LEGENDA RANG DUNGO DAN “TERUR ECO”
LEGENDA RANG DUNGO DAN “TERUR ECO”
- Cerita Legenda Di Kalangan Masyarakat Lundayeh
MASYARAKAT Lundayeh bukan sahaja ada di Sarawak malah mereka juga sebenarnya bertebaran di seluruh Pulau Borneo samada di Sabah, Brunei mahupun di Kalimantan itu sendiri. Walaupun sudah berbeza dari segi tempat tinggal namun mereka masih tetap lagi berkongsi warisan dan tradisi yang sama dan ini termasuklah cerita-cerita legenda yang menjadi penghias cerita oral di dalam masyarakat mereka.
Jika kita berbicara mengenai cerita legenda hampir keseluruhan masyarakat yang mendiami Pulau Borneo secara relatifnya mempunyai cerita tersendiri mengenai asal bermula masyarakat mereka beribu-ribu tahun dahulu. Dan ini tidak terkecuali dengan masyarakat Lundayeh yang turut mempunyai cerita legenda yang begitu unik untuk kita ketahui.
Al-sahibul hikayat beribu-ribu tahun dahulu iaitu di ketika hanya ada seorang sahaja manusia dari kalangan masyarakat Lundayeh yang tinggal di Pulau Borneo. Beliau adalah seorang pemuda yang dikatakan sangat kacak dengan tubuh yang sasa serta berkulit putih. Rang Dungo itulah namanya mengikut penceritaan orang-orang tua di kalangan masyarakat Lundayeh.
Rang Dungo adalah seorang pemuda yang serba serbi hebat kerana walau hidup keseorangan pada masa itu, beliau mampu melakukan segalanya baik dari mengemas rumah, memasak sehinggalah berburu di hutan untuk kelangsungan hidupnya. Namun walau hebat di dalam segalanya sebenarnya Rang Dungo menjalani penghidupannya di dalam kesepian. Ini kerana beliau tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu nasibnya sehingga adakalanya dikatakan beliau bersedih dengan nasib yang menimpa dirinya.
Pada satu malam di ketika beliau sedang nyenyak tidur dikatakan beliau telah mendapat satu mimpi yang mengarahkan beliau untuk mendaki satu gunung di kawasan tempat tinggalnya. Keesokan harinya apabila beliau bangun menyebabkan beliau teringat akan pesanan tersebut namun seperti kebanyakan oranglain sudah tentu Rang Dungo tidak ambil kisah akan mimpinya itu.
Akhirnya setelah 3 malam berturut-turut mendapat mimpi yang sama akhirnya Rang Dungo berfikir sendiri bahawa ini bukan mimpi yang biasa-biasa. Maka pada satu hari yang baik setelah beliau menyediakan segala kelengkapan dan bekalan untuk satu perjalanan yang jauh. Rang Dungo mengetahui bukanlah mudah untuk mencari dan seterusnya mendaki satu gunung seperti yang diceritakan oleh mimpinya itu.
Bermulalah perjalanan Rang Dungo hanya berpandukan pesanan yang diberikan di dalam mimpi tersebut. Akhirnya tanpa disedari, pencarian Rang Dungo berjaya juga dengan beliau sudah sampai di kaki gunung yang tersangat tinggi sehingga puncaknya langsung Rang Dungo tidak dapat melihatnya dari bawah. Pada ketika itu juga keazaman beliau juga begitu kuat untuk cuba merungkai apakah makna sebenar mimpi yang mendatangi lenanya selama 3 malam berturut-turut.
Bermulalah langkah Rang Dungo mendaki gunung tersebut dengan kadang-kadang hanya berpaut pada akar-akar pohon yang tumbuh di kawasan gunung. Ada ketika beliau lelah lalu berehat sebentar melepaskan penat dengan memakan apa sahaja bekalan yang beliau bawakan dari rumahnya. Hampir satu hari satu malam beliau mendaki gunung namun belumlah lagi puncak gunung itu mampu dilihatnya sehinggalah apabila keadaan kian gelap maka Rang Dungo mengambil keputusan untuk bermalam buat hari yang kedua.
Dek kerana kepenatan mendaki gunung maka mudah sahaja Rang Dungo melelapkan mata. Ketika di dalam tidur inilah sekali lagi beliau bermimpi dengan pesanan yang berbeza. Kali ini mimpinya menyatakan bahawa beliau sudah semakin mendekat dengan puncak gunung dan beliau harus memulakan perjalanan akhirnya ke puncak sebelum matahari terbit.
Dan Rang Dungo sebelum sampai ke puncak harus mengambil beberapa helai daun pisang yang ada di kawasan puncak untuk perlindungan diri. Dan turut dinyatakan hanya di puncak itulah nanti Rang Dungo akan menjumpai sesuatu yang amat berharga buat dirinya dan bila ditemui harus dibawa pulang ke rumahnya dengan segera.
