top of page

SUMPIT BERACUN DAYAK BORNEO


SUMPIT BERACUN DAYAK BORNEO


BERBICARA mengenai sumpit bererti juga berbicara tentang masyarakat Dayak yang menghuni Pulau Borneo. Ini kerana hampir kesemua masyarakat Dayak mempunyai jenis sumpitannya yang tersendiri. Lagi-lagi apabila berkata mengenai sumpit beracun yang terkenal sebagai salah satu senjata untuk berperang mahupun berburu binatang.


Jika parang ilang atau mandau itu dikhususkan untuk perang jarak dekat kerana inilah senjata yang menyaksikan kepala bercerai dari badan manakala untuk sumpit pula kebiasaannya untuk serangan jarak jauh. Dek kerana halus pembuatannya adakala jarak anak sumpit boleh ditujukan kepada sasaran sehingga 200 meter jauhnya ditambahlagi jika si empunya sumpit adalah seorang yang pakar maka sasarannya boleh mengena sehingga 99%.


Dek kerana itulah, suatu waktu dahulu pihak tentera Inggeris atau Belanda amat gerun dengan senjata sumpit dayak Borneo biarpun mereka menggunakan peralatan senapang serta berpeluru. Ini kerana walau sebaik manapun senjata mereka masih tidak dapat menandingi kuasa sumpit yang boleh menghujani mereka di dalam mana-mana arah tanpa mereka sedari. Impaknya pula apabila terkena pada sasaran samada lumpuh seluruh badan mahupun mati dan hanya yang bernasib baik sahaja boleh sembuh itupun memakan masa berbulan-bulan lamanya.


Senjata bernama sumpit atau sipet (mengikut dialek dayak yang menggunakannya) adalah berupa buluh paip yang diperbuat daripada batang kayu bulat sepanjang 1.5 hingga 2 meter panjang. Ianya harus diperbuat dari jenis kayu keras seperti kayu ulin, lanan, rasak, belian serta banyak lagi. Ukurlilit (diameter) sumpit adalah antara dua hingga tiga cm. Disinilah tempatnya untuk memasukkan anak sumpit apabila sudah ada sasaran didepan mata.


Pembuatan untuk sebatang sumpit bukanlah boleh dilakukan sembrono sebaliknya haruslah sangat cermat dan teliti. Dek kerana itu walaupun hampir kesemua etnik-etnik Dayak Borneo menggunakan sumpit sebagai senjata namun hanya beberapa etnik sahaja yang pakar pembuatannya. Antara etnik-etnik dayak yang terkenal dengan pembuatan sumpit adalah Punan dan Penan. Dikatakan sehingga ke hari ini kedua-dua etnik ini masih lagi terkenal dengan pembuatan sumpit bermutu tinggi sehingga walau ianya tidak digunakan untuk berperang lagi namun tetap bernilai harganya di pasaran kraftangan dunia.


Berbicara soal pembuatannya pula juga cukup unik. Kerana pembuatan sumpit bermutu tinggi bukan dengan menggunakan mesin-mesin canggih yang sedia ada sekarang. Lagi tradisional cara pembuatannya lagi bagus kualitinya.


Dengan menggantung menegak sebatang kayu yang sudah dipotong mengikut panjang sesuatu sumpit itu maka barulah bahagian bawahnya akan ditebuk mengikut garis diameter yang diperlukan. Bayangkan bukanlah senang untuk menebuk satu lubang dari satu batang kayu yang diletakkan menegak. Kemudian apabila siap menebuk barulah keseluruhan bahagian kayu tersebut akan diraut sehinggalah ianya berbentuk bulat mengikut diameter luar sumpitan tersebut.


Bahagian pangkal sumpit kebiasaannya lebih besar dari bahagian muncung sumpit. Dan di bahagian muncung setiap satunya akan dipasang dengan mata tombak atau Sangkoh. Sangkoh pula diperbuat daripada besi atau batu gunung dan diikat pada sumpit dengan menggunakan rotan. Kegunaan sangkoh ini adalah sebagai satu bentuk senjata tambahan iaitu boleh digunakan sebagai alat tujahan kepada binatang buruan yang belum lagi mati walaupun sudah disumpit. Dan diketika perang pula sekiranya si penyumpit masih lagi terkial-kial memasukkan anak sumpit dan sudah ada penyerang yang tiba maka ianya bolehlah juga dijadikan senjata mempertahankan diri.


Selain sangkoh, dibahagian hujung sumpit juga akan terdapat besi yang berukuran sekitar dua cm. Ianya digunakan sebagai alat bantu bidik. Kedua-dua sangkoh dan besi ini ditempatkan saling bertentangan di hujung muncung sumpit.


Anak sumpit atau damak pula adalah bahagian yang paling penting di dalam sesuatu sumpitan. Setiap batang anak sumpit di bahagian hujungnya akan diraut runcing manakala bahagian pangkal belakangnya akan diletakkan gabus. Ianya diperbuat daripada sejenis dahan pohon yang ringan agar setiap anak sumpit apabila ditiup nanti akan melayang laju menuju ke sasarannya.


Kebiasaannya untuk tujuan bersukan, setiap anak sumpit tidak akan diletakkan racun. Tetapi untuk tujuan berburu mahupun berperang akan diletakkan racun di hujungnya yang runcing. Kebiasaannya anak sumpit mempunyai panjang 3 cm. Tujuan ianya mempunyai kepanjangan sedemikian rupa sekiranya ia patah maka bahagian yang paling meruncing akan patah dan tertinggal di dalam badan buruan atau sasaran maka ketika itulah racun akan lebih cepat menular di dalam sistem badan.


Untuk setiap pembuatan racun yang digunakan bagi diletakkan di anak sumpit pula mempunyai impak yang berbeza-beza namun kebanyakannya adalah untuk tujuan mematikan sasaran. Racun diperbuat secara tradisional iaitu campuran daripada getah pohon, ramuan tumbuh-tumbuhan beracun serta bisa binatang seperti ular dan kala jengking. Setiap etnik Dayak dikatakan mempunyai caranya tersendiri di dalam memperkatakan ramuan untuk membuat racun anak sumpit.


Walaupun sumpit itu adalah senjata perang dan suatu waktu dahulu adalah satu aksesori penting apabila dipakai oleh seorang pahlawan, namun begitu ianya tidak boleh digunakan sesukahati. Ianya juga tertakluk kepada undang-undang adat dan tradisi dayak yang diwarisi zaman berzaman. Sekiranya digunakan dengan salah maka akan ada hukuman atau penalti yang akan dikenakan kepada pemiliknya. Malah untuk membelinya juga suatu ketika dahulu tertakluk kepada undang-undang tersebut.


Cerita tentang sumpit masyarakat dayak Borneo ini sebenarnya turut menyelubungi upacara adat dan istiadat mereka. Sumpit juga bagi sesetengah etnik dayak adalah barangan hantaran pertunangan dan kelengkapan perkahwinan. Jadi ianya adalah antara peralatan tradisi dayak yang amat dihormati oleh masyarakat Dayak Borneo sehingga sekarang.





Rujukan:


1. At The Same Chopsticks Dayak War Weapons Hunting

https://updatekini.wordpress.com/2012/07/24/at-the-same-chopsticks-dayak-war-weapons-hunting/

2. Sumpit (Weapon)

http://visitindonesia-paradise.blogspot.my/2017/04/sumpit-weapon.html

3. Getting To Know The Dayak Weapon - PDF File from Noble Group of Dayak Borneo

bottom of page