu dahulu. Hakikatnya pada masa itu beliau sudah tercedera teruk tetapi masih mampu mengangkat senjata sehingga membenarkan beliau tetap masih mampu membunuh komunis yang bermaharajalela walau sudah nyawa-nyawa ikan pada masa itu.
Lenggu Anak Cina itulah seorang anak Iban yang dilahirkan pada tahun 1944 di sebuah perkampungan Iban yang terletak di Sungai Baloh, Ngemah, Kanowit, Sarawak. Memulakan kariernya sebagai seorang anggota tentera pada 10 February 1964 dengan menyertai 1st Battalion Rangers. Beliau merupakan “Support Platoon of 1st Rangers” dengan berpangkat Pegawai Waran II dengan di dalam platunnya sebagai Company Sergeant Major Instructor (CSMI).
Dari perkahwinan pertamanya beliau dikurniakan dengan 2 orang anak iaitu Georgiana Ak Lenggu dan Sthalman Ak Lenggu. Setelah perkahwinan pertamanya gagal, beliau berkahwin dengan seorang anak gadis Iban bernama Lindan Ak Galau iaitu anak Tuai Rumah Galau di Nanga Engkuah. Hasil perkahwinan ini dikurniakan dengan seorang anak lelaki iaitu Valentine Ak Lenggu yang mana dikatakan tidak pernah menemui ayahnya kerana diketika kejadian beliau masih lagi didalam kandungan ibunya.
Kisahnya mengenai PWII Lenggu Anak Cina berlaku pada tanggal 20 Januari 1971 apabila Leftenan Ke-2 Anuar Basha Khan bin Haji Zakaria diarahkan oleh Ketua mereka untuk ke Nanga Bangkit iaitu satu kawasan yang terletak di Sungai Katibas berdekatan dengan Nanga Engkuah. Pada ketika itu arahannya adalah untuk berjumpa dengan para Tuai Rumah di kawasan tersebut untuk menghadiri satu mesyuarat antara pasukan keselamatan dan pemimpin tempatan yang akan diadakan pada tanggal 21 Januari 1971. Selain daripada itu mereka juga diarahkan untuk mencari beberapa bahan binaan bagi membina sebuah asrama pelajar di Nanga Bangkit yang akan menjadi antara tanggungjawab CSR tentera kepada masyarakat setempat.
Sudah menjadi kebiasaan apabila setiap arahan ketenteraan tidak akan dijalankan bersendirian lebih-lebih lagi sudah diketahui bahawa musuh seperti komunis itu ada dimana-mana jadi PW2 Lenggu Ak Cina, Renjer Umok Ak Mambang, Renjer Lian Ak Anyi, Renjer Limping Ak Gayang, Renjer Engkas Ak Judik, Renjer Nawawi bin Saffie, Renjer Kelabu Ak Nyalang, Renjer Midong Ak Gundi, Renjer Suntai Ak Duin, Renjer Shaffiee bin Saat dan “Signaller” Ahmad bin Shafie dihimpun menjadi satu unit platun kecil untuk menjalankan misi mereka. Pergerakan menuju ke Nanga Bangkit bermula kira-kira jam 2.00 petang pada hari yang sama setelah mendapat taklimat daripada ketua mereka mengenai sebarang kemungkinan yang berlaku di dalam misi mereka.
Siaga segalanya maka tepat jam 2.30 petang, mereka telah menaiki 2 buah bot dari Nanga Engkuah untuk ke Nanga Bangkit. Sebuah bot dinaiki oleh PWII Lenggu Ak Cina dengan 6 anggota manakala sebuah lagi bot dinaiki oleh Leftenan ke-2 Anuar bersama 7 lagi anggota mereka. Dijangka perjalanan dari Nanga Engkuah menuju ke Nanga Bangkit akan mengambil masa selama 3 1/2 jam untuk sampai ke destinasi. Bagi tujuan keselamatan juga diarahkan bot yang dinaiki oleh PWII Lenggu Ak Cina mengharungi Sungai Katibas di sebelah kiri manakala yang dinaiki oleh Leftenan ke-2 Anuar akan berada di sebelah kanan.
