top of page

KRONOLOGI PENCABULAN RUANG UDARA SARAWAK


PERANG “GANYANG MALAYSIA” 1962 - 1965

- Kronologi Pencabulan Ruang Udara Sarawak Oleh Tentera Indonesia


SEMPADAN darat, laut dan udara adalah lambang kedaulatan sebuah negara dan kerana itulah apabila adanya rentetan peperangan sudah semestinya inilah yang dahulu akan dicerobohi. Begitulah juga di ketika Perang “Ganyang Malaysia” berlaku yang pada mulanya hanya perang mulut akhirnya bertukar ke kancah peperangan yang sebenar suatu waktu dahulu.


Untuk konteks ruang udara Sarawak sewaktu konfrontasi Indonesia/Malaysia juga turut sama dicabul kedaulatannya. Pada masa itu kekuatan tentera udara kita bergantung sepenuhnya dengan Tentera Negara Komanwel yang datang membantu Malaysia bersiaga dengan rempuhan Tentera Indonesia baik dari darat, laut dan udara.


Apa yang ditampilkan adalah kronologi bagaimana ruang udara Sarawak dicabul kedaulatannya di sepanjang konfrontasi ini berlangsung. Dan dikatakan di sepanjang detik itu juga sudah tentu ada rakyat Sarawak yang di dalam ketakutan melihat bagaimana dekatnya pesawat-pesawat pengempur tentera terbang di altitud yang rendah pada masa itu.



Bario, Sarawak pada 28 Januari 1963


Sekitar jam 12.25 tengahari iaitu pada hari Sabtu 28 Januari 1963 diketika rakyat bumi Bario sedang enak menjamu hidangan makan tengahari tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising di ruang udara mereka. Manakan tidaknya kerana sebuah pesawat pengebom jenis B-25 Michell Bomber milik Tentera Udara Malaysia sedang berlegar-legar di ruang udara Bario pada altitud yang rendah.


Dikatakan pesawat pengebom tersebut turut mempunyai “heavy machine gun” namun ianya hanya berlegar-legar tanpa menjatuhkan sebarang bom. Apa yang dilakukan oleh pesawat Tentera Udara Indonesia ini langsung tidak memperdulikan segala persediaan tentera Malaysia dan Komanwel contohnya jet pejuang Royal British Army mahupun senjata “anti-aircraft” yang sememangnya sudah siaga di daratan.


Walaupun berlangsung tidak lama iaitu lebih kurang 35 minit kerana dikatakan sekitar jam 1.00 tengahari pesawat itu telah kembali ke base mereka di Pontianak, Kalimantan Barat namun menurut sejarah dunia ketenteraan inilah pencabulan ruang udara Sarawak yang pertama oleh Tentera Indonesia pernah berlaku di ketika era konfrontasi Indonesia/Malaysia.



Bario dan Ba’ Kelalan, Sarawak pada 29 Disember 1963


Setelah pembentukan Malaysia pada tanggal 16 September 1963, kegilaan pemimpin Indonesia semakin menjadi-jadi kerana bantahannya langsung tidak didengar sebaliknya satu gagasan tetap terbentuk jua. Pihak Indonesia lestarikan “bantahan” mereka dengan menghantar bukan satu sahaja pesawat sebaliknya dua buah iaitu pada tanggal 29 Disember 1963 sekitar jam 9.00 pagi.


Pada kali ini ruang udara Bario dan Ba’Kelalan dijadikan tempat mereka untuk menunjukkan kekuasaan. Dua buah pesawat pengebom jenis M-25 Mitchell menuju ke 2 lokasi seperti yang diarahkan. Di ruang udara Bario pada hari itu kelihatan satu pesawat yang membuat penerbangan pada altitud 6000 kaki telah memecah kedamaian pagi di bumi Bario pada hari itu. Manakala di Ba’Kelalan, lain pula ceritanya kerana pesawat pengebom itu terbang pada ketinggian yang tersangat rendah iaitu sekitar 300 kaki.


Hasil daripada penerbangan yang terlalu rendah itu menyebabkan ada masyarakat di Ba’Kelalan telah bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan apa sahaja yang ada kerana trauma dengan serangan bom dari udara. Bunyi bising pesawat amat membingitkan telinga penduduk telah menyebabkan bumi Ba’Kelalan diselubungi ketakutan yang amat sangat.


Sekali lagi ianya adalah hanya pencabulan ruang udara dan belum ada tanda-tanda Tentera Indonesia hendak memulakan serangan. Kedua-dua peristiwa pencabulan ruang udara di dua lokasi ini juga dikhabarkan berlangsung di dalam tempoh yang tidak lama sebelum mereka beredar pulang ke base mereka di Pontianak.



Kuching Dan Sibu pada 30 Januari 1964


Dua kejadian pencabulan kedaulatan ruang udara Sarawak sememangnya dilakukan di siang hari namun taktik Tentera Indonesia pada kali ini bertukar di ketika suasana gelap pula. Sekitar jam 3.30 pagi iaitu di ketika rakyat Kuching dan Sibu sedang lena diulit mimpi indah, pada ketika itulah pesawat yang tidak dikenali dikatakan berlegar-legar di ruang udara Kuching.


Kejadian tersebut menyebabkan ramai rakyat Kuching terbangun dan keluar melihat apakah yang terjadi di ruang udara mereka. Kemudian pesawat tersebut terus menghilangkan diri di sebalik kegelapan suasana pagi di Kuching.


