BAGAIMANA KOTA PONTIANAK MENDAPAT NAMA
BAGAIMANA KOTA PONTIANAK MENDAPAT NAMA
KOTA Pontianak bukanlah asing bagi rakyat di Sarawak amnya dan Borneo khususnya kerana ianya adalah “pintu gerbang” untuk kita menerokai bumi Kalimantan Barat, Republik Indonesia. Selain terkenal dengan nama Pontianak iaitu sesuatu yang cukup menggerunkan apabila mendengarnya, kota ini turut terkenal dengan nama jolokan “Kota Kpistiwa”. Ini kerana lokasinya betul-betul terletak ditengah-tengah garisan Kpistiwa.
Nama “Pontianak” ini bukanlah masih baru sebaliknya sudah digunapakai berabad lamanya iaitu dikatakan sejak berdirinya Kerajaan Pontianak yang pernah wujud di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Menyelusuri sejarahnya bagaimana kota ini mendapat nama mempunyai lima versi yang berbeza-beza namun setiap satunya begitu unik untuk kita ketahui.
Versi Satu:
Didalam sejarah pernah ada satu kerajaan yang bernama Kerajaan Kadriah Pontianak yang berdirinya sekitar tahun 1771 hingga 1950 masihi. Pengasas kepada kerajaan ini Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie iaitu salah seorang putera di dalam Kerajaan Mempawah. Selepas kemangkatan ayahandanya telah berkelana menyusuri Sungai Peniti dan seterusnya ke Sungai Kapuas untuk mencari tanah baru bagi dibangunkan satu kerajaan.
Setelah melalui beberapa tempat namun masih tidak menemui kawasan yang sesuai akhirnya rombongannya tiba di satu tanjung lalu bermalam disitu. Di ketika waktu malam itulah rombongan ini diganggu oleh bunyi-bunyian yang menyeramkan. Pada mulanya tidaklah dihiraukan namun apabila memasuki malam yang ketiga, Syarif Abdurrahmah sendiri sudah tidak tertahan lalu menitahkan rombongannya untuk mengarahkan meriam ke arah bunyi-bunyian tersebut.
Oleh kerana adanya bunyi tembakan meriam memecah suasana malam maka ianya telah mengejutkan seluruh penduduk tempatan di kawasan itu. Yang peliknya apabila bunyi-bunyian yang menyeram ini diperangi akhirnya ia hilang. Dikala itulah Syarif Abdurrahman mendapat ilham untuk mendirikan kerajaannya di satu tanjung yang kemudiannya dinamakan Pontianak iaitu mengambil bersempena dengan gangguan hantu kuntilanak yang menganggu rombongan mereka ketika mula-mula bertapak di kawasan tanjung tersebut.
Versi Dua:
Dikatakan pada tahun 1771 masihi setelah Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie memilih satu kawasan tanjung di Sungai Kapuas untuk didirikan kerajaannya maka hal yang pertama dibina adalah sebuah masjid dan juga sebuah istana. Maka bermulalah pembinaan kedua-duanya yang lokasinya amat berdekatan antara satu sama lain.
Masjid Jamek itulah nama masjid yang hendak didirikan oleh Sultan Syarif Abdurrahman. Pada masa itu binaannya teramatlah sederhana iaitu beratapkan rumbia dan strukturnya diperbuat dari kayu kayan yang diperolehi daripada pohon-pohon yang hidup di kawasan sekitarnya.
Diketika pembinaan masjid jamek itulah para pekerja telah membawa keluarga mereka untuk tinggal bersama di dalam kawasan pembinaan masjid. Dek kerana itulah banyak ayunan anak yang dinaikkan bagi menidurkan anak-anak mereka sehingga kawasan tersebut turut dikenali dengan nama ayunan anak.
Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari Sultan Sharif Abdurrahman sedang di dalam jangka lawatan melihat peringkat pembinaan Masjid Jamek tersebut. Dikala itulah baginda melihat banyaknya ayunan anak yang memenuhi kawasan sekitar masjid di sebalik pondok-pondok yang didirikan oleh pekerja-pekerjanya.
Versi Ketiga:
Di satu kawasan tanjung yang hendak didirikan sebuah kerajaan yang ditemui oleh Sultan Syarif Abdurrahman itu dikatakan merupakan satu kawasan yang berhutan. Didalam dialek tempatan dinyatakan bahawa kawasan itu turut dinamakan “Pohon Punti” iaitu bermaksud pohon yang besar dan tinggi.
Dan jika kita merujuk kepada satu surat iaitu laporan daripada seorang rakyat tempatan yang mungkin ketua masyarakat pada Sultan Sharif Yusuf Alkadrie. Sultan Sharif Yusuf merupakan Sultan yang banyak membiarkan pemerintahannya dijalankan oleh pembesar kerana baginda lebih suka mendampingi ilmu agama daripada memerintah negaranya.
Di dalam surat daripada Hussein bin Ahmad Al-Aidrus (Rakyat Negeri Pontianak) ada menyebutkannya di dalam baris keempat belas iaitu:
“Maka di dalam watasan telah ada juga pohon-pohon hamba tuanku yang sudah bertanam memang disitu, embawang ada 3 dan rambai 8 dan keranji 2, dan buluh 7 rumpun dan pohon punti 1 dan pohon kandis 1 dan beberapa sagu yang hamba tanam di dalam sungai itu ada 6 rumpun yang besar dan yang kecil ada lebih 300 ratus batang”.
Jadi, berkemungkinan besar Sultan Syarif Abdurrahman memberikan nama sedemikian rupa kerana sememangnya bumi Kalimantan berzaman lamanya penuh dengan tumbuh-tumbuhan yang besar dan tinggi iaitu pohon punti.
Versi keempat:
Di dalam penggunaan bahasa lama dulu-dulu, “Pontian” juga merujuk kepada satu kawasan perhentian ataupun persinggahan. Jadi ianya bersesuaian dengan pelayaran Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie pada masa itu yang mana telah singgah untuk bermalam di satu kawasan tanjung.
Malah jika kita merujuk kepada bagaimana daerah Pontian, Johor mendapat nama juga mempunyai cerita yang serupa iaitu terletak di kawasan tanjung dan menjadi tempat persinggahan mahupun perhentian untuk saudagar beristirehat.
Versi kelima:
Bagi segelintir masyarakat Cina yang mendiami Pontianak pula mempercayai bahawa asal namanya Pontianak itu bermula daripada bahasa Mandarin iaitu “Kun Dian” atau “Kun Tian”. Ini kerana di dalam bahasa mandarin ianya bermaksud “persinggahan” atau “perhentian”.
Begitulah ceritanya bagaimana Pontianak, Kalimantan Barat mendapat nama malah terdapat lima versi yang berbeza-beza. Setiap satu mempunyai alasan yang kukuh untuk memperjelaskan maknanya. Namun begitu ramai pakar sejarahwan di Kalimantan lebih memilih untuk mengangkat versi satu kerana ianya sinonim dengan cerita sejarah berdirinya kerajaan dulu-dulu iaitu samada melalui sesuatu peristiwa pelik sebagai petanda.
Rujukan:
1. Sejarah Berdirinya Kota Pontianak - Pontianak Online.Com
2. Legenda Rakyat Kalimantan: Asal Usul Nama Pontianak
http://dongengsebelumtidur.com/legenda-rakyat-kalimantan-barat-asal-usul-kota-pontianak/
3. Tribun Pontianak 11/3/2008 : Asal Usul Nama Pontianak
4. Kesultanan Kadriah Pontianak - Melayu Onlie
http://melayuonline.com/ind/history/dig/386/kesultanan-kadriah