TIKAR KELASAH
TIKAR KELASAH
- Seni Kraftangan Masyarakat Bidayuh Jagoi (BiJagoi)
JIKA kaum Iban terkenal dengan kain pua kubu dan masyarakat Orang Ulu pula dengan hiasan maniknya begitulah juga dengan kaum Bidayuh yang tidak pernah kurang dengan seni kraftangannya yang unik. Boleh dikatakan setiap satu etnik di Sarawak Bumi Kenyalang mempunyai identiti kraftangan yang tersendiri.
Tikar kelasah atau bidai atau bide adalah salah satu daripada seni kraftangan yang begitu popular dewasa ini dan antara barangan kraftangan yang “wajib beli” bagi setiap pengunjung yang melawat ke Sarawak. Seni kraftangan yang unik ini telah dihasilkan sejak turun temurun oleh kaum Bidayuh Sarawak iaitu daripada sub-etnik Bidayuh BiJagoi.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa tikar kelasah pembuatannya adalah satu anyaman tangan yang semulajadi. Setiap tikar kelasah dicorakkan berdasarkan kepada anyaman yang rapi dan halus. Dan bahan-bahan pembuatannya juga bukannya mudah didapati sebegitu sahaja malah mempunyai proses-proses yang memakan masa lebih-lebih lagi kulit kayu yang digunakan sepenuhnya. Dek kerana itulah sesuai dengan kepayahan pembuatannya maka harganya juga turut tinggi di pasaran.
Boleh dikatakan harga tikar kelasah di pasaran adalah amat mahal mengikut gred dan saiznya. Gred-grednya pula dinilai daripada bahan yang digunakan serta keunikan anyamannya. Setakat ini yang diketahui untuk jenis Gred A tikar kelasah sahaja boleh mencapai sehingga RM800 dan kadangkala jika sudah “dieksport” ke Semenanjung Malaysia misalnya harga sudah semakin tinggi iaitu mencecah ribuan ringgit Malaysia. Dan kerana pembuatannya dari kulit kayu menyebabkan ianya mampu bertahan sehingga ke 50 tahun lamanya.
Dahulu tikar kelasah ini hanya adalah salah satu daripada keperluan untuk keluarga masyarakat Bidayuh Bijagui seperti menjadi alas bagi menjemur hasil pertanian seperti padi dan lada hitam. Dan kemudiannya turut juga dijadikan sebagai pelapik tidur bagi keluarga di rumah panjang Bidayuh. Selain itu sekiranya ada perayaan disambut maka inilah alas yang akan dibentangkan buat para tetamu dan keluarga bersantai-santai.
Namun sejajar dengan waktu, tikar kelasah sudah melangkaui masa penggunaannya. Dahulu hanya keperluan keluarga namun sekarang sudah mampu menjadi dekorasi di hotel bertaraf 5 bintang di seluruh dunia malah juga untuk rumah-rumah mewah yang sentiasa mencari kelainan untuk dekorasi hiasan di rumah mereka.
Sungguhpun sudah terkenal seantero dunia tikar kelasah ini iaitu hasil kraftangan istimewa dari masyarakat Bidayuh BiJagoi namun sehingga ke hari ini belum ada lagi usaha untuk mempatenkannya. Usaha untuk mempatenkan ini perlu agar ianya tidak dimanipulasi untuk kepentingan sesetengah pihak dan sekaligus ianya akan memberikan pengiktrafan sebagai identiti masyarakat Sarawak Bumi Kenyalang.
Rujukan:
1. Perbadanan Kraftangan Malaysia website http://www.kraftangan.gov.my
2. Utusan Sarawak 31 Oktober 2014 - Tikar Kelasah Kraftangan Yang Unik
3. Utusan Online 23 Oktober 2014 - Tikar Kelasah Masyarakat Bidayuh
4. Harian Metro 8 November 2014 - Nilai Estiteka Tikar Kelasah