DR. ALBERT KWOK FEN NAM
JEJAK PAHLAWAN SARAWAK: DR. ALBERT KWOK FEN NAM
INDIVIDU anak Sarawak yang ditampilkan kali ini menabur baktinya pada jiran tetangga Sarawak iaitu Sabah atau suatu waktu dahulu dinamakan Borneo Utara (North Borneo). Bukan calang-calang orangnya kerana beliau sanggup berjuang di ketika zaman Jepun memerintah Borneo suatu waktu dahulu. Ramai yang tidak mengenali perkisahannya dan lebih-lebih lagi beliau merupakan pemimpin utama kepada satu gerakan penentangan Jepun di Sabah yang dikenali sebagai Gerila Kinabalu yang gah namanya seperti juga Gerila Semut yang pernah ada di Sarawak suatu waktu dahulu.
Dilahirkan pada tahun 1921 di Kuching, Sarawak dengan nama sebenarnya Kwok Fen Nam merupakan anak kepada pasangan doktor gigi di Kuching. Pada usianya belasan tahun, dia telahpun dihantar oleh ayahnya untuk mendalami ilmu perubatan tradisional Cina di Negara Tembok Besar China. Umum mengetahui bahawa hubungan Jepun dengan China sememangnya bermusuh sejak sekian lama dan semangat anti-jepun itu telah meresap di jiwa masyarakat Cina di Negara Tembok Besar ini berabad lamanya.
Dan kerana itulah Albert Kwok juga turut terpalit dengan sentimen ini sehingga membenarkan beliau juga turut membenci Jepun sekembali beliau ke Kuching dan seterusnya menetap di Jesselton untuk mengembangkan perniagaan perubatan tradisionalnya di sana pada tahun 1940. Klinik perubatan tradisional Albert Kwok dikatakan agak popular di Jesselton sehingga membenarkan beliau mempunyai kenalan yang ramai baik daripada pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan di North Borneo sehinggalah ke wilayah Filipina yang merupakan jiran tetangga kepada North Borneo.
Segalanya berubah apabila Jepun mula menduduki North Borneo ketika Perang Dunia Kedua berlangsung dan kerakusan tentera Jepun telah menyebabkan operasi klinik perubatan tradisionalnya turut disekat dengan segala macam perkara pada ketika itu. Dengan menggunakan pengaruh dan kepercayaan bersama-sama dengan dokongan kuat daripada pemimpin masyarakat North Borneo inilah Albert Kwok menubuhkan satu pasukan gerila yang dikenali sebagai Gerila Kinabalu.
Gerila Kinabalu merupakan satu pasukan yang terdiri daripada lebih kurang 300 orang daripada pelbagai etnik dan agama North Borneo untuk menentang kekejaman tentera Jepun di North Borneo. Ditubuhkan selang beberapa minggu selepas pendudukan Jepun di North Borneo sekitar Disember 1942. Keanggotaan Gerila Kinabalu ini bukan hanya pada masyarakat Cina di North Borneo khususnya yang mendiami Jesselton pada masa itu sebaliknya turut dianggotai oleh sekumpulan masyarakat etnik North Borneo yang berjiwa kental. Pemimpin-pemimpin tempatan seperti Jules Stephen (Kadazan), Mustapha Harun (Bajau), Panglima Ali serta ramai lagi turut bersatu hati memerangi kekejaman Jepun ke atas rakyat North Borneo pada masa itu.
Seperti Komando Semut yang mendapat latihan taktikal ketenteraan daripada pasukan askar Komanwel, Gerila Kinabalu turut sama diberikan latihan yang sama iaitu daripada pasukan tentera di wilayah Filipina mahupun daripada askar komanwel sendiri. Disinilah peranan Lieutenant-Colonel Francis George Leach “Gort” Chester yang merupakan seorang anggota tentera British dari unit Z Special turut memberikan buah fikirannya. Selain daripada itu, Gerila Kinabalu juga mendapat bantuan daripada kumpulan anti-Jepun di wilayah Filipina.
Oleh kerana Chester merupakan antara anggota tentera daripada unit risikan maka beliau sering berpindah randah dari satu tempat ke tempat lain. Dan dikatakan kemuncak kepada Peristiwa Double Tenth oleh Gerila Kinabalu diluar pengetahuan beliau kerana segalanya sudahpun diatur terlebih dahulu oleh Albert Kwok dan pemimpin tempatan yang lain. Namun begitu kejayaan Peristiwa Double Tenth itu tetap menjadikan Jepun “gentar” dengan semangat juang anak tempatan pada masa itu.
Peristiwa Double Tenth merupakan satu perang yang dilancarkan oleh Gerila Kinabalu ke atas tentera Jepun yang bermaharajalela di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang). Ianya dilancarkan pada tarikh 10 Oktober 1943 (10/10) dan perang yang dilancarkan ini telah menggoyah kedudukan tentera Jepun di Jesselton pada masa itu. Titik tolak kepada perang yang dilancarkan ini adalah sebenarnya bermula pada Oktober 1943 apabila melalui intipan mereka dikatakan tentera Jepun mempunyai perancangan untuk menangkap lebih kurang 2000 anak tempatan North Borneo. Dikatakan kesemua anak muda lelaki hendak dijadikan sebagai buruh bagi membangunkan infrastruktur yang musnah teruk sewaktu perang berlangsung. Bukan itu sahaja, rancangan Jepun untuk menangkap anak gadis tidak kira daripada etnik bagi dijadikan “hamba seks” tentera Jepun juga turut membuatkan semangat mereka untuk membunuh Jepun di North Borneo membuak-buak.
