ESCA BROOKE-DAYKIN
ESCA BROOKE-DAYKIN
- Individu Yang “Digelapkan” Sejarahnya Oleh Brooke Di Sarawak
SETIAP ceritera sejarah lebih-lebih lagi apabila kita menggodek kisah zaman silam pemerintahan lama sudah tentu ianya akan diwarnai dengan cerita baik dan juga antagonis. “Sejarah Itu Ditulis Oleh Mereka Yang Menang” pula membawa maksud banyak cerita sejarah hanya diwar-warkan kepada umum tentang yang enak-enak sahaja. Sedangkan hakikatnya mesti ada cerita yang tidak baik di dalam mewarnai pensejarahan lamanya.
Dan begitulah juga apabila kita berbicara mengenai pemerintahan 3 orang “Rajah Putih” yang pernah memerintah Sarawak sebelum diserahkan menjadi salah satu jajahan Koloni British Borneo pada tahun 1946. Pemerintahan lebih 100 tahun Keluarga Brooke di Sarawak juga mempunyai beberapa cerita sejarah yang cuba digelapkan agar ianya tidak menampakkan kelemahan mereka di dogma pemikiran rakyat Sarawak suatu waktu dahulu.
Umum mengetahui bahawa Sir Charles Brooke, Rajah ke-2 Sarawak mempunyai seorang isteri yang bernama Margaret Alice Lili de Windt atau Ranee Margaret Brooke. Mereka berkahwin pada tanggal 28 Oktober 1869 di Highworth, Wiltshire, United Kingdom. Hasil perkahwinan ini telah mengurniakan 6 orang cahayamata yang mana 3 daripadanya telah meninggal dunia ketika di dalam pelayaran pulang ke United Kingdom pada tahun 1873. Manakala 3 orang lagi dibesarkan di Sarawak dan salah seorang daripadanya iaitu Charles Vyner Brooke merupakan Rajah Ke-3 Sarawak selepas kematian Sir Charles Brooke.
Itu cerita sejarah yang diketahui ramai namun di sebalik cerita ini sebenarnya Sir Charles Brooke mempunyai seorang lagi anak yang jika difikirkan secara rasional, beliaulah yang sepatutnya mewarisi legasi pemerintahan Brooke. Ini kerana beliaulah anak yang paling sulung di dalam keluarga Brooke pada ketika itu. Namun atas sebab-sebab tertentu, kemunculan seorang anak ini tidak diiktiraf oleh keluarga Brooke pada masa itu.
Dilahirkan dengan nama Ishaka Brooke @ Ishak Brooke pada tahun 26 Ogos 1867 di Simanggang, Sarawak merupakan anak sulung kepada Tuan Muda Charles Brooke dengan seorang wanita tempatan iaitu yang bernama Dayang Mastiah binti Abang Aing. Beliau merupakan anak gadis kepada seorang individu “Melayu Perabangan” yang tersohor di Simanggang suatu waktu. Dayang Mastiah mempunyai seorang abang yang bernama Abang Arif bin Abang Aing yang juga merupakan seorang penjawat awam Sarawak Kingdom iaitu Senior Native Officer untuk Fort Lubok Antu.
Mengikut ceritanya Tuan Muda Charles Brooke terpikat dengan gadis Melayu ini yang mempunyai kecantikan Melayu asli. Apabila dua hati sudah bersatu maka dizahirkan dengan ikatan perkahwinan namun oleh kerana status Tuan Muda Charles Brooke menyebabkan perkahwinan ini tidak diwar-warkan kepada umum. Dan kelahiran putera sulung iaitu yang diberikan nama Ishaka Brooke telah memungkinkan ianya bukan satu rahsia pada masa itu.
Dikatakan oleh kerana Tuan Muda Charles Brooke adalah bakal pengganti Sir James Brooke maka pihak Gereja di Sarawak mahupun di United Kingdom menentang hubungan kekeluargaan ini demi menjaga nama baik Brooke pada masa itu. Perlulah difahami bahawa bukan senang untuk memecahkan tembok hirarki mengenai taraf masyarakat Eropah dengan penduduk tempatan suatu waktu dahulu biarpun Brooke mengwar-warkan tiada tembok pemisah antara orang Eropah dan masyarakat tempatan namun stigma pemikiran itu tetap ada.
Ishaka dibesarkan oleh ibunya iaitu Dayang Mastiah seperti kanak-kanak Melayu yang lain di Kuching, Sarawak yang hanya sekali sekala dijenguk ayahnya Sir Charles Brooke. Namun apabila Sir Charles mengahwini Ranee Margaret Brooke dan membawanya pulang ke Sarawak pada tahun berikut menyebabkan ada perkisahan yang tragik untuk Ishaka pada masa itu.