Rupa-rupanya tidak terhenti di Kuching sahaja kerana pesawat yang tidak dikenali itu sebaliknya menghala ke ruang udara Sibu. Di Sibu ianya dikatakan berlegar-legar pada altitud yang rendah dan turut membangunkan rakyat Sibu kerana bunyi enjinnya yang terlalu bising. Juga berlangsung tidak lama kerana pesawat itu turut menghilangkan kembali ke base di Pontianak.


Pada keesokan harinya setelah ramai rakyat Kuching dan Sibu mula bercakap mengenai kejadian pesawat yang tidak dikenali itulah melalui siaran radio turut mengwar-warkan hal yang berlaku. Pada ketika itulah baru diketahui melalui sumber pasukan keselamatan bahawa jenis pesawat badger atau dikenali dengan Tupeluv TU-16 buatan Rusia merupakan pesawat Tentera Indonesia yang membuat onar.



Serangan Udara di Pa’ Umur, Bario 25 Ogos 1965


Di saat-saat akhir perjuangan Tentera Indonesia di dalam siri-siri perangnya ke atas Sarawak yang dikatakan hanya nyawa-nyawa ikan terselit satu serangan udara yang pertama dilakukan oleh mereka. Ianya terjadi di ruang udara Pa’ Umur, Bario pada tanggal 25 Ogos 1965.


Kejadian serangan dilakukan pada menjelang tengahari Rabu di satu kawasan yang sememangnya terkenal dengan sawah padi serta kedamaiannya. Pada ketika itu dipercayai pihak Tentera Indonesia telah menghantar 2 buah pesawat pengebom jenis M-25 Mitchell ke bumi Pa’ Umur. Sebaik berada di altitud rendah mereka telah menghamburkan “machine gun” dengan berpeluru kaliber 12.77 mm dari udara menyasarkan perkampungan masyarakat Kelabit di situ.


Satu serangan yang langsung tidak diduga dan berlaku amat pantas itu turut menyebabkan rakyat awam yang tidak bersenjata bertindak menyelamatkan diri apa adanya. Sejurus berita serangan diketahui pihak British telah menghantar jet-jet pejuang ke ruang udara Pa’ Umur dan kawasan sekitarnya. Ternyata dua pesawat Tentera Indonesia telah awal-awal lenyap dari ruang udara Sarawak pada ketika itu.


Manakala pihak kerajaan dan tentera juga bersama-sama dengan bantuan paramedik telah ke Pa’ Umur untuk memberikan bantuan kecemasan yang perlu. Ternyata tiada di kalangan rakyat di Pa’ Umur yang tercedera atau terkorban nyawa pada waktu itu. Terbukti Tentera Indonesia sudah hilang punca dan bertindak sembrono untuk menaikkan moral tenteranya yang sedang di ambang kekalahan di dalam kempen “Ganyang Malaysia” mereka.



Long Bawang, Limbang 17 September 1965


Kempen udara Tentera Indonesia masih belum terhenti biarpun sudah meniti penghujung peperangan mereka yang tidak perlu. Pada tanggal 17 September 1965 pula sebuah pesawat Hercules C-130 pula kelihatan berlegar-legar di ruang udara Long Bawang, Limbang.


Laporan daripada penduduk tempatan di Long Bawang menyatakan bahawa pesawat tersebut telah berada di ruang udara mereka sekitar jam 5.20 petang. Pada ketika itu juga dikatakan pesawat tersebut turut menggugurkan kira-kira 20 payung terjun di sekitar lembah Long Bawang. Ianya didapati berupa amunisi, barangan makanan dan segala peralatan penting untuk kegunaan tentera mereka di kawasan tersebut.


Bertindak daripada laporan yang diterima, pesawat pejuang British jenis Javelin telah dikerahkan ke ruang udara Long Bawang. Disinilah pesawat tersebut dipintas lalu ditembak oleh pesawat pejuang hampir-hampir sebelum mereka tiba di garis sempadan udara Indonesia/Malaysia. Akibat daripada itu pesawat tersebut telah jatuh menjunam, terbakar dan seterusnya meletup di satu kawasan di Long Bawang.



Inilah kronologi pencabulan kedaulatan ruang udara Sarawak sepanjang kempen “Ganyang Malaysia” iaitu konfrontasi Indonesia/Malaysia yang berlaku dari tahun 1962 sehingga 1965. Ianya menyaksikan rakyat awam sentiasa menjadi mangsa sehingga sebuah perkampungan turut ditembak sembrono dari ruang udara mereka oleh pesawat Tentera Indonesia.


Kehadiran bantuan dari angkatan tentera Negara Komanwel yang diterajui oleh British telah banyak membantu Malaysia pada masa itu untuk menghadapi serangan daripada Tentera Indonesia baik dari daratan, lautan mahupun udaranya. Anggota parajurit Malaysia juga ikut serta yang menjadikan barisan pertahanan Malaysia terlalu kuat untuk mereka tentang.

Ketahuilah bukan senang membina sebuah Negara dan begitu payah untuk menjaga kedaulatannya!


Lest We Forget.



Rujukan:


1. Confrontation In Borneo

https://nzhistory.govt.nz/war/confrontation-in-borneo

2. Indonesian Confrontation Of Malaysia 1962-1966 - Ltd (Rtd) Brian Avery

http://www.4rarassociationsaustralia.com/Confrontation%20of%20Malaysia.pdf

3. Konfrantasi Indonesia - Malaysia Di Sarawak

http://min-def.blogspot.my/2013/07/konfrontasiindonesia-malaysia-di.html

4. Borneo Boys: RAF Helicopter Pilots in Action Indonesia Confrontation 1962-1966

http://www.britishempire.co.uk/library/borneoboys.htm

bottom of page