HOSPITAL LAU KING HOWE
HOSPITAL LAU KING HOWE, SIBU
DAHULU inilah satu hospital yang menjadi tempat untuk penduduk di Sibu yang di dalam kesakitan memohon rawatan namun sejajar dengan waktu iaitu sekitar pada tahun 1994 ianya telah ditamatkan operasinya. Ini kerana pada tahun itu juga Kerajaan telah membuka satu hospital baru di Sibu yang serba serbi canggih untuk keperluan penduduk setempat. Makanya hospital ini sudahpun bertukar menjadi Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe yang lokasinya terletak di Jalan Pulau, Sibu.
Bila kita berbicara mengenai sebuah hospital yang dinamakan Hospital Lau King Howe ini sebenarnya mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan unik. Ini kerana hospital ini pada dasarnya adalah antara kerja amal yang dilakukan oleh seorang individu yang juga merupakan imigran dari China yang pernah berhijrah ke Sibu suatu waktu dahulu. Tidak lokek dengan segala kekayaan yang dikautnya hasil daripada perniagaan yang diceburi di tanah Sarawak, beliau telah meninggalkan legasinya untuk kegunaan masyarakat di Sibu suatu waktu dahulu.
Menguak pintu sejarah seorang insan yang dermawan ini yang mana memainkan peranan penting di dalam pembinaan hospital ini adalah seorang imigran China yang bernama Lau King Howe. Beliau dilahirkan pada tahun 1869 di satu perkampungan yang bernama Nan Yu di dalam daerah Hou Guan wilayah Hokkien di China. King Howe merupakan anak kedua kepada Pastor Lau Meng Shy dan Madam Hii yang sememangnya di negara asalnya sudah terkenal dengan sikap dermawan mereka mendirikan gereja, sekolah mahupun hospital untuk kegunaan rakyat.
Setelah menamatkan pendidikan di Methodist Anglo-Chinese Collefe, Foochow, King Howe telah melanjutkan pelajarannya di Manila Teacher Training College di Nefara Filipina. Di Filipina, King Howe sempat bertugas sebagai pegawai pentadbir di USA Philippines Navy Base dan kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Pengetua untuk Philippines Chinese School beberapa tahun selepas itu.
Terlalu lama berkelana di negara orang akhirnya King Howe kembali ke tanahairnya China pada tahun 1914. Di negaranya, King Howe bekerja sebagai Ketua Setiausaha dan seterusnya menjadi Pengurus untuk Si Chuan Salt Affairs di bahagian Audit Dalaman. Ini merupakan salah satu daripada badan kerajaan di Negara China suatu waktu dahulu. Namun atas desakan keinginannya untuk lebih bersinar di dalam dunia perniagaan akhirnya beliau meletak jawatan dan mula membuka perniagaannya sendiri yang beribupejabat di Shanghai setahun selepas itu.
Sekitar tahun 1916, King Howe tertarik dengan segala ganjaran dan faedah yang ditawarkan oleh Rajah Brooke untuk mana-mana imigran China mula membuka perniagaan di Sarawak pada waktu itu. Dikatakan diketika itu, beliau baru berumur 47 tahun dan berhijrah ke Sarawak lalu membuka ladang getah di Engkilo, Sibu. Ternyata kedatangannya tidak sia-sia kerana ladang getahnya sangat maju sehingga beliau juga dikatakan antara imigran China di Sibu yang amat berjaya suatu waktu dahulu.
Pada tahun 1930, atas dasar keinginan King Howe untuk melihat adanya kemudahan kesihatan yang lebih sempurna diadakan untuk kegunaan rakyat di Sibu pada masa itu menyebabkan beliau sendiri mengemukakan cadangan Residen Bahagian 3 iaitu Mr. C.D Adams. Perkhabaran ini disampaikan oleh Residen Sibu kepada Rajah Brooke dan akhirnya Rajah Brooke bersetuju untuk bersama-sama membangunkan sebuah hospital dengan separuh daripada kos pembinaannya ditanggung oleh King Howe.
Pada tahun 1931 dengan jumlah sumbangan daripada King Howe iaitu sekitar RM82,000 (nilai matawang sekarang), pembinaan sebuah hospital telah mula dilakukan di satu kawasan yang dikenali sebagai Jalan Pulau, Sibu sekarang.
Hampir 6 tahun lamanya pembinaan hospital ini yang mana hanya siap pada tahun 1936. Ironinya, hospital ini disiapkan tanpa kehadiran pendermanya kerana King Howe dan keluarganya dikatakan telah kembali ke tanahairnya pada hujung tahun 1931. Dan dikhabarkan beliau meninggal dunia di tempat asalnya pada tahun 1932. Dan kerana itulah apabila siapnya hospital ini maka ianya dinamakan bersempena dengan namanya yang mana merupakan penyumbang besar kepada pembinaannya suatu waktu dahulu.
Dari setahun ke setahun, Hospital Lau King Howe memainkan peranan yang penting di dalam institusi kesihatan di Sibu baik dari zaman Brooke memerintah sehinggalah ke Sarawak membentuk Gagasan Malaysia. Dari hanya satu bangunan asas akhirnya diperkembangkan menjadi beberapa bangunan yang menempatkan beberapa pengkhususan kesihatan. Akhirnya pada tahun 1994, apabila Hospital Sibu yang baharu dibuka di Jalan Oya, Hospital Lau King Howe sudah tidak digunakan lagi.
Atas daya usaha pewarisnya di Sibu, Muzium Peringatan Hospital Lau King Howe ditubuhkan yang mana menyaksikan inilah satu-satunya muzium yang ada di Sibu sehingga sekarang. Ianya menempatkan beberapa artifak sejarah sehingga kepada segala bentuk perkaitan sejarah dunia perubatan di hospital ini suatu ketika dahulu buat tatapan generasi Sarawak yang mendatang.
Rujukan:
1. Hospital Lama Kini Muzium - Morti Butek, 22/4/2009 Utusan Online
2. Lau King Howe Hospital Memorial Museum website
http://www.lkhhmm.org/aboutus.php
3. Lau King Howe Hospital - A Brief History
http://sarawakiana.blogspot.my/2008/04/lau-king-howe-hospital-brief-history.html