Menurut sumber menyatakan bahawa hanya di ketika Ranee Margaret menjejakkan kakinya di Kuching barulah beliau mengetahui bahawa beliau merupakan isteri ke-2 kepada Sir Charles pada masa itu. Seperti kebanyakan wanita di dunia sudah tentu tiada mana-mana wanita yang hendak dimadukan walaupun hakikatnya perkahwinannya adalah diiktiraf oleh Kerajaan Sarawak pada masa itu.
Dikatakan tentangan berterusan daripada Ranee Margaret kerana bimbang anaknya dengan Sir Charles Brooke tidak akan mewarisi legasi pemerintahan Brooke menyebabkan akhirnya Ishaka diambil dari jagaan ibunya iaitu Dayang Mastiah yang meninggal dunia pada tahun 1872 di Kuching. Kemudiannya diserahkan untuk menjadi anak angkat kepada seorang paderi yang bernama Reverend William Yate Daykin. Selepas itu, Reverend Daykin dan keluarganya berserta Ishaka telah diarahkan untuk berpindah ke Ontario, Kanada. Sejak itu Ishaka ditukar namanya menjadi Esca Brooke-Daykin.
Maka bermulalah episod perjalanan seorang anak hasil hubungan antara orang Eropah berstatus “Rajah” dengan Melayu Sarawak dibesarkan di Kanada. Esca mendapat pendidikan di Trinity College School, Port Hope dan kemudiannya dihantar untuk melanjutkan pelajarannya di Queen’s University of Kingston, Ontario, Canada. Dikatakan beliau sepanjang hidupnya tidak pernah diceritakan langsung mengenai perkaitannya dengan keluarga Brooke di Sarawak.
Namun untuk sebilangan komuniti elit yang mendiami Kanada mengetahui cerita beliau. Dek kerana itulah dikatakan Esca yang berkahwin dengan seorang wanita Kanada bernama Edith Webster Ottawa sentiasa mendapat perhatian daripada penduduk setempat di Kanada. Menurut apa yang ditulis oleh Cassandra Pybus di dalam sebuah buku berjudul White Rajah: The Dynasty Intrique menyatakan bahawa penghidupan Esca dan keluarganya di Kanada sentiasa berada di kalangan golongan elit kerana ramai antara keluarga ini sentiasa menantikan adanya pulangan atas “kemurahan hati” mereka berdamping dengan anak keluarga Inggeris yang menjadi seorang “Rajah” di Sarawak.
Sekitar tahun 2009, cerita mengenai seorang individu yang “digelapkan” sejarahnya ini di Sarawak kembali lagi menghiasi cerita sejarah Sarawak Bumi Kenyalang. Ini kerana ada seorang cicit kepada Esca Brooke-Daykin yang bernama Deborah Falls Lockhart, 54 tahun bersama-sama keluarganya telah cuba menjejaki keluarga neneknya iaitu Dayang Mastiah binti Abang Aing di Kuching. Malah kedatangan Lockhart dan keluaganya turut mendapat liputan akhbar tempatan di Sarawak pada masa itu.
Begitulah ceritanya seorang legasi keluarga Brooke yang bernama Ishaka Brooke (nama lahirnya) sebelum menjadi Esca Brooke-Daykin. Kewujudannya langsung tidak diletakkan di dalam warisan keluarga Brooke hanya kerana beliau adalah anak hasil hubungan dengan seorang wanita tempatan. Sekiranya ianya diiktiraf mungkin suatu waktu dahulu, Sarawak Kingdom mempunyai seorang “Rajah” di kalangan anak tempatan Sarawak sendiri.
Sejarah itu untuk kita kenang dan bukan bertujuan untuk mengangkat mana-mana individu kembali “menakluki” Sarawak. Setiap ceritera sejarah samada “putih” mahupun “gelap” sentiasa ada hikmahnya. Yang baik kita jadikan tauladan manakala yang buruk kita jadikan sempadan.
Rujukan:
1. White Rajah: A Dynastic Intrigue - Cassandra Pybus (Page 200 - 240)
2. Borneo Post 17 August 2009 by Doreena Naeg - Tracing Her Roots In Sarawak
3. The Canadian Rajah by Dave Carley Playwright http://davecarley.com/plays-full-length/canadian-rajah/
4. Historical Diversion: Rajah Brooke’s Lost Descendents
http://stjoe-form5in1976.blogspot.my/2009/08/historical-diversion-rajah-charles.html