Persinggahan pertama mereka adalah sebuah sekolah yang terletak di Nanga Bangkit dan disitulah mereka bermesyuarat seketika dengan seorang guru bagi mengambil informasi mengenai bahan binaan yang dikehendaki dan kemudian akhirnya memudiki kembali Sungai Katibas untuk urusan pemberitahuan kepada pemimpin masyarakat di sepanjang rumah panjang di situ.
Hampir 6 buah rumah panjang di sepanjang Sungai Katibas mereka ziarahi untuk memberitahu mengenai mesyuarat yang hendak diadakan pada keesokan harinya. Dan setelah informasi disampaikan di rumah panjang yang dikenali sebagai Rumah Eton mereka menuju ke Rumah Dinggai. Dikala inilah mereka diarahkan untuk berhati-hati kerana melalui risikan dimaklumkan bahawa masyarakat Rumah Dingai agak pro kepada TNKU. Lokasi Rumah Dingai pula terletak di sebelah kanan Sungai Katibas dan di titik pertemuan 2 cabang sungai iaitu Sungai Ning yang juga dikenali sebagai Tanjung Batu Babi.
Dan diketika melalui Tanjung Batu Babi inilah kedua-dua bot yang membawa PWII Lenggu Ak Cina dan Leftenan ke-2 Anuar berserta 12 yang lain telah diserang hendap oleh pihak komunis yang berselindung di sebalik kawasan berbukit. Pihak musuh telah menjadikan enjin bot sangkut sebagai sasaran mudah bagi mematikan perjalanan bot-bot anggota keselamatan pada masa itu. Namun walau menjadi sasaran mudah PWII Lenggu dan rakan-rakannya tidak beralah biarpun pada masa itu dikatakan bot mereka berpusing-pusing dibawa arus deras di Tanjung Batu Babi.
PWII Lenggu dan rakan-rakannya di dalam keadaan yang payah akhirnya berjaya mendarat di tebingan dan terus-terusan memuntahkan peluru daripada senjata mereka ke sasaran di atas kawasan berbukit. Disinilah menyaksikan 5 rakan yang menaiki bot bersama PWII Lenggu berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir yang mana akhirnya mereka sendiri terkulai layu rebah sebagai bunga bangsa akibat terkena muntahan peluru dari komunis.
Melihat kejadian itu, Leftenan ke-2 Anuar dan 7 lagi anggota dari sebelah kiri telah cuba menghampiri kumpulan PWII Lenggu. Namun amat sukar untuk mendarat ke tebingan kerana mereka juga turut menjadi sasaran mudah pihak komunis. Pada ketika enjin bot tidak berfungsi kerana ditembak itulah Renjer Suntai Ak Duin terkena tembakan betul-betul di kepalanya menyebabkan beliau terjatuh di dalam sungai. Melihat kejadian itu Renjer Engkas dan Renjer Kelabu pula terjun ke dalam sungai bagi mencari perlindungan dan berenang ke sebelah kiri tebingan Sungai Katibas. Mereka mencuba sebaik mungkin berbalas tembakan dari tebingan disitu.
Manakala Leftenan ke-2 Anuar, Renjer Nawawi, Renjer Midong dan Signaller Ahmad pula tetap masih diatas bot sambil cuba berlindung dengan berbalas tembakan dari atas bot. Pada ketika itulah juga dinyatakan bahawa Leftenan ke-2 turut terkena tembakan di kepala dan begitu juga Renjer Midong dan Signaller Ahmad yang terkulai kerana cedera yang parah. Yang tinggal masih melepaskan tembakan adalah Renjer Nawawi sehinggalah hujan rahmat menyelamatkan mereka semua. Ini kerana dikatakan selepas itu pihak komunis telah memberhentikan serangan mereka dan berundur.
Tidak mampu berbuat apa-apa kerana enjin bot rosak akhirnya bot yang dinaiki oleh Renjer Nawawi bersama anggota yang cedera telah hanyut mengikut arus sungai Katibas yang deras. Dan sekali lagi mereka bernasib baik kerana ditemui oleh Pegawai Pemerintah mereka yang di dalam perjalanan dari Song ke Nanga Engkuah iaitu Leftenan Colonel Syed Abdul Aziz bin Syed Razak. Merekalah yang menyelamatkan Renjer Nawawi dan rakan-rakannya yang akhirnya membawa mereka ke lokasi serangan. Disitu mereka menjumpai 5 mayat anggota renjer yang sudah tiada dengan PWII Lenggu anak Cina walau masih bernafas tetapi cedera parah.
