RAJA MANAJEKANA DARI KERAJAAN BONI
RAJA MANAJEKANA DARI KERAJAAN BONI
APABILA menyebut namanya mungkin agak asing bagi kita lebih-lebih lagi Borneo. Namun nama ini mempunyai signifikasi sejarahnya tersendiri di dalam kita memperkatakan keagungan Kerajaan Brunei yang mana wilayah jajahannya hampir 3/4 daripada Pulau Borneo suatu waktu dahulu. Kerajaan Boni atau Poni atau Poli itulah nama kunonya yang banyak dinyatakan di dalam manuskrip sejarah lama.
Umum mengetahui keagungan Kerajaan Brunei yang kita kenali sekarang bermula sekitar abad ke-14 masihi apabila Awang Alak Batatar memeluk Islam dan menggelar dirinya sebagai Sultan Muhammad Shah, pemerintah Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam yang pertama. Dan selepas kemangkatannya diwarisi pula kepada Sultan Ahmad seperti yang tertulis di dalam Salsilah Kerajaan Brunei yang sah.
Sudah menjadi kebiasaan bagi mana-mana kerajaan di nusantara sentiasa mempunyai hubungan antarabangsanya dengan satu kerajaan yang gah seantero dunia suatu waktu dahulu iaitu Empayar China. Jika keagungan Kerajaan Melaka turut mempunyai ceritera yang sama sehingga Puteri Hang Li Po dihantar ke Melaka bagi mengukuhkan hubungan dua hala antara 2 kerajaan maka begitulah juga hubungannya antara China dan Brunei suatu waktu dahulu.
Menurut rekod sejarah kuno baik di China mahupun Brunei menyatakan bukan sedikit perhubungan antara 2 negara ini malah boleh dijejaki sehingga kewujudan Brunei sebelum gah menjadi sebuah kerajaan Islam iaitu yang dikenali sebagai Kerajaan Brunei Tua. Dan ini bermakna perhubungan tidak mengkhusus kepada satu dinasti sahaja sebaliknya pelbagai urutan dinasti pemerintahan maharaja China pada waktu itu.
Buktinya melalui sejarah kuno China menyatakan bahawa hubungan diplomasi ini telah wujud dengan rekod terawal memperlihatkan adanya rombongan dari Kerajaan Brunei Tua yang berkunjung ke China pada tahun 517, 512 dan 631 Masihi lagi. Dan bagi membalas perhubungan baik ini juga Negara China turut pernah bertandang ke Brunei sekitar tahun 977 masihi.
Malah di ketika pemerintahan Dinasti Song yang wujud antara tahun 960 hingga , 1279, hubungan ini semakin erat sehingga Brunei dibantu oleh China bagi memperkuatkan lagi ilmu pelayaran mereka dengan dibenarkan menggunapakai sistem navigasi angkatan laut diraja China pada masa itu. Bukan sahaja bidang lautan yang dibantu malah turut juga sistem perundangan apabila menurut rekod sekitar tahun 1370, seorang majistret China yang gah bernama Shen Chi dan Zhang Jingshi seorang penyelia imperial dari wilayah Fujian pernah mengunjungi Brunei bagi membantu menjadikan sistem perundangan Brunei lebih baik daripada sebelumnya.
Selain itu satu demi satu lawatan terus menjadi tradisi kedua-dua negara dengan adanya lawatan dari rombongan China ke Brunei seperti rombongan Yisima pada tahun 1371 dan sekali lagi pada tahun 1394. Kemudian tibalah pula rombongan Brunei yang menjejak kakinya di bumi China seperti rombongan Alibochen pada tahun 1405 dan 1406. Pada tahun 1408 pula menyaksikan seorang pemerintah muda dari Kerajaan Brunei mengetuai rombongan Brunei iaitu seorang sultan muda yang dikenali sebagai Raja Manajekana mengikut rekod sejarah China.
Di Brunei, baginda dikenali sebagai Sultan Abdul Majid Hassan yang memerintah dari tahun 1402 hingga 1408. Menurut geneologi salsilah pemerintah Brunei menyatakan bahawa Sultan Abdul Majid Hassan adalah waris langsung kepada Sultan Brunei yang pertama melalui perkahwinannya dengan seorang puteri dari Kerajaan Melaka. Baginda juga dinyatakan mempunyai seorang adinda yang bernama Putri Ratna Dewi yang dikahwinkan dengan seorang putera dari Dinasti Ming bernama Ong Sum Ping.
Sekitar tahun 1406 menyatakan bahawa Raja Manajekana telah membuat lawatan ke China yang mana diketika itu diperintah oleh Maharaja Yongle atau nama sebenarnya Zhu Di yang memerintah dari tahun 1360 hingga 1424. Pada masa itu China dibawah kekuasaan besar Dinasti Ming yang menyaksikan mereka berjaya mengalahkan kerajaan Mongol suatu waktu dahulu.