Pada 9 Oktober 1943, Gerila Kinabalu melancarkan serangan pertama ke atas tempat-tempat strategik tentera Jepun di pekan Tuaran dan Menggatal. Amukan mereka berjaya membunuh hampir 50 orang tentera Jepun serta beberapa orang awam yang bersekongkol dengan Jepun selama ini. Mereka berjaya menawan balai polis Tuaran dan Menggatal pada masa itu. Kemudian keesokannya iaitu pada tanggal 10 Oktober 1943, Gerila Kinabalu dengan semangat yang meluap-luap dan penuh strategi sudah mula memasuki Jesselton. Mereka menyerang daripada sebelah persisiran laut yang mana pada masa itu terdapat beberapa gudang untuk menyimpan tentera Jepun di Jesselton berada. Mereka membakar gudang tersebut sehingga menjadi abu dan membuatkan tentera Jepun tidak terdaya menyelamatkan apa-apa.
Dengan bersenjatakan parang, tombak dan semangat yang kental, Gerila Kinabalu terus mengamuk di Jesselton dan berlakulah perang darat dengan anggota tentera Jepun. Walaupun mereka tidak mempunyai banyak senapang seperti tentera Jepun, namun mereka berjaya membunuh kira-kira 60 hingga 100 nyawa tentera Jepun di Jesselton. Akibat daripada serangan ini menyebabkan Jepun di North Borneo memohon bantuan ketenteraan dari Kuching. Setelah beberapa ketika bantuan dari Kuching sampai dan memaksa Gerila Kinabalu meninggalkan Jesselton dan Tuaran. Mereka berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil dan berundur di kawasan berbukit bukau di Menggatal.
Jepun telah menggunakan pelbagai taktik untuk menangkap setiap anggota Gerila Kinabalu. Taktik kotor mereka ini termasuklah membuat penyiksaan kepada kaum keluarga tidak mengira muda atau tua, lelaki atau wanita yang mempunyai pertalian dengan anggota Gerila Kinabalu. Tidak tertahan melihat kaum keluarga mereka disiksa ditambah lagi dengan kekurangan bantuan makanan serta kekurangan ilmu perang moden menyebabkan akhirnya 2 bulan kemudian iaitu pada 19 Disember 1943, Gerila Kinabalu berjaya ditangkap oleh tentera Jepun. Dan disebabkan adanya penentangan inilah yang menyebabkan pusat pemerintahan tentera Jepun yang pada mulanya beroperasi di Kuching, Sarawak telah dipindahkan ke Jesselton, North Borneo selepas peristiwa serangan tersebut.
Siapa tidak kenal dengan kejamnya hukuman Jepun ketika mereka berkuasa di mana-mana wilayah sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung. Dan inilah juga yang terjadi kepada mana-mana penentang mereka termasuklah Gerila Kinabalu itu sendiri. Setelah dipenjara di Penjara Batu Tiga akhirnya pada 21 Januari 1944, telah dijalankan hukuman pancung sampai mati di Petagas, Putatan ke atas Albert Kwok dan 176 anggota Gerila Kinabalu yang lain. Ini termasuklah Li Tet Phui, Jules Stephens, Charles Peter, Panglima Ali, Chan Chau Kong, Kong dan Kong Tze Phui. Ada sesetengah penceritaan sejarah mengatakan ada juga dikalangan mereka ini tidak dipancung sebalik ditembak dengan mesin gan mahupun ditikam dengan bayonets sehingga mati.
Dalam pada itu selebih Gerila Kinabalu dihukum penjara di Labuan dan selepas itu tiada berita mengenai untung nasib mereka sehinggalah pada tahun 1949 telah digali semula kubur mereka di Labuan dan dikuburkan di Petagas iaitu tempat persemadian kekal kesemua anggota Gerila Kinabalu. Dikatakan hanya 14 orang sahaja anggota Gerila Kinabalu yang benar-benar dipastikan hidup selepas sahaja Jepun menyerah diri di Borneo akibat daripada pengeboman Nagasaki dan Hiroshima oleh tentera perikatan pada tahun 1945.
Inilah alkisahnya seorang pahlawan kelahiran Sarawak yang telah menabur keringatnya demi perjuangan untuk membebaskan North Borneo daripada belenggu Jepun suatu waktu dahulu. Tiada yang begitu mengenali namanya di Sarawak namun beliaulah antara anak Sarawak yang terlerai kepalanya daripada badan akibat hukuman pancung dari tentera Jepun yang begitu gerun dengan kebangkitan rakyat di Sabah atas pemerintahan mereka.
Lest We Forget!
Rujukan:
1. Author: Stephen R. Evans – Sabah Under The Rising Sun Government, Malaysia. Published 1999. 2. Author: Danny Wong Tze Ken – Historical Sabah: The War. Opus Publications, Kota Kinabalu 2010.
3. Daily Express 7/11/2015 - Albert Kwok Daring Raid
http://www.dailyexpress.com.my/news.cfm?NewsID=104388
4. Sejarah Malaysia - Peristiwa Double Tenth - http://themalaysianpatriot.blogspot.my/2016/10/sejarah-malaysia-peristiwa-double-tenth.html