Kali ini Rang Dungo terbangun selepas menerima mimpi sehingga agak payah beliau untuk melelapkan mata kembali. Akhirnya dengan kedinginan di kawasan pergunungan, sekali lagi Rang Dungo terlena juga. Akibat daripada gangguan sewaktu beliau tidur semalamam menyebabkan Rang Dungo terbangun agak lewat. Dikatakan siang sudah pun menjelma dengan sang mentari sudahpun memancarkan kepanasannya ke bumi.
Tanpa berlengah Rang Dungo terus memulakan perjalanannya sehingga ke puncak pada hari itu juga. Namun baru sahaja dia sampai ke puncak, beliau terpaksa berundur kembali kerana tidak tertahan dengan panahan kepanasan cahaya matahari kepada dirinya. Kulitnya yang putih sudah menampakkan kemerah-merahan kerana cuaca yang terlalu panas pada ketika itu.
Akhirnya Rang Dungo teringat akan pesanan di dalam mimpinya yang mengarahkannya untuk mengambil beberapa helai daun pisang. Dan ternyata memang ada sebatang sahaja pohon pisang yang ada di kawasan tidak jauh daripada puncak gunung tersebut. Diambilnya 3 helai daun pisang dan dengan menggunakan daun pisang inilah beliau jadikan perlindungan daripada panahan matahari yang panas.
Sewaktu di puncak di ketika beliau sedang melilau mencari “harta” yang dimaksudkan itulah akhirnya beliau terlihat ada sebiji telur yang berwarna-warni serta saiz yang agak luar biasa terselit di antara bongkah batu. Menurut naluri Rang Dungo amat pasti inilah “hadiah” yang dimaksudkan di dalam mimpinya dan tanpa berlengah beliau terus membawa telur itu pulang ke rumahnya.
Sebenarnya bukanlah satu yang mudah untuk Rang Dungo membawa sebiji telur yang bersaiz besar menuruni gunung. Namun kerana kesungguhannya akhirnya Rang Dungo berjaya juga sampai ke destinasinya dengan selamat. Sampai di rumah lalu Rang Dungo meletakkan telur itu di bahagian dapur rumahnya. Dan akibat telah kehabisan tenaga akhirnya Rang Dungo terlena di ruang tamu tanpa makan mahupun minum.
Hendak dijadikan cerita akhirnya Rang Dungo terjaga dari tidurnya dan alangkah terkejutnya kerana di ketika beliau melangkah ke dapur, beliau terlihat segala urusan dapur telah siaga semuanya dengan makanan untuk santapannya juga sudah terhidang. Ini menimbulkan sesuatu yang pelik di dalam diri Rang Dungo kerana selama beliau hidup hanya beliau sahaja yang ada di kawasan itu. Belum pernah lagi beliau terserempak dengan mana-mana manusia.
Kerana terlalu lapar dan kehausan, Rang Dungo pun mula bersantap dan menikmati masakan yang terlalu enak pernah beliau makan seumur hidupnya. Di ketika beliau santap itulah beliau terlihat seorang wanita yang begitu cantik menghampirinya dengan senyuman yang manis. Terhenti santapnya si Rang Dungo melihat kesempurnaan wanita di hadapannya.
Dengan nada lembut wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai “Terur Eco” atau “telur matahari” iaitu jelmaan telur yang dibawanya dari puncak gunung. Terur Eco menyatakan beliaulah “harta” yang dimaksudkan di dalam mimpi yang menyinggah 3 malam berturut-turut tidur Rang Dungo. Terur Eco adalah hadiah untuk Rang Dungo yang hidup kesepian serta keseorangan di muka bumi selama ini.
Begitulah ceritanya legenda Rang Dungo dan Terur Eco yang dipercayai merupakan bermulanya masyarakat Lundayeh yang bertebaran di Pulau Borneo suatu waktu dahulu. Mungkin kerana adanya percampuran perkahwinan dengan Terur Eco yang berasal dari telur yang putih bersih maka umum mengetahui betapa masyarakat Lundayeh juga dikurniakan dengan kulit yang putih-putih serta bersih seperti yang kita lihat sekarang.
Inilah antara sastera rakyat di kalangan masyarakat Lundayeh yang tidak kurang keunikan jalan ceritanya. Mengikut ilmu sains sudah tentu ianya tidak masuk akal tetapi orang dulu-dulu mempunyai cara untuk memperindahkan jalan cerita bagi hiburan semua. Dan sudah tentu penceritaan ini mempunyai banyak versinya kerana disampaikan secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain.
Sesungguhnya kita di Borneo tidak pernah kurang daripada cerita rakyat yang indah-indah namun tidak begitu diwar-warkan buat pengetahuan semua.