Diceritakan ketibaan rombongan Raja Manajekana bukanlah sedikit sebaliknya dengan delegasi rombongan seramai 150 orang termasuklah isteri serta putera tunggalnya yang masih kecil iaitu berusia sekitar 4 tahun sahaja. Sekitar bulan Ogos 1408 dinyatakan bahawa Raja Manajekana telah tiba ke Nanjing iaitu pusat pemerintahan Dinasti Ming pada masa itu bagi mengadap sendiri Maharaja Yongle. Namun sebulan selepas mendiami Nanjing, diberitakan baginda jatuh gering di kediaman yang dikhaskan untuk rombongan dari Brunei ini. Semasa geringnya, Raja Manajekana telah dirawat sendiri oleh tabib diraja China namun sudah ketentuan Illahi akhirnya baginda mangkat di negara orang.
Kemangkatan Raja Manajekana telah memberikan impak tersendiri kepada Maharaja Yongle sehingga maharaja yang hebat ini dikatakan telah memberikan pengebumian diraja untuk pemerintah Brunei ini. Seluruh Nanjing pada masa itu telah berkabung selama 3 hari malah semua aktiviti pengadilan dan yang sewaktu dengannya digantung buat sementara bagi memperingati kemangkatannya. Diperkira bulan kemangkatan Raja Manajekana adalah awal Oktober 1408 jika merujuk kepada penyataan di dalam manuskrip sejarah China.
Bagi menzahirkan tanggungjawabnya keatas seorang sahabat dari bumi nusantara pada masa itu dinyatakan Maharaja Yongle telah mengarahkan agar baginda dimakamkan di satu tempat yang istimewa mengikut tradisi Tembok Besar China pada masa itu. Makamnya disemadikan di sebuah kawasan berbukit yang dinamakan Bukit Shizi di wilayah Nanjing, China mengikut tradisi kemangkatan seorang pemerintah beragama Islam.
Namun seperti juga cerita-cerita lama kebiasaannya makam-makam bersejarah akan terbiar tanpa sesiapa mengetahuinya dan akhirnya pada tahun 1958 ianya berjaya ditemui oleh penduduk di Nanjing yang sedang membuka hutan untuk tujuan pertanian. Hakikatnya makam ini bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat tempatan Nanjing kerana mereka lebih mengenalnya sebagai kubur untuk orang Han atau “Hui Hui Fen” mengikut dialek tempatan yang pernah mendominasi Nanjing suatu waktu dahulu.
Dan Kerajaan Nanjing pada waktu itu telah memulakan inisiatif sendiri menggodek cerita sejarah mengenai makam kuno yang ditemui pada waktu itu. Dan hasilnya telah disahkan sendiri oleh sejarahwan China bahawa kubur lama itu bukan milik kepada Orang Han sebaliknya adalah makam kepada Sultan Abdul Majid Hassan atau Raja Manajekana dari Kerajaan Boni.
Melihat kepada nilai sejarah kepada pemakaman kuno ini juga menyaksikan Kerajaan Nanjing telah cuba menjadikan ianya sebagai salah satu tarikan pelancong bagi Negara China. Maka mereka telah mula mempercantikkan kawasan pemakaman ini dengan beberapa memorial di dalam taman dibina sehinggalah pada tahun 1982 ianya berjaya disenaraikan sebagai kawasan bersejarah yang dilindungi mengikut undang-undang “Cultural Relic Unit State Protection Jiangsu Province”.
Hubungan diplomasi antara 2 negara ini tidak hanya terhenti sebegitu sahaja malah makam Raja Manajekana dari Kerajaan Boni telah mengeratkan lagi sillaturahim apabila pada tahun 2006 menyaksikan puteri Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam iaitu YM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajjah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar Saifuddin, adinda kepada Sultan Hasanal Bolkiah menjadi saksi kepada pembukaan Dewan Brunei-China di kawasan tidak jauh daripada makam tersebut.
Inilah signifikasinya sebuah makam yang nun berada jauh di Negara Tembok Besar China yang berabad lamanya tidak diketahui dimana letaknya. Sejarahnya menjadi tanda kepada hubungan diplomasi antara 2 negara yang telah terbina beribu-ribu tahun lamanya. Mungkin nama Raja Manajekana dari Kerajaan Boni atau Sultan Abdul Majid Hassan ibni Sultan Muhammad Shah tidak disenaraikan di dalam salsilah pemerintahan Brunei namun amat bernilai sejarahnya di dalam memperkatakan keberadaan Kerajaan Brunei dahulu kala.
Rujukan:
1. The Sultan Who Died In China - Brunei Times
2. Tomb Of Sultan Abdul Majid Hassan in Nanjing, China
https://islaminchina.wordpress.com/2013/06/09/tomb-of-abdul-majid-hassan-in-nanjing/
3. Brunei Geneology
https://www.royalark.net/Brunei/brunei3.htm
4. Kerajaan Brunei Tua - Borneo Oracle