Akhirnya bantuan sampai ke Tanjung Batu Babi dengan Leftenan Ragunathan diarahkan untuk memusnahkan komunis yang membuat serangan hendap itu. Mereka menjejak segerombolan komunis ini melalui jejak yang mereka tinggalkan dan akhirnya pada hari yang sama berjaya juga memusnahkan mereka. Disamping itu semasa mereka mula-mula menjejak komunis di sebalik bukit di Tanjung Batu Babi itu mereka turut menjumpai 2 mayat anggota komunis yang berjaya dibunuh oleh PWII Lenggu dan rakan-rakannya.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah mereka sendiri membawa mayat-mayat anggota renjer yang terbunuh di dalam satu bot manakala Leftenan ke-2 Anuar dan PWII Lenggu yang cedera parah bersama-sama dengan Renjer Midong juga Signaller Ahmad bersama-sama yang selamat telah dihantar ke Tactical Headquaters untuk bantuan perubatan. Sampai di Headquaters mereka memohon bantuan udara untuk membawa Leftenan ke-2 Anuar dan PWII Lenggu ke hospital tentera dan pada malam itu juga sebuah pesawat helikopter dibawah juruterbangnya iaitu Kapten Leong Fok Siong dan co-pilot Leftenan Aziz bin Alwi telah cuba untuk mendarat di kawasan headquaters di ketika bulan penuh.
Namun sudah menjadi ketentuan Illahi, PWII Lenggu Ak Cina tidak sempat menaiki helikopter untuk bantuan perubatan yang lebih sempurna kerana beliau dikatakan menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum helikopter itu tiba. Manakala Leftenan ke-2 Anuar pula sempat diterbangkan ke Sibu bersama yang lain dan selamat setelah melalui pelbagai pembedahan untuk mengeluar peluru di dalam badan mereka.
Jenazah PWII Lenggu Ak Cina setelah beberapa hari diserahkan kepada keluarga dan isterinya iaitu Lindan Ak Galau yang berbadan dua pada masa itu. Mendiang disemadikan di Nanga Engkuah di kampung halaman sebelah isterinya. Lapan bulan selepas itu barulah legasi PWII Lenggu Ak Cina dilahirkan iaitu yang diberikan nama Valentine Ak Lenggu yang diceritakan apabila meningkat dewasa turut mengikut jejak langkah ayahnya dengan memilih dunia ketenteraan sebagai kariernya.
Sebagai mengenang jasa bakti dan kepahlawan PWII Lenggu Ak Cina yang berani berjuang mempertahankan negara biarpun sehingga ke titisan darahnya yang terakhir, pada tanggal 7 Jun 1972 telah dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa daripada Yang Dipertuan Agung Malaysia. Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa adalah satu pingat yang tertinggi di dalam kelas pingat yang dikurniakan di dalam Kerajaan Malaysia malah lebih atas daripada pingat yang membawa gelaran Tun bagi penerimanya.
7 perajurit Malaysia gugur sebagai bunga bangsa di serang hendap komunis pada tanggal 20 Januari 1973 di Tanjung Batu Babi manakala yang lain cedera dan selamat. Inilah antara rentetan perjuangan para perajurit kita yang tidak akan mengalah biar nyawa jadi galang gantinya demi keamanan yang kita kecapi sekarang. Kisahnya PWII Lenggu Ak Cina akan tetapi kita kenang sampai bila-bila dan kita semua terhutang budi dengan parajurit ini semua.
“Agik Idup Agik Ngelaban”
Rujukan:
1. SP PW2 Lenggu Anak Cina - Ambush in Sungei Katibas
http://renjervalour.blogspot.my/2005/10/wo-2-lenggu-ak-china-seri-pahlawan.html
2. Seri Pahlawan Gagah Perkasa
http://www.maele.net/english/roslina/Text%20on%20frontpage.htm