HINAVA GINAPAN
HINAVA GINAPAN
- “Sashimi” Tradisional Kaum Kadazan-Dusun, Sabah
SEANTERO dunia mempunyai hidangan “sashimi” tradisional yang sentiasa menghiasi dunia kulinari sejagat. Manakala Hinava walaupun namanya seakan-akan sebutan dari negara-negara eropah seperti Itali namun inilah “sashimi” tradisional yang popular dari dahulu sehingga sekarang bagi masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah.
“Salad Ikan” itulah nama lainnya kerana asas kepada pembuatannya adalah isi ikan segar. Kemudian dicampur lagi dengan biji buah bambangan yang telah diparut, dimasukkan cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam secukup rasa. Dan perlulah diketahui bahawa “Hinava” ini langsung tidak dimasak sebaliknya hanya diperam dalam waktu yang singkat dengan menggunakan perahan jus lima samada limau nipis mahupun limau kasturi bagi memberi kesan yang lebih. Inilah cara pembuatan tradisional Hinava yang mampu mengecurkan airliur hanya dengan membaca resipinya inikan pula apabila memakannya.
Jika bagi kaum Melanau Sarawak mempunyai satu hidangan tradisi iaitu umai yang mana mempunyai signifikasi bersejarah di dalam memperkatakan penghidupan mereka sebagai nelayan suatu waktu dahulu maka begitulah juga sejarah kulinari bernama Hinava bagi masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah. Diceritakan kulinari ini diterbitkan di ketika kaum Kadazan-Dusun yang terkenal dengan sumber penanaman padi suatu waktu dahulu.
Bekalan makanan untuk dibawa ke huma atau bendang kebiasaannya yang ringkas dan mudah. Oleh kerana itulah kulinari Hinava ini sentiasa menjadi bekalan utama bagi mereka. Dimakan dengan nasi panas-panas atau ambuyat sudah tentu akan menambah selera setelah penat berhempas pulas mengerjakan huma mereka.
Itu ceritanya suatu waktu dahulu namun sekarang kulinari tradisional ini telah melangkaui batas waktu kerana ianya juga menjadi hidangan popular di musim perayaan berlangsung mahupun majlis-majlis perkahwinan atau pertunangan kaum Kadazan-Dusun. Dan keistimewaan serta keunikannya juga telah berjaya menambat hati pemilik-pemilik hotel bertaraf 5 bintang kerana turut disajikan di restoren-restoren mewah mereka.
Inilah Hinava Ginapan, satu kulinari tradisional kaum Kadazan-Dusun di Sabah yang hanya disediakan “segar-segar” sahaja sehingga sekarang. Boleh dikatakan banyak menu tradisional masyarakat di Borneo terlalu istimewa sehingga mampu menjadi “trademark” kepada kaumnya di pentas kulinari dunia.