top of page

YANG DI-PERTUAN AGONG KE-15 MALAYSIA


YANG DI-PERTUAN AGONG KE-15 MALAYSIA - SULTAN MUHAMMAD V


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong merupakan gelaran rasmi bagi Ketua Negara Malaysia yang mana ianya adalah berdasarkan kepada sistem raja berpelembagaan semenjak Malaysia dibentuk pada tahun 1963. Pemilihannya pula berdasarkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang dianggotai sepenuhnya oleh 9 Raja Melayu dan 4 Yang Dipertua Negeri di Malaysia.


Peranan Yang Di-Pertuan Agong adalah luas namun masih tertakluk kepada perlembagaan Malaysia. Maka disinilah Yang Di-Pertuan Agong akan mempunyai kuasa eksekutif iaitu untuk melaksanakan sebarang titah berdasarkan kepada nasihat jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia.


Merujuk kepada Artikel 40 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa sebagai Ketua Negara, Yang Di-Pertuan Agong berhak untuk melantik siapa yang wajar dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak terikat kepada keputusan Perdana Menteri sekiranya tiada parti politik yang memenangi undi majoriti sewaktu pilihanraya. Walau bagaimanapun ianya juga tidak membenarkan hak dan kuasa untuk menyingkirkan Perdana Menteri.


Kuasa eksekutifnya juga disebutkan di dalam Artikel 40, Artikel 55 dan Artikel 43 Perlembagaan Malaysia iaitu berkaitan dengan pembubaran dan menghentikan Parlimen. Dan di dalam Artikel 66 pula membicarakan bagaimana kuasanya seorang Yang Di-Pertuan Agong di dalam menolak undang-undang baru atau sebarang pindaan rang undang-undang sedia ada yang mana sekiranya tiada keputusan akhir mampu dibuat maka secara automatik akan menjadi undang-undang selepas 30 hari dari perbentangan awal.

Sejak Malaysia ditubuhkan pada tanggal 16 September 1963 sehingga sekarang, Negara Malaysia telahpun mempunyai 15 orang Yang Dipertuan Agong yang mana setiap satu daripadanya akan berkhidmat sebagai Ketua Negara selama 5 tahun. Dan pada 24hb April 2017 ini merupakan hari pertabalan Yang Di-Pertuan Agong yang ke-15 Malaysia iaitu Sultan Muhammad V dari negeri Kelantan Darul Naim.



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V


Dilahirkan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Kota Bharu, Kelantan merupakan Sultan negeri Kelantan yang ke-29. Mula dimasyhurkan sebagai sultan pada tanggal 13 September 2010 (4 Syawal 1431 Hijrah) merupakan sebelumnya adalah Tengku Mahkota Kelantan dan bergelar Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Putera sulung di dalam 4 adik beradik hasil perkahwinan Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dengan Raja Perempuan Kelantan iaitu Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid. 3 orang adinda baginda adalah YM Tengku Muhammad Faiz Petra (sekarang Tengku Mahkota Kelantan), YM Tengku Muhammad Fakhry Petra dan YM Tengku Amalin Aishah Putri.


Dibesarkan di negeri kelahirannya menyebabkan baginda mendapat pendidikan awalnya di Kota Bharu, Kelantan. Kemudian baginda turut menyambung pelajarannya di Kuala Lumpur dan seterusnya ke Oakham Schoold Rutland, England sehingga tahun 1989. Selepas itu atas keinginannya untuk mendalami ilmu Islam sejagat maka sekali lagi baginda berangkat ke luar negara untuk menyambung pengajiannya di dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan seterusnya ke Oxford Centre bagi Pengajian Islam sehingga tahun 1991.


Sebagai seorang putera raja dan bakal mewarisi legasi pemerintahan Negeri Cik Wan Kembang ini sememangnya sudah terbiasa dengan penglibatan baginda di dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan. Baginda juga turut aktif di dalam melibatkan diri di dalam dunia keselamatan dan ketenteraan sehingga dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah Malaysia berpangkat Brigedier Jeneral (Kehormat).


Sultan Muhammad V terkenal dengan jolokan seorang raja yang berjiwa rakyat di negeri Kelantan Darul Naim. Baginda disayangi oleh rakyat jelatanya kerana sifat baginda yang begitu merendah diri serta sering mengutamakan kebajikan rakyatnya. Mudah membahasakan diri sebagai “saya” atau “kita” menyebabkan baginda sentiasa dekat dengan rakyat jelatanya.


Inilah antara contoh seorang Raja Melayu yang begitu merendah diri dan sering melawan protokol apabila baginda menemui rakyat jelatanya. Seorang yang ringkas di dalam segalanya dan sudah menjadi perkara biasa di Kelantan jika melihat baginda hanya mengenakan pakaian biasa seperti berjubah putih atau berkain pelikat ketika bertandang menemui rakyatnya.


Kita sering mendengar laungan “Daulat Tuanku” apabila seorang raja ada di kalangan rakyatnya namun untuk baginda Sultan Muhammad V pula telah menukar segala protokol itu di negeri Kelantan. Baginda hanya mahu laungan “Allahuakbar” dilaungkan agar rakyatnya di negeri Kelantan akan bersama-sama mendapat pahala apabila laungan itu disebutkan.


Berbicara soal rumahtangga pula, dikatakan Baginda pernah berumahtangga sebelum ini namun jodohnya terhenti di tengah perjalanan. Tidak dikurniakan sebarang cahayamata menjadikan Sultan Muhammad V merupakan satu-satunya Sultan di negeri-negeri Tanah Melayu yang masih “bujang” sehingga sekarang.


Yang Di-pertuan Agong Malaysia merupakan salah satu lambang sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia. Antara keunikan yang sehingga sekarang tetap dijaga seperti utuhnya kesepaduan rakyat di dalam Gagasan Malaysia. Daulat Tuanku!




Rujukan:


1. Portal Rasmi Parlimen Malaysia - Senarai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia

2. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Kelantan

3. The Star, 14 Oktober 2016 - Kelantan Sultan Is Malaysia’s 15th Yang Di-Pertuan Agong

bottom of page