LAPANGAN TERBANG LAMA BINTULU
LAPANGAN TERBANG LAMA BINTULU - Lapangan Terbang Paling Dekat Dengan Bandar Guiness World Book of Records 1981
DI dalam peta dunia kuno hasil kartografi orang Portugis yang diterbitkan pada kurun ke-16 masihi dikenali dengan nama “River De Burulu”. Manakala menurut penceritaan tempatan ianya diambil bersempena dengan perkataan “Mentu Ulau” iaitu salah satu tradisi masyarakat tempatan yang masih mengamalkan tradisi potong kepala bagi perluasan wilayah suatu waktu dahulu. Itulah antara penceritaan sejarah bagaimana Bintulu mendapat nama iaitu salah satu bahagian pembentuk Sarawak Bumi Kenyalang yang kita kenali sekarang.
Bintulu itu bandar yang cukup bersejarah kerana disinilah suatu waktu dahulu diadakan buat pertama kalinya Majlis Umum (General Council) untuk Kerajaan Sarawak Kingdom iaitu pada tanggal 8 September 1867. Selain daripada itu sehingga sekarang Bintulu juga menjadi nadi penting untuk sumber ekonomi Malaysia iaitu cecair gas aslinya yang menjadikan Bintulu juga menjadi antara wilayah di Sarawak yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Disebalik ceritanya Bintulu ini, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa lapangan terbang Bintulu juga mempunyai pensejarahannya yang unik di mata dunia suatu waktu dahulu. BTU itulah kod penerbangan untuk Lapangan Terbang Bintulu di dalam dunia penerbangan antarabangsa. Jangan pandang sebelah mata keupayaan sebuah lapangan terbang yang kecil ini kerana sudah terbukti mampu menerima pesawat-pesawat besar dari dahulu sehingga sekarang.
Menguak pintu sejarah pembinaan Lapangan Terbang Bintulu ini bermula pada awal tahun 1934 lagi. Pada ketika itu pemerintahan Brooke telah memandang jauh ke depan bagi memastikan Bintulu berupaya untuk dihubungi dengan dunia luar selain daripada laut dan darat. Namun begitu akibat daripada kekurangan dana maka ianya hanya siap sekitar tahun 1937.
Dan tanpa kita juga mengetahui walaupun Lapangan Terbang Bintulu disiapkan pada tahun 1937 namun ianya tidak pernah menerima penerbangan untuk orang awam sebaliknya lebih kepada pesawat tentera milik British kerana Sarawak Kingdom tidak pernah mempunyai keupayaan pertahanan udara pada masa itu. Dan dek kerana itulah apabila Perang Dunia Ke-2 merebak sehingga ke Sarawak pada tahun 1943 menyaksikan lapangan terbang Bintulu musnah teruk dibom oleh Tentera Udara Jepun. Segalanya dilakukan bagi memastikan kesemua komunikasi Bintulu dengan dunia luar terputus sama sekali pada waktu itu.
Setelah Sarawak Kingdom bertukar tangan menjadi salah satu jajahan Koloni British Borneo pada tahun 1949 pula menyaksikan lapangan terbang Bintulu dibina semula. Ianya hanya siap sepenuhnya pada tahun 1955. Pada tanggal 1 September 1955 menyaksikan lapangan ini mempunyai ruang mendarat jenis berumput yang membenarkan pesawat jenis Havilland DH.89 Dragon Rapid dan Scottish Aviation Twin Pioneer milik Borneo Airways membuat pendaratan sulungnya disini.
Tahun demi tahun sejajar dengan perkembangan dunia aero angkasa pada masa itu menyaksikan lapangan terbang Bintulu semakin sibuk menerima pendaratan pelbagai jenis pesawat. Dengan adanya inovasi di dunia penerbangan akhirnya pada tahun 1966 iaitu di ketika Sarawak sudahpun membentuk Gagasan Malaysia maka terbinalah satu ruang pendaratan berbitumen serta pembesaran bangunan terminal bagi menampung jumlah penumpang dan bagasi yang semakin bertambah.
Di ketika Borneo Airways sudah diambilalih oleh Malaysia-Singapore Airline iaitu pada tahun 1981 menyaksikan sekali lagi lapangan terbang Bintulu diubahsuai bagi mempersiapkannya untuk menerima pendaratan pesawat lebih besar iaitu dari jenis Fokker 27 dan Fokker 50. Kedua-dua jenis pesawat memerlukan ruang pendaratan yang lebih panjang dan lebar dari kebiasaannya. Dan setelah siapnya menjadikan lapangan terbang Bintulu pada masa itu amat sibuk seperti lapangan terbang Kuching juga.
Dan oleh kerana ianya sudah terkenal di mata dunia pada waktu itu maka pada tahun 1981 itulah Lapangan Terbang Bintulu diiktiraf sebagai satu lapangan terbang yang paling dekat dengan bandar di dunia melalui pengiktirafan Guinness World Book of Records. Walaupun sekarang lapangan terbang Bintulu bukan lagi pemegang rekod dunia namun ianya tetap melakar sejarahnya yang tersendiri walaupun terletak di Pulau Borneo. Sekarang rekod untuk lapangan terbang paling dekat dengan bandar di dunia masih lagi dipegang oleh Heathrow Airport, London, United Kingdom sejak di tahun 2012 lagi.
Walaupun lapangan terbang lama Bintulu sudah tidak digunakan lagi iaitu sejak di tahun 2002 telah membenarkan satu lapangan terbang Bintulu yang baru dibina berdekatan dengannya namun signifikasi sejarahnya dilupa jangan. Ianya berguna untuk pengetahuan kita semua sebagai rakyat Sarawak di dalam mengenang sejarah beberapa kawasan strategik di bumi Sarawak itu sendiri.
Rujukan:
1. Borneo Post, 16 September 2014 - Reminiscing the old Bintulu 2. Bintulu Revolvy - www.revolvy.com/main/index.php?s=Bintulu 3. Guinness Book of World Records 1981: Norris McWhirter - Amazon.com