PERANG “GANYANG MALAYSIA” DI TEBEDU, 12 APRIL 1963
PERANG “GANYANG MALAYSIA” DI TEBEDU, 12 APRIL 1963
KONFRONTASI Indonesia dan Malaysia dilabelkan sebagai satu perang yang tidak perlu di dalam persejarahan dunia. Ini kerana ianya sepatut berjaya dielakkan namun akibat daripada adanya keegoan daripada pemimpin negara jiran maka episod hanya cakap-cakap mulut akhirnya bertukar menjadi satu pertumpahan darah bagi kedua-dua negara.
Menyelusuri sejarahnya menyaksikan peristiwa perang “Ganyang Malaysia” berlaku di Sarawak iaitu di Long Jawi @ Long Jawe, Belaga pada tanggal 28 Disember 1963. Dan tanpa kita mengetahui sebenarnya tembakan pertama untuk siri perang “Ganyang Malaysia” juga berlaku di bumi Sarawak iaitu pada tanggal 12 April 1963 di Tebedu iaitu kira-kira 40 km daripada ibukota Kuching. Di Tebedu inilah sehingga sekarang merupakan pekan kecil yang mana lokasinya adalah betul-betul terletak di perbatasan antara Kalimantan/Sarawak.
Menguak pintu sejarah peristiwa tembakan pertama perang “Ganyang Malaysia” ini adalah diketika rakyat sedang menyambut “Good Friday” iaitu pada tanggal 12 April 1963. Kejadian yang tidak disangka itu dikatakan berlaku sekitar jam 1.30 pagi dan hanya ada 3 anggota polis yang bertugas di Balai Polis Tebedu pada ketika itu. Diketika itu, Koperal John Ramek baru sahaja masuk melapor diri bagi menggantikan seorang lagi anggot polis yang tamat tugasan di “Charge Room”.
Tanpa disangka di dalam dia baru sahaja hendak memulakan tugasnya itulah kelibat 10 orang berpakaian celoreng sudahpun menghampiri kawasan tempat dia bertugas. Tanpa mampu bersedia apa-apa, Koperal John Ramek diserang hendap dengan militia Indonesia meluru masuk ke balai. Beliau telah ditembak bertubi-tubi sehingga akhirnya beliau meninggal dunia di tempat kejadian. Menurut sejarahnya, Koperal John Rameklah bunga bangsa yang gugur buat pertama kalinya di dalam rentetan sejarah perang “Ganyang Malaysia”.
Usai berjaya membunuh Koperal John Ramek, dikatakan militia Indonesia telah menggeledah balai polis Tebedu sehingga ke bilik senjata mereka. Tanpa berlengah militia Indonesia telah mengambil segala senjata yang ada. Di samping itu 2 orang anggota polis iaitu rakan Koperal John Ramek yang bertugas sama pada hari itu langsung tidak berpeluk tubuh. Sebaliknya mereka bangun mengangkat senjata membuat apa sahaja untuk mempertahankan balai mereka.
Disinilah dikatakan episod berbalas tembakan terjadi yang mana menyaksikan militia Indonesia berjaya mencederakan 2 orang anggota polis. 10 orang militia Indonesia melawan 2 orang anggota polis mungkin bagi kita tidak adil tetapi itu bukan persoalannya kerana biar putih tulang jangan putih mata, kedua-dua anggota polis ini tetap mempertahankan balai mereka.
Diceritakan apabila melihat kedua-dua anggota polis ini cedera iaitu seorang di lengan kanan manakala seorang lagi di telinga dan paha kanan, militia Indonesia telah meninggalkan Balai Polis Tebedu bersama-sama dengan 13 laras senapang, 2 laras Sterling 9mm Sub Machine Gun (SMG), sepucuk revolver, selaras Bren Gun, selaras Greener Gun, 3 laras senapang patah, sepucuk Verey Light pistol dan 85 butir peluru pelbagai jenis.
Belum cukup puas dengan kejayaan mereka, militia Indonesia turut dikatakan telah melepas tembakan dengan menyasarkan unit berek kediaman yang juga berada di dalam kawasan balai. Namun anggota polis yang tidak bertugas pada masa aitu tidak membalas tembakan kerana senjata mereka kesemuanya diletakkan di dalam bilik senjata Balai pada masa itu. Dengan hanya menggunakan parang dan sebagainya yang ada di rumah pada masa itu mereka cuba melindungi keluarga yang ada di berek kelamin.
Nasib amat menyebelahi anggota polis dan keluarga mereka yang tinggal di berek kelamin kerana militia Indonesia tidak menggila sehingga hendak membakar berek tersebut. Sekiranya ia berlaku sudah tentu kemusnahan harta benda mahupun nyawa yang lebih besar akan berlaku. Difahamkan di waktu kejadian ada lebih kurang 80 nyawa yang berada di berek kediaman pada masa itu.
