top of page

FROM KPG WIRELESS, MIRI WITH LOVE

  • Apr 4, 2017
  • 3 min read

FROM KAMPUNG WIRELESS, MIRI WITH LOVE

JIKA berkunjung ke Miri iaitu bandar “Minyak” Sarawak sudah tentu kita akan melihat satu perkampungan yang kewujudannya diapit oleh bangunan pencakar langit dan pembangunan yang sedang berlangsung dengan rancaknya di kawasan sekitarnya. Itulah yang dikenali sebagai Kampung Wireless iaitu antara perkampungan tradisi yang masih wujud di bumi Miri.

Dahulunya perkampungan tradisi di sepanjang sungai ini pernah ada satu lagi kampung tradisi iaitu yang bernama Kampung Dagang namun sekarang perkampungan itu sudah tiada lagi. Ini kerana sekitar tahun 1980an kebanyakan penduduk perkampungannya telah dipindahkan ke Piasau Jaya, Pujut dan Tudan bagi membenarkan Miri dibangunkan dengan lebih drastik lagi.

Dan sejak itu juga sedikit demi sedikit Kampung Wireless di Miri juga turut menerima tempias yang sama apabila sebahagian daripada perkampungannya turut dipindahkan ke penempatan di sekitar Miri bagi pembinaan Miri Waterfront yang kita lihat sekarang. Buat masa sekarang dikatakan hanya sekitar 100 buah rumah yang bertahan bagi meneruskan legasi tradisi penduduk perkampungan iaitu sebagai nelayan.

Menguak pintu sejarahnya Kampung Wireless di Miri ini dikatakan dibuka sekitar awal 1900an dengan penduduk terawalnya adalah dari kalangan etnik Miriek iaitu etnik yang mendominasi bumi Miri lebih awal sebelum itu. Dikatakan kebanyakan daripada etnik Miriek yang menjadikan sumber laut sebagai ekonominya adalah daripada sub-etnik Miriek Permaisuri. Dan apabila kita berbicara mengenai kewujudan Jalan Permaisuri yang berdekatan dengan Kampung Wireless ini juga mungkin menyatakan perkaitannya dengan etnik Miriek Permaisuri yang membuka penempatan mereka di sini suatu waktu dahulu.

Selain daripada itu dari hanya sekadar sebuah perkampungan nelayan di pesisir Miri akhirnya menjadi satu perkampungan yang padat apabila adanya penghijrahan daripada masyarakat Melanau dari Mukah serta kaum-kaum yang lain yang berasakkan ke Miri atas perkembangan industri minyak di Miri sekitar tahun 1920an. Samada atas faktor ekonomi dan juga bagi memberi ruang penempatan pekerja-pekerja industri minyak di Miri pada masa itu menjadikan Kampung Wireless menjadi kawasan tumpuan.

Ironinya jika kita menyelusuri sejarah bagaimana Kampung Wireless mendapat nama hanya berlaku di ketika Sarawak sudahpun menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo dan tidak seperti Kampung Dagang iaitu jirannya dinamakan di ketika Sarawak dibawah pemerintahan dinasti keluarga Brooke selama lebih 100 tahun di Sarawak. Pada ketika itu dikatakan Kampung Wireless ini dinyatakan sebagai salah satu pembentuk Kampung Dagang.

Dinamakan sebagai Kampung Wireless hanya sekitar tahun 1949 apabila pihak Koloni British Borneo mendirikan sebuah tiang komunikasi bagi kegunaan Jabatan Pos dan Telegraf Sarawak di hujung perkampungan. Dan sepanjang jalan untuk menuju ke tiang komunikasi ini seringkali dikenali oleh British sebagai jalan wireless yang akhirnya memberikan perkampungan yang dekatnya dikenali sebagai Kampung Wireless sehingga sekarang.

Ramai yang berkata tiada bezanya pemandangan Kampung Wireless dari dahulu sehingga sekarang walaupun kawasan sekitarnya sudah berubah corak dek kerana pembangunan. Di Kampung Wireless masih seperti dahulu iaitu dengan titian kayu sebagai identiti penghubung diantara rumah ke rumah penduduk. Dan yang lebih memeritkan lagi samada sengaja atau tidak disengajakan sebahagian daripada rumah disini masih lagi tidak disediakan utiliti seperti perkampungan yang biasa kita lihat.

Dan dari dahulu sehingga sekarang juga penduduk Kampung Wireless masih gigih dan tekun mempertahankan pekerjaan tradisi mereka seperti menangkap ikan dan seterusnya menggalakan industri desa seperti pembuatan ikan kering sebagai sumber pendapatan utama mereka. Dek kerana itulah jika melihat adanya bot-bot kecil mahupun besar berlabuh di hujung jeti rumah-rumah penduduk itu merupakan pemandangan biasa bagi Kampung Wireless di Miri.

Bukan satu cerita biasa malah keadaan Kampung Wireless ini sudah sering diperkata samada di media massa baik suratkhabar dan media arus perdana namun sehingga sekarang ianya masih hanya “cakap angin” tanpa ada yang sudi memperjuangkan untung nasib mereka. Mungkin bagi mereka yang bergelar “kapitalis”, Kampung Wireless hanya “pengacau” untuk pembangunan di Miri tetapi hakikatnya perkampungan ini adalah perkampungan tradisi yang mempunyai nilai sejarahnya tersendiri.

Jangan dek kerana mengejar pembangunan maka segalanya harus dimusnahkan sedangkan banyak negara maju di dunia yang mempertahankan perkampungan tradisi sebagai salah satu sumber ekonomi mereka. Tiada salahnya perkampungan ini dimajukan dengan lebih sempurna sebagai salah satu lagi tarikan pelancongan di Miri.

Kita tidak mahu satu lagi perkampungan tradisi masyarakat di Miri ini menjadi "korban" pembangunan seperti apa yang terjadi kepada Kampung Dagang iaitu jirannya yang sudah “hilang” dari peta Miri.

Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.

Rujukan:

1. Borneo Post 21/4/2013 - Life At The Water’s Edge 2. Astro Awani 18/2/2013 - Kampung Wireless Wajar Berubah Wajah http://www.astroawani.com/…/kampung-wireless-wajar-berubah-… 3. The Star 12/8/2013 - Bygone Village In Miniature 4. Etnik Miriek, Sarawak, Borneo - Borneo Oracle

 
 
 

Comments


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page