top of page

MALAYA PATRIOTIC FUND


MALAYA PATRIOTIC FUND

BUKAN satu rahsia Malaya dahulu sebelum merdeka merupakan tanah jajahan kepada Koloni British iaitu dari tahun 1909 sehinggalah 1957. Dan Sarawak pula hanya menjadi tanah jajahan kepada Koloni Mahkota Sarawak British dari tahun 1946 sehingga 1963.

Dan di dalam sejarah juga tiada siapa boleh menafikan bagaimana anak-anak Sarawak telah tampil membantu di dalam rentetan keamanan untuk bumi Malaya apabila mereka turut menyertai kancah memerangi komunis suatu waktu dahulu. Pada ketika itu, Iban Trackers atau Penjejak Iban dan Sarawak Rangers turut dihantar ke Malaya untuk membantu siri-siri perang di Malaya jauh sebelum Gagasan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Itu sumbangan berbentuk tenaga dan hakikatnya Sarawak walau masih dibawah Brooke telah mula menghantar sumbangan untuk keamanan di Malaya dan mana-mana siri perang yang melibatkan Kerajaan British di dunia lebih lama daripada itu. Boleh dikatakan sumbangan yang berbentuk wang tunai telah mula disalurkan di dalam bentuk tabung yang dinamakan Malaya Patriotic Fund.

Dibentuk pada tahun 1939, ianya adalah satu dana yang ditampilkan oleh Kerajaan British bagi menerima sumbangan untuk membiayai kempen perang yang mereka sertai dan ini termasuklah di Malaya itu sendiri. Dana ini tertakluk kepada mana-mana rakyat British di seberang laut mahupun rakyat yang menetap di jajahan mereka. Jadi, Rajah Brooke pada masa itu turut mengerahkan pentadbiran Sarawak Kingdom bersama penjawat awam Eropah dan juga rakyat Sarawak menyumbang kepada dana tersebut.

Mungkin jika diperkira Rajah Brooke dan penjawat bangsa Eropah itu juga merupakan rakyat kepada Baginda Ratu British jadi adalah masuk akal untuk mereka membuat sumbangan. Dan bagi golongan rakyat Sarawak pula mungkin kerana adanya Perjanjian Protectrate 1888 yang menyatakan Sarawak Kingdom itu adalah Negara Perlindungan kepada Kerajaan British maka ianya termaktub untuk rakyat pula.

Sehingga ke hari ini jika kita menggodek sejarah tiada jumlah sebenar yang boleh dinyatakan berapa banyakkah yang telah disumbangkan oleh warga Sarawak pada masa itu melainkan menurut keterangan di dalam Sarawak Gazette bertarikh 2hb January 1941 ada menyatakan seperti berikut:


SARAWAK WAR CONTRIBUTION TO DATE

His highness the Rajah’s personal contribution to War Fund $42,525.00

The Sarawak War Efforts Fund $243,624.09

Sarawak Rubber Industry $100,000.00

Sarawak Government, 1st contribution $965,453.00

Sarawak Government, 2nd Contribution $499,200.00

Sarawak Government – Interest from invested surplus for half year ending 31/12/1940 (Interim payment) $60,000.00

Malaya Patriotic Fund Sarawak Branch, 1st Division $44,179.55

Malaya Patriotic Fund Sarawak Branch, 3rd Division $29,197.00

Miri Patriotic Fund $17,150.08

TOTAL CONTRIBUTION $2,001,329.61


Difahamkan pada ketika itu turut dinyatakan bahawa penjawat awam Sarawak Kingdom telah dengan rela hati untuk membenarkan pentadbiran Kerajaan Sarawak membuat pemotongan gaji bulanan bagi mereka membuat sumbangan secara tetap. Manakala untuk rakyat Sarawak dari golongan peniaga mahupun rakyat biasa dibenarkan untuk membuat sumbangan melalui pejabat pos Sarawak pada ketika itu.

Malaya Patriotic Fund juga dibahagian jajahan koloni British yang lain turut mendapat sumbangan berupa penjualan setem. Ianya mencakupi bumi Malaya sehinggalah ke Singapura pada waktu itu yang mana dikatakan paling efektif kesannya bagi mengumpul dana tersebut. Dikatakan setiap jumlah sumbangan itu menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat British dan jajahannya bersama-sama menyokong pemerintahan British.

Walau bagaimanapun ketelusan ke atas jumlah sebenar dana ini sehingga sekarang tiada hujung ceritanya. Ini kerana selepas kalah di dalam Perang Dunia Kedua ke atas Jepun, Malaya Patriotic Fund ini terus lenyap ceritanya dan British tidak pernah mengwar-warkan berapakah jumlah sebenarnya yang ada kepada dunia.




Rujukan:

1. Sarawak Gazette Vol IXXI No 1048 2nd January 1941

2. Malaya Patriotic Fund The Stamp Journal

bottom of page