Di dalam kesamaran malam yang pekat akhirnya 10 anggota militia Indonesia berjaya meloloskan diri dengan membawa segala senjata rampasan mereka. Sekitar jam 2.30 pagi barulah berita mengenai balai polis Tebedu diserang dikhabarkan menerusi pesanan wireless kepada balai polis di Serian iaitu diterima oleh Inspektor Aba Huk dari pasukan Sarawak Constabulary dengan ketuanya adalah ASP Johnicol Kassim.
Dengan semangat yang kental tanpa memperdulikan nyawa mereka menjadi taruhan, Inspektor Aba Huk telah menggerakkan satu seksyen yang terdiri dari anggota polis hutan ke lokasi Balai Polis Tebedu. Perjalanan ke Tebedu pada waktu itu bukanlah seperti sekarang sebaliknya harus menggunakan kenderaan land rover melalui kawasan Tebakang dan seterusnya berjalan kaki selama 8 jam.
Perjalanan jauh bukan satu alasan dan pasukan bantuan terus menyelusuri denai sehingga ke Tebedu. Dan pada ketika itulah dikhabarkan Inspektor Aba Huk telah memohon penduduk perkampungan di sepanjang perjalanan mereka untuk bersiapsiaga dengan mereka bagi memastikan perjalanan mereka selamat. Ternyata penduduk perkampungan di sepanjang Tebedu telah menyahut seruan mereka dengan keluar dari rumah mereka bersiaga sepanjang perjalanan untuk memastikan bahawa bantuan ini selamat sampai ke destinasinya.
Diceritakan perjalanan untuk ke Tebedu pada masa itu mengambilmasa selama 2 hari. Walau di dalam keletihan namun keselamatan adalah hal yang paling utama. Tanpa berlengah pasukan polis hutan telah bertindak mengawal seluruh kawasan perimeter Balai Polis Tebedu. Kesemua anggota polis dan keluarga mereka telah diarahkan untuk mengosongkan balai dan berek kediaman. Mereka dibantu sepenuhnya oleh penduduk perkampungan Tebedu yang bermurah hati menghulurkan tangan bagi memastikan kesemua mereka selamat sampai ke Serian dan seterusnya dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Usai proses pemindahan akhirnya Balai Polis Tebedu dikawal sepenuhnya oleh Pasukan Polis Hutan. Seminggu kemudian barulah Komando Elit British dari Pasukan Komando ke-40 Marin Diraja diterbangkan dengan menggunakan helikopter ke lokasi Balai Polis Tebedu. Kekuatan komando British seramai 60 orang itu menambahkan lagi kekuatan di Balai Polis Tebedu. Ini semua bagi memastikan tiada kejadian serangan berulang disamping menjamin keselamatan penduduk di sekitar perkampungan di Tebedu pada masa itu.
Menurut sumber risikan daripada anggota keselamatan, sebenarnya serang hendap daripada militia Indonesia ke atas Balai Polis Tebedu ini sudahpun dirangka bertahun-tahun lamanya. Dikatakan anggota militia Indonesia ini sudahpun menyelinap masuk di dalam komuniti masyarakat di Tebedu jauh lebih lama. Kadang-kadang mereka menjadi peniaga di pasar dan berhubung baik dengan masyarakat setempat sambil memerhati setiap gerak geri anggota polis di Balai Polis Tebedu.
Dek kerana itulah walaupun pihak polis mengetahui setiap gerakan mereka sememangnya diperhatikan namun bila dan ketikanya pihak militia itu akan menyerang amat sukar untuk dipastikan. Oleh kerana terletak di kawasan sempadan maka usaha mengecam wajah militia Indonesia dan masyarakat tempatan juga sukar kerana hampir sama baik dari segi bahasa mahupun cara berpakaian.
Di dalam serang hendap Balai Polis Tebedu ini juga menyaksikan seolah-olah pihak militia Indonesia sengaja ingin mencabar anggota keselamatan di Sarawak kerana dikatakan sebelum berjaya meloloskan diri, mereka telah meninggalkan beberapa keping gambar tentera militia Indonesia dan satu “shoulder patch” logam yang tertulis “TNKU” serta “BAT-X” sebagai bukti bahawa mereka bangga telah menyerang Balai Polis Tebedu.
Inilah pensejarahan yang mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di dalam sejarah “Perang Ganyang” Malaysia di ketika konfrontasi Malaysia/Indonesia dari tahun 1963-1966, tembakan pertama dan korban yang pertama berlaku di Tebedu iaitu Balai Polis Tebedu pada tanggal 12 April 1963. Disinilah seorang anggota polis dari Sarawak Constabulary yang juga anak Sarawak bernama Koperal John Ramek, gugur sebagai bunga bangsa mempertahankan tanahairnya.
Lest We Forget!
Rujukan:
1. Konfrontasi Indonesia-Malaysia Di Sarawak
http://min-def.blogspot.my/2013/07/konfrontasiindonesia-malaysia-di.html
2. Kampung Tepoi, Tebedu, Budaya, Adat Dan Sejarah Sarawak Facebook page
3. Samarahan; Dari Kampung Terpencil ke Desa Ilmu - Pejabat Residen Samarahan
4. Konfrantasi Indonesia Malaysia - Borneo Oracle